Alam Sekitar @ MY LNAAMBM @ MY LNAUTAMA

KPKT Sasarkan Pencapaian Kadar 45% Pengurangan Carbon Footprint Menjelang Tahun 2030 Melalui Pelaksanaan Inisiatif Hijau Cameron Highlands

207
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir. Kredit Foto UKK KPKT

CAMERON HIGHLANDS, 9 Februari 2023 – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensinya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melancarkan Inisiatif Hijau Cameron Highlands. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan bertempat di Zenith Hotel, Cameron Highlands.

Turut hadir ialah YB Dato’ Sri Johari bin Harun, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang; YBhg. Datuk Saidatu Akhma binti Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) KPKT; Tuan Ir. Zulkifli bin Tamby Chik, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp dan Mr. Takizawa Masahiko, Pengarah Japan International Cooperation Agency Malaysia. Majlis turut dihadiri oleh seramai 400 orang peserta terdiri daripada wakil-wakil kementerian, agensi-agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, NGO, IPTA/IPTS, wakil industri, pengusaha industri perhotelan, pertubuhan peladang dan jawatankuasa perwakilan penduduk di Cameron Highlands.

Inisiatif Hijau Cameron Highlands merupakan inisiatif khas yang dilaksanakan di kawasan peranginan Cameron Highlands yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat. Destinasi tanah tinggi terkenal ini menjadi tumpuan lebih setengah juta pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun bagi menikmati keindahan persekitaran dan kehijauan di Malaysia.

YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir berkata, “Objektif utama pelaksanaan Inisiatif Hijau Cameron Highlands adalah untuk merawat sisa organik daripada dibuang ke tapak pelupusan. Menurut rekod, dianggarkan sebanyak 800 tan metrik pengeluaran sayur-sayuran sehari di Cameron Highlands dan sebanyak 30 tan sisa sayuran tersebut berakhir di tapak pelupusan.”

Justeru, SWCorp telah bekerjasama dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) melalui Kerajaan Tempatan Bandar Kitakyushu bagi melaksanakan penambahbaikan pengurusan sisa pepejal dalam menjayakan projek pengkomposan
sisa organik di Cameron Highlands. Pihak JICA juga telah menyumbangkan sebuah unit mesin kompos yang berkapasiti 2 tan / hari bagi pelaksanaan projek ini di Cameron Highlands, Pahang bermula tahun 2019.

Tambah beliau, “Sepanjang projek ini dijalankan dari tahun 2019 hingga kini, dianggarkan sebanyak 804 tan metrik sisa organik telah dikutip di kawasan Cameron Highlands. Manakala bagi penghasilan produk akhir baja kompos, sebanyak 75 tan metrik baja kompos telah terhasil daripada aktiviti pengkomposan sisa organik dan sisa makanan tersebut.”

SWCorp juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama Persatuan Hotel Malaysia (Pahang Chapter) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Cameron Highlands. Kerjasama ini melibatkan pengumpulan sisa makanan dari hotel-hotel sekitar Cameron Highlands dan sisa organik dari kebun-kebun sayuran di bawah penjagaan Pertubuhan Peladang Kawasan Cameron Highlands selain beberapa agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam projek ini.

Sehubungan itu, fokus utama KPKT melalui SWCorp adalah untuk mencapai kadar 40% sisa dilencongkan daripada tapak pelupusan pada tahun 2030 iaitu mengurangkan penjanaan sisa secara signifikan melalui pencegahan, pengurangan, kitar semula dan penggunaan semula. Selain itu, melalui pelaksanaan inisiatif hijau ini, Malaysia diharap berjaya mencapai kadar 45% pengurangan Carbon Footprint menjelang tahun 2030.

KPKT melalui SWCorp berhasrat agar pelaksanaan inisiatif hijau ini akan diteruskan dan diperluaskan di kawasan-kawasan lain dengan penglibatan semua pihak khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak swasta. Kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab untuk mengurangkan janaan sisa adalah amat penting bagi memastikan bumi ini tidak terus kekeringan sumber alam semula jadi dan memusnahkan ekosistem bumi. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama berganding bahu dalam menjaga dan memulihara keindahan alam semula jadi selain menjadikannya sebagai salah satu sumber pembangunan ekonomi masyarakat dan negara.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Perindahkan hari raya dengan kesederhanaan

Oleh: Dr Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar Benar, Ramadan baru sahaja berlalu....

Biz @ My LNABM @ MY LNANiaga @ My LNAUTAMA

Penjual Kerepek Capai 80% Peningkatan Jualan dengan Shopee Live

KUALA LUMPUR, 19 April 2024 – Mengenal pasti potensi berkembang strim langsung,...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Palestin dan hakikat kemenangan Aidilfitri

Dr. Mohd Istajib Mokhtar Dalam pada kita bergembira menyambut hari raya di...