COVID-19 @ My LNAKesihatan @ My LNA

MOSTI luluskan dana tambahan RM15 juta biayai projek genomic surveillance virus SARS-CoV-2

63

9 Mei 2022 – MOSTI telah meluluskan dana tambahan sebanyak RM15 juta di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membiayai projek genomic surveillance virus SARS-CoV-2.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOSTI berkata projek yang telah memasuki Fasa 3 ini adalah amat penting dan strategik bagi mengenal pasti dan memantau varian virus SARS-CoV-2 di Malaysia terutamanya variant of concern (VOC) seperti varian Omicron dan Delta.

“Konsortium 11 buah makmal yang diselaraskan oleh Institut Genom dan Vaksin Malaysia-Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (MGVI-NIBM) mensasarkan untuk menjujuk sebanyak 15,000 tambahan genom virus SARS-CoV-2. Konsortium 11 buah makmal ini terdiri daripada MGVI-NIBM, di bawah MOSTI; Institute for Medical Research (IMR), di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); dan 9 buah makmal di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu, Institute of Health and Community Medicine dari UNIMAS, UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI), Institute iPROMISE UiTM, Tropical and Infectious Diseases Research Centre (TIDREC) di UM, Pusat Kesihatan UM (UMMC), Hospital USM (HUSM), Hospital Pengajar UPM (HPUPM), Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC@IIUM) di UIAM.

Sehingga 27 April 2022, sejumlah 15,565 sampel telah dijujuk, dianalisis dan maklumat genom virus SARS-CoV-2 berkenaan telah dimuat naik ke pangkalan data Global Initiative on Sharing Avian Influenza Data (GISAID).” kata MOSTI.

Taburan varian-varian utama virus SARS-CoV-2 di Malaysia adalah seperti berikut:

i) 7,245 sampel atau 46.55% dikenal pasti sebagai varian Delta;
ii) 6,374 sampel (40.95%) adalah varian Omicron;
iii) 283 sampel (1.82%) adalah varian Beta; dan
iv) 33 sampel (0.21%) adalah varian Alpha.

Kata MOSTI, sampel-sampel tersebutdipilih oleh pihak KKM dan diambil dari semua negeri di Malaysia.

“Analisis garis-masa pola perubahan varian di Malaysia menunjukkan peningkatan jumlah varian Delta dan Omicron masing-masing bermula sekitar bulan Ogos 2021 dan Disember 2021. Varian Delta dan Omicron ini diketahui lebih berbahaya dengan kadar infektiviti yang lebih tinggi dan mampu menjangkiti kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksinasi serta dos penggalak. Mereka yang belum divaksin juga berisiko tinggi untuk mudah mendapat varian Delta dan Omicron, justeru vaksinasi adalah perlindungan terbaik melawan varian berkenaan.

Bagi varian Omicron, pola garis-masa perubahan sub-varian Omicron di Malaysia dari November 2021 hingga April 2022 menunjukkan 3,010 sampel adalah sub-varian Omicron BA.2; 1,989 sampel sub-varian BA.1.1; dan 694 sampel sub-varian BA.1. Pola tersebut menunjukkan “lineage” BA.1 dan BA.1.1 mendominasi pada ketika awal kemunculan Omicron pada akhir tahun 2021, tetapi ianya mula beralih ke lineage BA.2 seawal Januari 2022. Hampir kesemua (>99%) sampel yang dijujuk dalam bulan Mac dan April 2022 adalah daripada lineage BA.2 dan sub-lineage-nya.

Maklumat berkenaan genom varian virus SARS-CoV-2 adalah amat penting untuk kerajaan mengambil tindakan yang wajar dan khusus bagi mengawal dan membendung penularan varian-varian berkaitan. Apabila virus SARS-CoV-2 ini bermutasi, varian baharu yang muncul mungkin mempunyai keupayaan yang berbeza termasuk dari segi kebolehjangkitan, keterukan gejala, ketepatan ujian diagnostik dan keberkesanan vaksin dan terapeutik. Sebagai contoh, kajian telah menunjukkan bahawa varian Omicron pada masa ini mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi tetapi dengan gejala yang kurang teruk berbanding dengan varian Delta. Ini disebabkan oleh mutasi yang menyebabkan perubahan dalam mekanisme virus itu untuk menjangkiti sel manusia.” kata MOSTI.

Tambahnya, kadar genomic surveillance, iaitu kadar genom yang dijujuk per jumlah kes positif yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah di antara 5-20%. Katanya, ia berdasarkan pengiraan pada tahap keyakinan 95% (95% confidence) untuk dapat mengesan varian yang beredar dalam populasi sesebuah negara, terutamanya pada peringkat awal peredaran. Jelas sekali, pengesanan varian yang baru muncul akan memerlukan sampel yang lebih besar dan kadar genomic surveillance yang lebih tinggi berbanding pengesanan varian yang telah merebak dengan meluas.

“Oleh itu, kadar genomic surveillance ini secara langsung berkait dengan keupayaan pengesanan awal VOC baharu dan pengawalan kluster-kluster baru. Pada masa ini, kadar genomic surveillance bagi negara kita masih kurang daripada 1%, walau bagaimanapun Fasa 3 ini adalah sebahagian dari usaha positif bagi mencapai sekurang-kurangnya 1% kadar genomic surveillance seperti mana yang disasarkan oleh kerajaan.

MOSTI melalui usaha sama MGVI-NIBM dan agensi/institut di bawah seliaan kementerian berkaitan (KKM dan KPT) akan terus menerajui bidang R&D genom bagi menyokong agenda kesihatan nasional, seterusnya sekuriti kesihatan rakyat Malaysia dalam memerangi penyakit berjangkit, terutamanya COVID-19 dapat diperkasakan.” kata MOSTI.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKesihatan @ My LNAPendidikan @ My LNA

OleoRangers pupuk kesedaran awam terhadap pemilihan, pengendalian minyak masak yang mampan

Makanan merupakan salah satu faktor yang paling penting dalam memastikan kesihatan. Makanan...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAKesihatan @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Komponen psikospiritual Islam perlu untuk mencegah bunuh diri

Oleh: Dr. Mohd Khairul Naim bin Che Nordin Apabila kerajaan negeri Kelantan...

AMBM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAKesihatan @ My LNAUTAMA

Tiada Data Sokong ‘Kemujaraban’ Ivermectin Melawan Covid-19 – JomCheck

Oleh : JomCheck JOMCHECK terpanggil untuk membuat semakan berhubung mesej berkenaan penggunaan...

AMBM @ MY LNAKesihatan @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Perlunya pindaan perundangan elak dera, abai warga emas

Oleh: Dr. Siti Aisyah Samudin Dasar Kebajikan Masyarakat Negara yang mula digubal...