27 JUN 2022 – Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz berkata Kerajaan menyambut baik pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia oleh S&P pada A- serta semakan semula prospek daripada Negatif kepada Stabil.
Katanya dalam satu kenyataan media, semakan semula prospek ini mencerminkan tindakan dasar Kerajaan yang efektif, bagi mendorong pemulihan ekonomi yang kukuh serta daya tahan negara ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran getir dan ketidaktentuan di dalam landskap global.
Menurut Zafrul, laporan S&P tersebut menyebut, “Prospek yang stabil mencerminkan jangkaan bahawa momentum pertumbuhan Malaysia yang stabil dan kedudukan luaran yang kukuh akan kekal dalam tempoh dua tahun akan datang. Kami juga telah menyemak semula prospek kepada stabil berikutan trend konsisten pertumbuhan kukuh Malaysia berbanding negara dalam kumpulan pendapatan setara”.
“Dalam hal ini, S&P mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada 6.1% untuk tahun 2022 dan 5.0% pada tahun 2023. Berikutan pertumbuhan suku pertama pada 5%, unjuran S&P adalah selaras dengan jangkaan Kerajaan untuk pertumbuhan lebih tinggi pada suku tahun berikutnya, sejajar dengan unjuran rasmi Kerajaan pada kadar yang lebih tinggi di dalam julat 5.3 – 6.3%.
Sejak tahun 1998, Malaysia telah mencatatkan lebihan akaun semasa dan merekod lebihan sebanyak RM58.7 bilion pada tahun 2021. Kedudukan luaran Malaysia yang kukuh terus disokong oleh rizab antarabangsa yang mencukupi dan pemilikan aset luar yang cukup tinggi oleh bank-bank dan syarikat-syarilat korporat. Faktor-faktor ini serta dasar tukaran asing yang fleksibel menyokong keupayaan Malaysia dalam menghadapi kemungkinan kejutan luaran.” kata Zafrul.
Tambahnya, momentum pemulihan ekonomi di Malaysia diunjurkan bertambah baik dengan pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa.
Katanya ekonomi negara berada di landasan yang tepat untuk mencapai unjuran pertumbuhan bagi tahun ini dengan peningkatan aktiviti ekonomi dan pelaksanaan semula projek pembangunan dengan kesan pengganda yang tinggi.
“Kerajaan akan terus memantau keadaan global dan melaksanakan langkah berkesan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan sektor perniagaan terus dilindungi.
Melangkah ke hadapan, keutamaan negara untuk meningkatkan prospek ekonomi dan daya tahan jangka panjang Malaysia akan tertumpu kepada pendigitalan, penggunaan teknologi dan ESG/ kemampanan. Kesemua inisistif ini akan dilaksanakan seiring dengan komitmen Kerajaan terhadap pembaharuan struktur jangka sederhana untuk menarik pelaburan berkualiti serta menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dan pekerjaan bergaji lumayan. Usaha ini akan dimulakan melalui Bajet 2023 dengan tema “Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia”.” kata Zafrul.
Laporan S&P tersebut juga menyatakan “Walaupun defisit bajet Malaysia kekal tinggi, kami menjangkakan pertumbuhannya yang dinamik dapat mengimbangi kelemahan yang berkaitan dengan kedudukan fiskal yang lemah. Di samping itu, komitmen politik untuk meneruskan semula konsolidasi fiskal pasca-pandemik adalah kukuh, menurut pandangan kami”.
Kata Zafrul, ke arah itu, Kerajaan kekal komited ke arah konsolidasi dan kemampanan fiskal.
“Kerajaan akan meneruskan usaha konsolidasi fiskal secara strategik dan berperingkat apabila pemulihan ekonomi semakin kukuh dengan disokong oleh pelaksanaan berperingkat Strategi Hasil Jangka Sederhana (Medium-Term Revenue Strategy, MTRS) yang bertujuan untuk menambah baik asas hasil negara. Langkah ini akan mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan fiskal dan ekonomi jangka panjang.
Kerajaan juga sedang menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) sebagai sebahagian daripada inisiatif pembaharuan fiskal untuk mengukuhkan kewangan awam dengan meningkatkan lagi disiplin fiskal, keberkesanan perbelanjaan dan ketelusan. Akta FRA akan meningkatkan lagi kredibiliti pelaksanaan dasar fiskal bagi mencapai kemampanan kewangan awam jangka panjang dan kestabilan makroekonomi. Akta ini dijangka akan dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini dan secara khususnya akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti melalui pelaporan yang lebih komprehensif termasuk penerbitan penyata perbelanjaan cukai, laporan belanjawan pertengahan tahun dan penyata risiko fiskal.
Kerajaan akan terus bertindak secara strategik, proaktif dan tegas – memandangkan persekitaran luaran yang semakin tidak menentu serta keadaan inflasi global yang tinggi yang juga telah mengakibatkan tekanan inflasi domestik – demi memastikan trajektori pemulihan ekonomi kekal kukuh.” kata Zafrul.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment