BM @ MY LNAPendapat @ My LNAPolitik @ My LNAUTAMA

Tiada lagi Tanah Melayu, yang ada hanya Malaysia

394
Jalur Gemilang

Oleh: Datuk A Kadir Jasin

Kita adalah negara persekutuan. Iaitu gabungan 13 buah negeri, tidak termasuk Wilayah Persekutuan. Waktu merdeka tahun 1957, negara kita dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Natijahnya, apabila namanya Persekutuan Tanah Melayu, tidaklah ada keraguan berkenaan siapa tuan punya atau tuan rumah negara itu.

Tetapi apabila ditubuhkan Malaysia pada tahun 1963 dengan kemasukan Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, nama Persekutuan Tanah Melayu ditukar menjadi Persekutuan Malaysia. Mulai saat itu timbullah tuntutan “Malaysian Malaysia”.

Bagi orang Melayu yang “meratib” berkenaan negeri atau negara Melayu, mereka kena terima hakikat bahawa Persekutuan Tanah Melayu sudah tidak ada lagi. Sudah jadi bekas.

Yang ada adalah Malaysia. Negara yang dulu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu sekarang ini dipanggil Semenanjung Malaysia.

Persekutuan Tanah Melayu hanya tinggal dalam sejarah dan ingatan orang lama. Singapura “dikeluarkan” pada tahun 1965 dan sekarang ini Sarawak dan Sabah semakin bebas, berautonomi dan menjadi “kingmaker” yang menentukan siapa memerintah Malaysia.

Kerajaan persekutuan memerintah seluruh negara dengan diketuai oleh Perdana Menteri. Ada orang kata, “Menteri Perdana” lebih tepat. Macam Menteri Besar.

Kerajaan negeri memerintah negeri-negeri dengan diketuai oleh Menteri Besar. Ada negeri menggunakan gelaran Ketua Menteri dan Premier.

Kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dipilih oleh warganegara berumur 18 tahun ke atas dalam pilihan raya setiap lima tahun sekali atau lebih singkat.

Pada masa Persekutuan Tanah Melayu dan awal-awal Malaysia, pilihan raya Parlimen dan dewan-dewan undangan negeri diadakan serentak, kecuali di Sabah dan Sarawak.

Kalau tidak silap, negeri pertama mengadakan PRN berasingan adalah Sabah pada tahun 1967 dan kemudiannya Sarawak pada tahun 1983.

Amalan PRN berasingan ini meluas selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU 2018, khususnya apabila terjadi rampasan kuasa “tebuk atap” pada bulan Februari 2020. Pada tahun berikutnya, Umno melakukan tipu helah di Melaka dan Johor sehingga memaksa PRN diadakan. Di Melaka, PRN diadakan pada 20 November 2021 dan Johor pada 12 Mac. Kedua-duanya dimenangi oleh BN.

Berpaksikan kemenangan di Melaka dan Johor itulah Umno, atau lebih tepat kluster mahkamah Umno, memaksa Perdana Menteri dari Umno, Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen lebih awal. Mereka sangat yakin akan menang besar.

Tetapi keyakinan kluster mahkamah Umno itu meleset sama sekali. Umno kalah teruk dalam PRU 2022. Malah kalah kepada parti serpihannya sendiri, Bersatu. Umno menang 26 kerusi dan Bersatu 31.

Apabila PRU diadakan lebih awal pada bulan November lalu, negeri-negeri yang diperintah oleh parti-parti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk tidak membubarkan DUN di negeri-negeri kawalan mereka iaitu Kedah (PN), Pulau Pinang (PH), Selangor (PH), Negeri Sembilan (PH), Terengganu (PN) dan Kelantan (PN).

Sekarang PRN di negeri-negeri itu wajib diadakan kerana tempoh DUN mereka sudah hampir habis.

Pada tahun 2018 tiga pihak bertanding di enam negeri berkenaan, iaitu BN, PH dan Pas. Masa itu Bersatu dalam PH. Kali ini dua gabungan akan bertanding. Pas dengan Bersatu di bawah panji-panji PN dan Umno berpakat dengan PH. Undi Melayu yang pecah tiga dalam PRU 2018 dan 2022 akan terbahagi kepada dua saja dalam PRN 12 Ogos nanti.

Apa pun juga keputusannya, kedudukan kerajaan pusat tidak dijangka terancam tetapi akan mempengaruhi trend jangka sederhana dan panjang politik Malaysia, terutamanya imej Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

DATUK A KADIR JASIN ialah Tokoh Wartawan Negara (2011) dan bekas ketua pengarang kumpulan akhbar New Straits Times.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Life News Agency.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKomunikasi Digital @ My LNA

Julina Johan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penerangan baharu

PUTRAJAYA, 13 Mei 2024 – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) memaklumkan bahawa Puan...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Semenanjung Minahassa, Sulawesi

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Semenanjung Minahassa, Sulawesi pada jam...