Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

KI2M terima 123 penyertaan

164

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2022 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini merasmikan Majlis Perasmian Penutupan dan Pengumuman Pemenang Bagi Pertandingan Kimia Invensi Dan Inovasi Malaysia (KI2M) 2022 anjuran Institut Kimia Malaysia (IKM) dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang.

Menurut MOSTI dalam kenyataan hari ini, KI2M yang diadakan bermula 4 Januari 2022 sehingga 10 Mei 2022 buat julung kali ini telah menerima sebanyak 123 penyertaan yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah hingga universiti, ahli akademik, profesional, kakitangan institusi kerajaan atau swasta dan usahawan dalam kalangan orang awam secara amnya.

“Antara objektif KI2M ini diadakan adalah untuk mewujudkan platform bagi mempamerkan hasil inovasi, ciptaan dan reka bentuk serta memberikan kesedaran dan galakan kepada pakar untuk memulakan penyelidikan berorientasikan produk dan memupuk budaya kreatif dan inovatif di negara ini.

Sebanyak tiga (3) kategori telah dipertandingkan iaitu idea atau konsep di mana peserta perlu menghantar penyertaan dalam bentuk tesis lengkap atau laporan rasmi; produk di mana peserta perlu menghantar produk sebenar dengan ciri-ciri inovasi atau inventif; dan projek di mana peserta perlu menghantar projek sebenar dengan inovasi dan invensi kimia serta komponen yang berkaitan.” katanya.

Dalam pada itu, Adham berkata penganjuran KI2M yang merupakan salah satu program sempena minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 ini adalah bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada mereka yang telah berjaya menghasilkan inovasi yang signifikan serta memberi impak besar kepada perkembangan dan kemajuan masyarakat.

“Sekalung penghargaan diucapkan kepada rakan strategik program iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang serta penaja bagi program ini iaitu Bank Simpanan Nasional.

Harapan saya agar Institut Kimia Malaysia dan penganjur-penganjur bersama terus proaktif dalam usaha memperkasa budaya penghayatan ilmu agar dapat memberi hasil yang pelbagai dimensi, berimpak tinggi dengan kos yang minima,” katanya.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *