AMLuar Bandar @ My LNANiaga @ My LNA

KPLB lahirkan lebih 64 ribu usahawan desa

148

PUTRAJAYA, 21 September 2022 – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya melahirkan lebih 64 ribu usahawan desa menerusi pelbagai agensi di bawahnya.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi memastikan usahawan desa sentiasa berdaya maju dan kalis kemelesetan ekonomi, pelbagai bantuan seperti geran, pembiayaan, latihan dan pembangunan disediakan KPLB.

“Bantuan disalurkan bagi memastikan usahawan-usahawan ini dapat meneruskan perniagaan mereka khususnya ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid19 dan krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia.

Tetapi mereka tidak boleh mengharapkan bantuan daripada Kerajaan semata-mata. Mereka juga perlu memajukan perniagaan masing-masing dengan menggunakan pendekatan terkini seperti digitalisasi dalam perniagaan.”

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengasas Richworks International Sdn. Bhd., Datuk Dr. Azizan Osman.

Jelas Mahdzir, usahawan desa KPLB terbabit dalam pelbagai bidang perniagaan merangkumi empat sektor utama iaitu pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pelancongan desa.

Bagi memastikan usahawan desa memasarkan produk mereka secara terancang, KPLB memperkenalkan Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta KPLB (KU1J@KPLB) melibatkan kerjasama dengan Rickworks International Sdn. Bhd.

Program berbentuk kejurulatihan dan mentor-mentee ini menyasarkan usahawan desa mencapai sasaran jualan tahunan berjumlah RM1 juta yang pertama.

Aktiviti ini adalah salah satu daripada beberapa aktiviti sokongan keusahawanan yang telah dirancang di bawah Program Rural Business Challenge 2.0 (RBC 2.0).

“Saya dimaklumkan pada peringkat awal, seramai 67 orang usahawan desa telah memohon bagi menyertai program ini. Daripada jumlah itu, seramai 52 orang usahawan desa telah melepasi saringan awal.

Seterusnya tapisan akhir dibuat dan seramai 25 orang usahawan terpilih untuk mengikuti aktiviti bimbingan KU1J@KPLB ini.”

Kesemua peserta akhir yang terpilih akan dibimbing dan diberi tunjuk ajar secara fizikal dan maya selama 12 bulan bagi mencapai jualan tahunan sebanyak RM1 juta dalam tempoh 6 bulan hingga setahun.

Melalui tempoh berkenaan mereka akan didedahkan mengenai pengurusan pemasaran, pematuhan, operasi, kepimpinan, pembangunan perniagaan dan aktiviti mentoring.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles