KUALA LUMPUR, 15 JULAI 2022 – YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Pemilikan Kediaman atau Home Ownership Programme (HOPE) dan Karnival Jom Beli Rumah 2022 petang ini anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama rakan strategik iaitu Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) dan Media Prima Omnia Bhd (Omnia). Karnival ini berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Julai 2022 bertempat di Dewan 1, Pusat Pameran Mid Valley Megamall (MVEC), Kuala Lumpur.
Home Ownership Programme (HOPE) merupakan antara komitmen Kerajaan melalui peranan KPKT dalam memastikan pemilikan kediaman dan penyediaan ekosistem sektor perumahan sentiasa diberi perhatian sewajarnya. HOPE juga merupakan satu pendekatan bersepadu KPKT yang melihat keseluruhan komponen pemilikan kediaman serta memberi penyelesaian kepada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia dalam soal pemilikan kediaman.
Menurut YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, HOPE telah dirangka dengan mendapatkan pandangan serta sentuhan 25 orang pakar bidang perumahan (panel of experts) dari pelbagai latar belakang yang menekankan elemen 5K yang menjadi komponen asas HOPE iaitu Ketersediaan (availability), Kemampuan Kewangan (affordability), Kemudahan Pembiayaan (accessibility), Kualiti (quality) dan Kediaman Berdaya Huni (liveability).
HOPE juga dirangka dengan iltizam untuk menyediakan penyelesaian kepada cabaran yang ada dan juga memberi sinar harapan kepada Keluarga Malaysia bahawa dalam soal pemilikan kediaman mampu milik, Kerajaan sentiasa mendengar dan berusaha untuk memudah cara terutamanya kepada kumpulan sasaran kita B40, M40 serta anak muda.
Justeru, Pelancaran HOPE dan Karnival Jom Beli Rumah 2022 ini adalah selari dengan sasaran “Satu Keluarga Satu Rumah” yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri semasa Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) pada 10 Februari 2022. Fokus utama sasaran adalah rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana terutamanya dalam kumpulan M40 dan B40 serta golongan belia.
YB Dato’ Sri Reezal Merican juga melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri yang telah mengumumkan Inisiatif Pemilikan Perumahan Malaysia (i-MILIKI) yang melibatkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama secara peringkat atau tier harga rumah iaitu insentif pengecualian duti setem sebanyak 100 peratus bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah; dan insentif pengecualian sebanyak 50 peratus bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta. Kedua-dua pengecualian ini adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh mulai 1 Jun 2022 sehingga Disember 2023.
Pengumuman i-MILIKI ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam membantu kumpulan sasaran iaitu B40, M40 dan anak muda serta melengkapi komponen HOPE bagi meningkatkan keupayaan memiliki kediaman. Ia juga sekaligus dapat merancakkan kembali industri hartanah dan perumahan pasca pandemik COVID-19.
YB Dato’ Sri Reezal Merican juga menyatakan bahawa KPKT komited untuk meningkatkan bekalan Rumah Mampu Milik (RMM) sebanyak 500,000 unit rumah menjelang tahun 2025. Sehubungan itu, karnival ini menawarkan para pemaju perumahan yang berkaliber dalam penyediaan rumah mampu milik kepada bakal pembeli.
Karnival Jom Beli Rumah yang julung kalinya berlangsung pada tahun 2022 akan turut diadakan di peringkat zon seluruh negara. Karnival kali ini pula menyediakan sebanyak 40 reruai (pempamer) dengan penyertaan 17 pemaju perumahan berkaliber seperti Gamuda Land Sdn. Bhd, Sunway Property, Mah Sing Group Berhad, Putrajaya Holdings Sdn. Bhd dan pelbagai lagi. Institusi-institusi kewangan yang menawarkan pembiayaan turut mengambil bahagian seperti Maybank, Bank Muamalat, Bank Islam,
Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional dan Public Bank di samping agensi-agensi perumahan di bawah Kerajaan Persekutuan dan Lembaga Perumahan Negeri.
Karnival Jom Beli Rumah 2022 ini tidak hanya memfokuskan kepada pameran dan jualan hartanah sahaja, namun turut menyediakan pelbagai program menarik kepada para pengunjung yang hadir. Antara program yang disediakan adalah seperti persembahan hiburan daripada artis tanah air, klinik pengurusan kewangan, sesi bual bicara ilmiah bersama pakar, khidmat nasihat dan program-program khusus untuk kanak-kanak. Melalui karnival ini, kerajaan berharap agar rakyat Malaysia dapat memanfaatkan insentif dan tawaran yang disediakan untuk memiliki kediaman yang diidamkan.
Kerajaan melalui KPKT juga akan terus memfokuskan kepada matlamat menyediakan perumahan yang selesa untuk Keluarga Malaysia sekaligus merealisasikan matlamat Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) melalui gagasan “Liveable Malaysia atau Malaysia Berdaya Huni”. Ia selari dengan aspirasi dan keprihatinan kerajaan dalam mewujudkan perumahan yang selesa dan mampu milik untuk rakyat.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment