AMBM @ MY LNA

SEMUA LEBUH RAYA BERSEDIA MENGHADAPI PENINGKATAN TRAFIK SEMPENA PERAYAAN AIDIL ADHA

373

DENGKIL, 28 Jun 2023 – Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini sempat membuat tinjauan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil (Arah Selatan), Lebuhraya ELITE terhadap persiapan dan persediaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama syarikat konsesi lebuh raya menghadapi peningkatan trafik sempena musim Perayaan Aidil Adha. Turut hadir bersama Menteri Kerja Raya adalah Pengerusi LLM Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Ketua Pengarah LLM Ir. Sazali bin Harun dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad Datuk Nik Airina Nik Jaffar.

“LLM menjangkakan jumlah purata peningkatan trafik harian di seluruh lebuh raya mampu mencecah sehingga 5.1 juta transaksi kenderaan yang menggunakan lebuh raya sempena Hari Raya Aidil Adha yang bakal disambut pada 29 Jun 2023. Pertambahan jumlah kenderaan ini dijangka akan berlaku secara berperingkat bermula 27 Jun 2023 sehingga 3 Julai 2023.

Daripada jumlah tersebut, purata harian trafik di Lebuhraya Utara Selatan dijangka akan mencapai sehingga 2 juta kenderaan, manakala di Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 masing-masing mencecah sehingga 170 ribu dan 60 ribu kenderaan sehari.” kata Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan hari ini.

KKR dan LLM telah bersedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya, yang mana syarikat konsesi lebuh raya telah diarahkan untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi meminimakan kesan negatif peningkatan trafik ini iaitu:-

i. Mengarahkan syarikat konsesi untuk memastikan tiada kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula 24 Jun 2023 hingga 3 Julai 2023;

ii. Mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 bagi membantu pengguna merancang perjalanan;

iii. Mengaktifkan laluan ‘smart lane’ atau laluan kontra di beberapa lokasi berdasarkan keperluan dan kesesuaian bagi menambah kapasiti dan melancarkan trafik;

iv. Meningkatkan pengurusan pengoperasian dengan menambah sehingga 20% petugas lebuh raya seperti anggota peronda, petugas di plaza tol dan anggota RELA;

v. Memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain menempatkan petugas untuk memberi bantuan kepada pengguna yang bermasalah;

vi. Memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya;

vii. Menyediakan jentera seperti kembalik dan kren di beberapa lokasi terpilih untuk membantu sekiranya berlaku sebarang insiden kemalangan;

viii. Menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1;

ix. Menambah bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan bekalan air di R&R serta bekalan minyak di stesen-stesen minyak mencukupi; dan

x. Memastikan Papan Tanda Elektronik atau Variable Messaging System (VMS) dan Kamera Keselamatan Litar Tertutup (CCTV) beroperasi dan berfungsi dengan baik.

Tambah KKR, Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM akan beroperasi 24 jam pada 28 Jun 2023 dan 2 Julai 2023 bagi membantu pengguna lebuh raya mendapatkan maklumat trafik terkini. Status trafik akan dikemaskini di media sosial rasmi LLM dan Syarikat Konsesi seperti di Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Twitter @llmtrafik atau pengguna boleh
menghubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian 1–800–88–7752.

“Pihak KKR dan LLM menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mengikuti TTA yang dicadangkan, mematuhi segala peraturan lalulintas yang ditetapkan, memandu secara berhemah untuk sampai ke destinasi dengan selamat dan memastikan kenderaan dalam keadaan yang baik untuk perjalanan yang jauh.” ujar KKR.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAJomCheckUTAMA

Benar: Aplikasi Myresq Adalah Inisiatif Bantuan Awal Kepada Mangsa Serangan Jantung

Oleh : JomCheck Talian JomCheck baru-baru ini telah disoal tentang kesahihan sebuah...

Bencana Alam @ My LNABM @ MY LNADunia @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Laut Banda

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Laut Banda pada jam...