AMBM @ MY LNAPerumahan @ My LNAUTAMA

ISU SAMPAH DI BANGUNAN FLAT KOS RENDAH TAMAN UNGKU TUN AMINAH (TUTA) DISELESAI DENGAN SEGERA

350

PUTRAJAYA, 18 Mei 2023 – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, di atas peringatan dan nasihat baginda mengenai kerja-kerja pembersihan di kawasan Flat Kos Rendah Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), Skudai, Johor Bahru semasa menerima mengadap Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan pada 15 Mei 2023 yang lalu.

Flat Kos Rendah Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) terdiri daripada 88 blok flat dan 4,089 unit rumah yang telah berusia lebih 40 tahun dengan berkepadatan penduduk yang tinggi. Beberapa masalah telah dikenalpasti iaitu infrastruktur yang usang, tahap kesedaran kepentingan menjaga kebersihan yang rendah, serta kekurangan dana akibat kutipan caj pengurusan yang rendah.

KPKT melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengarahkan syarikat konsesi SWM Environment Sdn Bhd untuk mengambil tindakan segera menambah baik prestasi perkhidmatan di kawasan tersebut sepertimana yang tertakluk di dalam perjanjian konsesi dan membantu agensi-agensi lain seperti persatuan penduduk, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja pembersihan di luar skop kerja perkhidmatan.

Sehingga 17 Mei 2023, seramai 50 anggota dan sejumlah 10 jentera kenderaan Roll on Roll Off (RORO), 3 jentolak dan lori kompaktor telah digerakkan bagi menjalankan kerjakerja pembersihan dan kutipan sisa pepejal di sekitar kawasan Flat TUTA. Dianggarkan sebanyak 90 tan longgokan sisa pukal yang telah dikutip dan dilupuskan ke tapak pelupusan. 50 unit tong sampah beroda (TSB) telah ditukar, 449 unit TSB dibaik pulih bagi kesemua 88 blok di flat tersebut. Pembersihan juga turut meliputi pemotongan rumput dan pembersihan longkang-longkang tersumbat yang terdapat di sekeliling kawasan Flat
TUTA.

YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM) berkata, “Kementerian menjunjung kasih ke atas keprihatinan DYMM Tuanku Sultan Johor terhadap kualiti kebersihan dan persekitaran yang selesa demi kepentingan rakyat.”

Tambah beliau, isu kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan setiap kumpulan masyarakat haruslah memainkan peranan masing-masing. Lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di rumah pangsa dan berkongsi kemudahan awam yang disediakan oleh PBT, termasuklah perkhidmatan sisa pepejal.

“Jawatankuasa penduduk perlu bersedia menggembeling tenaga memupuk semangat kejiranan yang tinggi serta rasa tanggungawab untuk memelihara persekitaran yang bersih dan selamat di kawasan kejiranan.”

Dalam kes ini, Flat TUTA yang mempunyai 88 blok dan 4089 unit rumah, hanya berjaya mengumpul 15 peratus caj penyelenggaraan, sementara itu terdapat 10 blok yang tidak mempunyai jawatankuasa penduduk.

“Perkara ini perlu diteliti dan diperbaiki bagi memastikan perubahan persekitaran untuk jangkamasa panjang.”

YB KM turut menambah, “KPKT mengambil maklum akan keperluan penyelenggaraan TUTA yang dianggarkan berjumlah RM26.3 juta. Antara penyelenggaraan yang dirancang termasuk mengecat bangunan blok flat, menaiktaraf pengairan dan saliran secara berfasa, membaiki sistem pendawaian, penyelenggaraan sistem perparitan yang sedia ada dan pengindahan landskap. KPKT akan bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dan PBT bagi membantu usaha ini.”

Justeru, KPKT amat komited dalam menyelesaikan masalah ini dan akan terus bekerjasama dengan penduduk, pihak pengurusan bangunan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri bagi menambahbaik kualiti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan khususnya di negeri Johor.

Di samping itu, sebagai tindakan jangka panjang bagi mengekalkan tahap kualiti kebersihan di Flat TUTA, KPKT akan mengadakan beberapa siri libat urus dengan mewujudkan kerjasama bersama Perbadanan Pengurusan (MC) dan penduduk bagi pelaksanaan program-program pendidikan masyarakat dan kesedaran awam berkaitan pengurusan sisa secara mampan, program pengasingan sisa di punca (SAS – Separation At Source); 3R (Reduce-Reuse-Recycle); Program kitar semula berganjaran serta mengenalpasti lokasi-lokasi yang sesuai bagi proses pelupusan sisa pukal. KPKT juga akan memastikan pemantauan secara berkala dan tindakan penguatkuasaan bagi penduduk dan orang awam yang tidak mematuhi undang-undang sedia ada berkaitan kaedah pelupusan sisa pepejal yang dijana dan kebersihan kawasan awam.

Maklum balas dan aduan dari pelbagai pihak amat dialu-alukan bagi meningkatkan kualiti pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh negara. Talian Indahkan Malaysia dapat dihubungi melalui hotline 1800-88-7472.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Beragamalah dengan ilmu

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli Pada masa kini, umat Islam...

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di KKB Boleh Jadi Satu Kesalahan Pilihan Raya

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Wasatiyyah kunci rumah terbuka Aidilfitri lestari

Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar Barangkali, Malaysia merupakan antara negara Islam paling...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Membawa Generasi Z kembali ke akar tradisi Aidilfitri

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Siti Nurmaliya Zakaria Tradisi hari...