Fasiliti terbaharu bakal menangani masalah bekalan industri papan litar bercetak di rantau ini
PULAU PINANG 25th April 2022 – TTM Technologies, Inc., pengeluar papan litar bercetak terkemuka dunia yang berpusat di A.S akan membina sebuah kilang operasinya di Pulau Pinang. Ini merupakan kilang pertama TTM Technologies di Malaysia. TTM Technologies, sebuah syarikat yang disenaraikan di Nasdaq, akan melabur AS$130 juta (kira-kira RM550 juta) sehingga tahun 2025. Pembinaan kilang berkenaan direalisasikan dengan upacara pecah tanah yang diadakan hari ini.
Majlis berkenaan dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawanan Pulau Pinang, YB Dato’ Abdul Halim Hussain; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lim Bee Vian; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Ybhg. Dato’ Loo Lee Lian; dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TTM Technologies, Thomas Edman. Turut hadir, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi, TTM Technologies, Inc., Philip Titterton; dan Presiden Unit Perniagaan AMI&I, TTM Technologies, Anthony Sandeen.
Pembukaan kilang TTM Technologies bertujuan memenuhi permintaan tinggi terhadap rantaian bekalan papan litar bercetak (PCB) di luar wilayah China. Pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi kilang baharunya dibuat berdasarkan pertimbangan yang teliti terhadap pelaburan dan kos operasi, jarak dengan pelanggan dan sokongan rantaian bekalan elektrik dan electronik (E&E). Kilang baharu ini akan memberi perkhidmatan kepada pasaran komersial global TTM Technologies termasuk rangkaian komunikasi, pusat data pengkomputeran, dan perubatan, perindustrian dan instrumentasi.
YAB Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, turut mengucapkan tahniah atas kejayaan TTM. “Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai salah satu pemain industri yang besar dalam industri semikonduktor global, khususnya dalam bidang pemasangan dan ujian serta pembuatan peralatan. Didorong oleh kecemerlangan pembuatannya selama lima dekad, sejurus membuka laluan kepada pembangunan industri yang mampan, negeri tersebut komited untuk memperkukuh kelompok industrinya. Tambahan pula dengan adanya PCB dan substrat sebagai subsektor baru yang muncul di Pulau Pinang, saya yakin bahawa kewujudan TTM Technologies dapat meningkatkan keupayaan bakat tempatan dalam bidang penyelesaian teknologi PCB yang canggih.”
“Kerajaan Negeri melalui InvestPenang akan meningkatkan usahanya bagi memenuhi jangkaan pelabur dengan menyediakan kemudahan yang berterusan dan sokongan padu kepada pihak yang terlibat. Pulau Pinang amat mengalu-alukan kehadiran TTM sebagai sebahagian daripada ekosistem industri kami yang kukuh dan saya juga berharap agar dapat menjalin hubungan jangka panjang dengan TTM dalam tahun-tahun yang mendatang,” tambah beliau lagi.
Kilang berteknologi tinggi dan canggih ini akan dibina di atas tanah perindustrian seluas kira-kira 27 ekar di Taman Sains Pulau Pinang. Pembinaannya dijangka mengambil masa selama 12 hingga ke 15 bulan diikuti dengan pemasangan peralatan pada pertengahan tahun 2023 manakala pengeluaran pertama disasarkan bermula pada separuh kedua 2023 sebelum kapasiti penuh di bawah Fasa 1 pada tahun 2025. TTM Technologies menjangkakan kilang baharu itu menyumbang hasil perolehan sebanyak AS$180 juta (kira-kira RM761.5 juta) pada tahun 2025. Kilang ini juga dalam perancangan untuk dikembangkan kepada Fasa 2 yang mampu meningkatkan pengeluarannya sebanyak 25 peratus.
Lim Bee Vian, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Pelaburan, MIDA pula berkata, “MIDA yakin ekosistem sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) Malaysia yang menyeluruh, keupayaan bakat tempatan, dan keutuhan rantaian bekalan semi-konduktor yang menyokong pertumbuhan jangka panjang, dapat membantu pelabur seperti TTM Technologies untuk mengembang operasi mereka di rantau ini.”
“Kami menjangka projek TTM Technologies akan membawa kepada penyediaan peluang pekerjaan dan pembangunan keupayaan rantaian bekalan kami untuk memenuhi keperluan segmen industri E&E selain menggalakkan kemunculan inovasi dalam bidang baharu. MIDA percaya bahawa upacara pecah tanah ini hanyalah titik permulaan kepada masa hadapan yang lebih hebat dan menarik bagi industri dan rakyat tempatan serta pertumbuhan TTM Technologies,” tambah beliau.
Sementara itu, Thomas Edman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TTM Technologies pula berkata, “Ini merupakan detik yang ditunggu-tunggu oleh pihak kami. Upacara hari ini menandakan lembaran baharu yang penting. Kami mempunyai misi untuk menyokong permintaan pelanggan kami dengan kejuruteraan nilai tambah yang berbeza serta penyelesaian produk PCB di peringkat global.
“Sebagai perintis pengeluaran PCB berteknologi tinggi di Asia Tenggara, TTM Technologies bertindak untuk memenuhi permintaan pelanggan terhadap rantaian bekalan yang berdaya tahan, kepelbagaian serantau dan kapasiti pertumbuhan,” tambah beliau.
“Kami amat menghargai kerjasama baharu dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MIDA. Sokongan mereka amatlah penting. Kami berharap kehadiran kami akan mewujudkan kerjasama jangka panjang yang memanfaatkan semua pihak,” kata beliau.
- The role of university and community in achieving SDGs
- Recover Red Introduces Portable Red Light Therapy Solution: The Power Stack
- BexBack Breaks Boundaries: Anonymous Trading with 100x Leverage on Perpetual Contracts and 100% Deposit Bonus!
- BC.GAME Launches Wukong Slot, Inspired by the Epic Adventures of Black Myth: Wukong
- BAKE Cheese Tart Returns to Singapore: A Freshly Baked Delight from Hokkaido
Leave a comment