AMSains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Mosti komited untuk memastikan pasaran grafit dan grafin di Malaysia mencapai tahap global

159

KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2022 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba hari ini telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Graphjet Technology Sdn. Bhd. (Graphjet) dengan Toyoda Trike Corporation (Toyoda) dan Asia Development Capital Ltd. di The Majesctic Hotel Kuala Lumpur.

Menerusi MoU ini, Toyoda yang merupakan sebuah syarikat terkemuka dari Jepun dan terkenal di peringkat antarabangsa, telah diberikan hak eksklusif untuk mengedarkan grafit dan grafin yang dihasilkan Graphjet di Jepun. Melihat kepada rekod prestasi Toyoda yang kukuh dan Jepun sebagai salah satu hab utama industri automotif, kerjasama ini dilihat akan mampu mempromosikan bahan grafin buatan Malaysia.

Syarikat Graphjet telah memulakan pendekatan yang inovatif untuk menghasilkan grafin daripada isirong sawit. Teknologi yang dipatenkan ini ialah penyelesaian yang akan memajukan pembangunan grafin. Teknologi yang menggunakan isirong sawit sebagai bahan utama dalam penghasilan grafin ini juga memberi kelebihan kepada Malaysia untuk membekalkan bahan mentah dalam penghasilan grafin memandangkan Malaysia merupakan antara pengeluar kelapa sawit terbesar dunia.

Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, kerjasama ini dapat memberikan manfaat yang besar memandangkan Toyoda dan Graphjet adalah pemain utama dalam industri masing-masing. Ia akan memberikan pertumbuhan pendapatan yang ketara kepada kedua-dua syarikat, seterusnya memacu ekonomi Malaysia dan Jepun.

“Untuk jangka masa panjang, saya percaya bahawa pemasaran grafin yang dihasilkan Graphjet akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia mempunyai potensi untuk membekalkan kepada syarikat produk grafin tempatan di bawah program ‘Graphenovation’ dan membolehkan Malaysia menjadi salah satu pengeksport grafin di dunia suatu hari nanti. Selain itu, ia juga akan menjadi penggalak kepada syarikat yang ingin memanfaatkan potensi besar grafin untuk melabur di Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, “Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut menyarankan agar Graphjet menjalin kerjasama dengan NanoMalaysia Berhad (NMB) terutamanya dalam rantaian bekalan dan pembangunan produk hiliran dan aplikasi dengan grafin, selain mendapatkan pensijilan GrapheneVerify untuk produk bagi mengukuhkan kehadirannya dengan pengiktirafan domestik dan antarabangsa.”

Untuk makluman, GrapheneVerify ialah program di bawah NanoVerify Sdn. Bhd. (NVSB), sebuah syarikat milik penuh di bawah NMB iaitu agensi di bawah MOSTI untuk menggalakkan penyertaan pemain grafin Malaysia dalam ekonomi grafin global yang dianggarkan berjumlah AS$267 bilion dalam tempoh lima (5) tahun akan datang.

Objektif program ini adalah untuk mengesahkan kehadiran dan kualiti grafin di dalam produk, mempromosikan produk berasaskan grafin ke pasaran tempatan dan antarabangsa, memupuk kepercayaan orang ramai di kalangan pengguna dan pemain industri dalam produk grafin yang disahkan dan memastikan daya saing produk berasaskan grafin tempatan di peringkat antarabangsa.

Dalam Rancangan Malaysia ke-11, NMB telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan Pelan Tindakan Graphene Kebangsaan 2020 (NGAP 2020). Sehingga kini, terdapat 61 projek telah diaktifkan dan 40 harta intelek telah difailkan melibatkan 50 syarikat PKS tempatan, termasuk syarikat pemula. Projek-projek ini telah mencipta lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Beragamalah dengan ilmu

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli Pada masa kini, umat Islam...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Wasatiyyah kunci rumah terbuka Aidilfitri lestari

Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar Barangkali, Malaysia merupakan antara negara Islam paling...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Membawa Generasi Z kembali ke akar tradisi Aidilfitri

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Siti Nurmaliya Zakaria Tradisi hari...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi sederhana di Rantau Taiwan

Satu kejadian gempa bumi sederhana telah berlaku di Rantau Taiwan pada pukul...