Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

MOSTI tawar 27 penyelesaian teknologi tangani isu sekuriti makanan

74
Vertical farming is sustainable agriculture for future food.

PUTRAJAYA 28 Jun 2022 – Sebanyak 27 daripada 46 penyelesaian teknologi yang sedia diguna pakai secara meluas ditawarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membantu negara menangani isu sekuriti makanan bagi penyelesaian jangka masa pendek.

Antaranya adalah penggunaan automasi sistem fertigasi, pertanian menegak (vertical farming), akuaponik yang digandingkan bersama aplikasi kecerdasan buatan (AI) yang mampu beroperasi di kawasan terpencil dan mengurangkan kos operasi melalui penggunaan Panel Tenaga Suria Nano (NLEP) tenaga solar sebagai sumber tenaga utama.

“Penggunaan teknologi ini boleh diguna pakai bagi pelbagai jenis tanaman hijau berdasarkan kesesuaian kawasan dan keperluan pasaran.

Sementara itu, teknologi IoT dan blockchain akan turut digembleng bersama lain-lain penyelesaian teknologi bagi merancakkan industri agro.

Penggunaan biobaja pintar, teknologi penjerap nutrien dan teknologi pemuliharaan tanah juga boleh meningkatkan produktiviti tanaman. Teknologi ini berupaya mengatasi isu kenaikan harga baja berikutan bekalan bahan terhad berikutan krisis dunia. Produk ini amat sesuai digunakan dalam skala besar bagi mempertingkatkan kawasan penanaman yang subur dalam tempoh yang singkat.” jelas MOSTI dalam satu kenyataan yang diedarkan hari ini.

Tambah MOSTI, menerusi Agensi Nuklear Malaysia, kajian dan data di lapangan juga telah memperlihatkan keupayaan biobaja yang berpotensi menjimatkan kos baja sehingga 50 peratus dan meningkatkan hasil sehingga 8 peratus.

Katanya ia akan mengurangkan kebergantungan kepada baja, dan subsidi baja juga dapat dikurangkan secara berperingkat.

“Untuk makluman, beberapa model pelaksanaan juga telah dikenal pasti MOSTI termasuk perubahan besar ke atas penambahbaikan mekanisma sistem penyampaian sekiranya perlu dilaksanakan bagi memperkukuhkan polisi negara dalam mengalakkan lagi penggunaan teknologi dalam industri agro.

MOSTI yakin bahawa teknologi yang diketengahkan mampu memberi impak yang berkesan dalam memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan kos yang berpatutan serta pengurangan kepada kebergantungan penuh kepada buruh asing.

Kesemua penyelesaian teknologi ini merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan yang dibiayai oleh Kerajaan. Ini membuktikan bahawa negara mempunyai kepakaran dan kemampuan yang tinggi dalam sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) dan peluang ini digunakan sebaiknya dalam menangani isu bekalan makanan.” kata MOSTI.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member