PETALING JAYA, 14 Februari 2023 – Planetmahir Sdn Bhd, syarikat penyedia platform pendidikan digital melangkah ke Fasa Dua pengembangan syarikat dengan pengenalan Aplikasi Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi platformnya.
Manakala program MAHIR Tutor A Level, International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) serta kurikulum persekolahan Indonesia, Singapura dan Brunei akan mula ditawarkan tahun ini, menandakan kemasukan Planetmahir ke pasaran pendidikan global.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, pengenalan Aplikasi AI dan penerokaan ke pasaran pendidikan global itu menandakan bermulanya fasa dua syarikat itu yang dikenali sebagai Planetmahir 2.0.
“Planetmahir ketika ini merupakan pemimpin pasaran dalam industri pendidikan dan latihan di mana kami kini telah bersedia untuk memasuki pasaran global menerusi pengenalan aplikasi Kecerdasan Buatan yang dilancarkan hari ini serentak dengan fasa peralihan ‘Planetmahir 2.0’.
Kami berbesar hati untuk menawarkan satu platform digital yang lebih bermakna kepada semua pelanggan kami dengan pengalaman pembelajaran dan latihan yang terkini dan bersifat global.”
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran ‘Planetmahir 2.0’ di sini hari ini.
Tambah Ahmad Ramzi, aplikasi teknologi AI akan membolehkan pelajar mendapatkan personalised learning daripada MAHIR AI, iaitu aplikasi berasaskan AI-powered Intelligent Tutoring System yang dibangunkan dengan kerjasama Organisasi Perdagangan Luar Jepun, JETRO dan dijangka siap akhir tahun ini.
“Antara ciri istimewa MAHIR AI adalah memberi nasihat kepada pelajar tentang kursus yang boleh diambil berdasarkan kebolehan dan pencapaian mereka, mencerap prestasi pembelajaran, menjangka kebarangkalian lulus atau gagal dalam peperiksaan, automasi pemeriksaan kertas jawapan peperiksaan serta pengesahan pengenalan diri apabila menduduki ujian dalam talian.”
Sementara itu, Planetmahir juga mengumumkan produk kelas digital dalam talian, MAHIR Tutor, kini dibuka kepada semua pelajar sekolah menengah dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6.
Ia boleh dilanggan dengan harga hanya RM10 sebulan bagi satu subjek.
Kelas Tutor Digital itu sebelum ini hanya boleh diakses oleh pelajar secara percuma di bawah program tajaan khas untuk kumpulan pelajar dari keluarga B40.
MAHIR Tutor yang juga merupakan sebuah Sekolah Maya, mempunyai lebih 50 ribu pelajar dari 397 buah sekolah di seluruh negara.
“MAHIR Tutor adalah kelas digital dalam talian yang menggunakan teknologi video-on-demand di mana semua subjek pengajaran telah direkodkan dan boleh diakses secara dalam talian pada bila-bila masa dan di mana jua, sama ada melalui laman web planetmahir.com/tutor atau aplikasi mudah alih Planetmahir. Ia dibangunkan dengan bantuan MDEC di bawah program Geran Pembangunan Kandungan (DCG).”
Planetmahir juga mengumumkan pelancaran Sistem Pengurusan Latihan atau TiMS (Training Management System), khusus untuk kegunaan agensi kerajaan dan Penyedia Latihan.
TiMS diperkenalkan bagi tujuan memudahkan pengurusan dan pengendalian latihan, kursus serta program secara dalam talian.
Planetmahir mensasarkan TiMS akan mula memasuki pasaran global pada suku kedua tahun ini.
“Planetmahir juga sedang giat melakukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan teknologi terkini di dalam bidang pendidikan dan latihan termasuk pembangunan teknologi hologram dan Extended Reality atau XR”, kata Ahmad Ramzi.
Untuk rekod, Planetmahir ditubuhkan pada 2019, kini mempunyai lebih 100 ribu pelajar dan telah memberikan perkhidmatan digitalisasi di dalam bidang pendidikan dan latihan kepada lebih 30 buah agensi kerajaan dan swasta.
Tersenarai antara 50 buah syarikat teknologi digital utama di Malaysia, Planetmahir kekal sebagai Peneraju Pendidikan Digital di negara ini dengan slogan ‘Gedung Ilmu Online”.
- Hong Kong’s First AI Company (Nasdaq: ATGL) Successfully Concludes Its One-Year-Anniversary Halloween Celebration
- Cambodian Delegation Visits Hong Kong to Bolster Investor Relationship for Preah Sihanouk Province
- Hong Kong: Connecting the Middle East along the New Silk Road
- DFA Awards 2024: Asia’s Creative Luminaries Shine
- Luxshare Precision Reports Steady Growth in Q3 2024 Results, Optimistic About Annual Performance
Leave a comment