IPOH, 14 Januari 2023 – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (YB KM) memaklumkan bahawa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membina Pasar Sementara Pasar Pasir Pinji dan menaik taraf Pasar Besar Ipoh, Perak.
YB KM mengumumkan perkara tersebut semasa siri walkabout beliau ke Pasar Besar Ipoh dan Pasar Pasir Pinji, Ipoh, Perak hari ini.
Menurut KPKT, dalam lawatan tersebut, YB KM telah menyerahkan surat kelulusan Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasar Pasir Pinji dan surat kelulusan Projek Naik Taraf Pasar Besar Ipoh kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai penempatan tapak perniagaan sementara buat 229 peniaga sehinggalah siap pembinaan Pasar Pasir Pinji yang baharu kelak.
“Pelaksanaan projek bernilai RM1 juta ini akan memberi kemudahan dan manfaat kepada para peniaga dan pengunjung pasar khususnya penduduk setempat. Manakala, projek naik taraf Pasar Besar Ipoh yang turut bernilai RM1 juta akan melibatkan kerja-kerja baik pulih lantai pasar basah dan kerja-kerja yang berkaitan.” kata KPKT dalam satu kenyataan hari ini.
Pasar Pasir Pinji yang berusia lebih daripada 50 tahun ini merupakan pasar lama yang uzur dan daif. Justeru, pembangunan semula pasar ini secara amnya, dapat menyumbang kepada peningkatan tahap sosio-ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat. Selain itu juga, pembangunan semula ini dapat meningkatkan kualiti serta taraf kemudahan pasar dan perkhidmatan awam yang berkaitan, menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan ruang parkir kenderaan yang mencukupi kepada para peniaga dan pengunjung pasar serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pasar.
KPKT turut bersedia untuk menimbang permohonan bagi membina semula pasar-pasar awam kepada Majlis Bandaraya Ipoh.
“Untuk makluman, Majlis Bandaraya Ipoh telah melaksanakan kerja-kerja naik taraf Pasar Tanjung Rambutan pada tahun 2013 dan Pasar Ayam dan Parkir Bertingkat Ipoh pada tahun 2017. Diharapkan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan dan naik taraf Pasar Pasir Pinji dan Pasar Besar Ipoh ini akan memberi manfaat dan kebaikan kepada seluruh penduduk setempat.” ujar KPKT.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment