Kesihatan @ My LNA

Malaysia berjaya capai “SIFAR” malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) bagi empat tahun berturut-turut

683
Malaria transmission cycle and symptom information infographic illustration

25 April 2022 – Malaysia telah berjaya mencapai “SIFAR” malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) untuk empat (4) tahun berturut-turut bermula tahun 2018 hingga 2021. Kejayaan membendung malaria manusia jangkitan tempatan diperolehi hasil keberkesanan inovasi dan strategi pengurusan kes dan kawalan vektor yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam kenyataan media sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata antara inovasi yang telah dilaksanakan adalah semburan residual racun serangga (IRS), penggunaan kelambu berubat dan penggunaan ubat Artemisinin Combination Therapy (ACT) bagi rawatan malaria.

“Selain itu, liputan capaian kepada perkhidmatan diagnosis, rawatan dan kawalan vektor di kawasan terpencil telah dipertingkatkan dengan pembinaan pejabat sub-sektor malaria. Walau bagaimanapun, Malaysia masih terdedah kepada risiko kemasukan semula jangkitan malaria manusia kerana terdapat kes malaria import di kalangan pekerja asing yang baru tiba atau warga Malaysia yang pulang dari negara endemik malaria. Pada tahun 2021, Malaysia melaporkan sebanyak 111 kes import malaria manusia. Bagi menangani ancaman ini, KKM telah menyusun strategi baru seperti saringan malaria di pintu masuk terpilih dan memetakan kawasan yang mempunyai risiko tinggi kemasukan semula malaria seterusnya melaksanakan intervensi pencegahan termasuk aktiviti kawalan vektor. Di samping itu, KKM juga telah mengenalpasti sektor berisiko seperti perladangan dan perhutanan untuk diberi tumpuan pelaksanaan aktiviti survelan malaria.

Selain jangkitan malaria manusia, Malaysia turut menghadapi ancaman baru yang lebih besar iaitu peningkatan jangkitan malaria zoonotik yang disebabkan oleh parasit Plasmodium knowlesi. Ianya ditularkan dari haiwan (beruk/kera) yang merupakan perumah semulajadi bagi parasit ini kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles sp. Berbeza dengan malaria manusia, penularan jangkitan malaria zoonotik kerap berlaku di luar rumah. Malaria zoonotik di Malaysia telah meningkat dengan drastik dari 376 kes pada 2008 kepada 3,575 kes pada tahun 2021. Malaria zoonotik juga adalah penyebab utama kematian malaria di Malaysia sejak tahun 2017. Peningkatan kes adalah disebabkan oleh pembukaan tanah yang pesat untuk aktiviti perladangan yang menyebabkan peningkatan pendedahan manusia kepada haiwan perumah semulajadi malaria zoonotik. Pada masa yang sama, KKM telah mempertingkatkan keupayaan diagnosa malaria zoonotik melalui kaedah polymerase-chain-reaction (PCR). Pada masa ini, rawatan malaria sedia ada adalah juga berkesan untuk malaria zoonotik. Cabaran KKM dalam menangani malaria zoonotik adalah ketiadaan kaedah kawalan vektor yang berkesan bagi membendung penularan jangkitan di luar rumah.” kata Khairy.

Tambah beliau, jika seseorang bergejala demam dan mempunyai sejarah masuk ke kawasan berisiko malaria atau baru pulang dari negara endemik malaria perlu segera mendapat rawatan di fasiliti kesihatan.

“Manakala, pekerja yang terlibat dalam sektor perladangan dan perhutanan perlu menjalani saringan malaria secara berkala. Di samping itu, langkah-langkah pencegahan jangkitan yang boleh diamalkan seperti memakai seluar panjang dan baju berlengan panjang serta ubat penghalau nyamuk (repellent) untuk melindungi diri dari gigitan nyamuk semasa berada di kawasan berisiko.” katanya.

Tema sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 adalah ‘HARNESS INNOVATION TO REDUCE THE MALARIA DISEASE BURDEN AND SAVE LIVES’. Objektif sambutan pada tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit Malaria yang masih menjadi masalah kesihatan awam di Malaysia. Di samping itu, sambutan ini menjadi platform advokasi bagi pengukuhan kolaborasi antara KKM bersama pelbagai agensi, menggalakkan inovasi serta memperluaskan penggunaan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan strategi mengawal Malaria.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKesihatan @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Raikan Syawal sebagai ibu bapa prihatin, demi senyuman mereka

Oleh: Prof Madya Dr Lily Azura Shoaib, Dr Noorhidayah Zainal Aalam Sambutan...

AMBM @ MY LNAKesihatan @ My LNAPendidikan @ My LNA

OleoRangers pupuk kesedaran awam terhadap pemilihan, pengendalian minyak masak yang mampan

Makanan merupakan salah satu faktor yang paling penting dalam memastikan kesihatan. Makanan...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAKesihatan @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Komponen psikospiritual Islam perlu untuk mencegah bunuh diri

Oleh: Dr. Mohd Khairul Naim bin Che Nordin Apabila kerajaan negeri Kelantan...