AMBM @ MY LNA

14,986 ANGGOTA JBPM SIAP SIAGA HADAPI CABARAN MONSUN TIMUR LAUT

48
Foto Kredit UKK KPKT

PUTRAJAYA, 14 Disember 2022 – Seramai 14,986 pegawai siap siaga berdepan dengan sebarang kebarangkalian banjir yang mungkin berlaku pada bila-bila masa di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan YB Nga Kor Ming (KM), berkata dalam usaha memantapkan persediaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan bagi menghadapi Monsun Timur Laut, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menetapkan persediaan yang lebih proaktif berdasarkan pengalaman peristiwa banjir yang melanda negara tahun lalu.

“Langkah ini termasuk dengan mengerahkan kekuatan dan keanggotaan pegawai bomba terdiri daripada 12,857 pegawai sepenuh masa dan 2,111 pegawai bomba bantuan,” kata YB KM selepas menghadiri taklimat Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) bertempat di ibu pejabat JBPM pada petang ini.

“JBPM juga telah mengenalpasti sebanyak 5,235 kawasan yang berisiko tinggi ini dan pemantauan dilakukan setiap hari bagi memastikan keadaan keselamatan orang awam terjamin,” tambahnya lagi.

Seramai 3,416 mangsa banjir telah diselamatkan oleh JBPM dengan memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bermula 7 November 2022 bagi kawasan-kawasan yang terjejas di seluruh negara.

JBPM turut berkolaborasi erat dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan juga Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi mendapatkan maklumat terkini perubahan iklim di seluruh negara.

Luruan pertama berlaku pada 7 hingga 12 Disember dan MET Malaysia telah mengeluarkan amaran Luruan kedua dijangka berlaku pada 17 sehingga 20 Disember dimana Monsun Timur Laut akan membawa hujan lebat melebihi 150mm sehari.

Selain penubuhan Pasukan Gerak Khas MTL Red Team yang telah dilancarkan pada 28 Oktober lalu, JBPM juga telah mewujudkan (Regional Forward Base) yang sebelum ini ditempatkan di tiga (3) lokasi iaitu di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur, Terengganu untuk respons di kawasan Wilayah Timur; Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, Pulau Pinang untuk respons di kawasan Wilayah Utara; dan BBP Ayer Hitam, Johor untuk respons di kawasan Wilayah Selatan.

Dari segi kekuatan logistik darat dan air, kesiapsiagaan ini melibatkan kenderaan angkut ringan sebanyak 584 unit, kenderaan angkut berat 140 unit dan kenderaan marin 487 unit termasuk 62 bot pelbagai jenis sumbangan syarikat, NGO serta orang perseorangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,211 unit.

Dalam pada itu, arahan pembekuan cuti secara total telah dikeluarkan pada 4 November 2022 sehingga 30 November lalu. Bagi bulan Disember bermula 1 Disember 2022 sehingga 15 Januari 2023 pula hanya 20% daripada keseluruhan pegawai dan anggota dibenarkan bercuti sehingga data yang direkodkan menunjukkan trend penurunan dan keadaan kembali terkawal.

Menurut YB KM, “Selaku Menteri baru di KPKT, saya menyambut baik usaha murni dan kesiapsiagaan JBPM bagi mendepani risiko banjir khususnya Monsun Timur Laut. Keberadaan Wira Merah di lapangan membuktikan JBPM senantiasa dekat di hati rakyat Malaysia khususnya tatkala berlaku musibah, bencana atau kemalangan.”

“Saya optimis KPKT dan agensi lain di bawah kementerian ini akan turut sama mengembleng tenaga dalam usaha membantu masyarakat khususnya mangsa-mangsa banjir yang terjejas bagi membantu meringankan beban yang terpaksa dihadapi mereka dari semasa ke semasa.”

Penekanan juga diberikan antara pengurusan di bawah payung Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) di mana JBPM akan bertindak sebagai komander operasi bagi bencana banjir. Perkara ini adalah telah termaktub di dalam arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN.20) di mana JBPM akan memainkan peranan penuh menangani dan merancang setiap langkah-langkah yang harus di ambil untuk menghadapi bencana ini.

Program-program kesedaran awam turut diberi tumpuan oleh JBPM bagi mempertingkatkan lagi kefahaman masyarakat berkaitan info-info risiko banjir dan langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku banjir, tanah runtuh atau kepala air.

Turut hadir YB Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha, YAS Dato’ Sri Ts. Mohammad Hamdan bin Hj Wahid, Ketua Pengarah JBPM dan barisan pengurusan tertinggi KPKT.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor di KKB Boleh Jadi Satu Kesalahan Pilihan Raya

Dikeluarkan oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Wasatiyyah kunci rumah terbuka Aidilfitri lestari

Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar Barangkali, Malaysia merupakan antara negara Islam paling...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Membawa Generasi Z kembali ke akar tradisi Aidilfitri

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Siti Nurmaliya Zakaria Tradisi hari...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...