Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Cecair Nano berasaskan grafin mampu jimatkan kos dan tidak tinggalkan jejak pemasangan

178

KUALA LUMPUR 18 April 2022 – Cecair nano berasaskan grafin berupaya meningkatkan pemindahan haba dan mengurangkan penggunaan tenaga (kWh) pada kadar purata 20 hingga 30 peratus serta dapat mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara. Selain mampu menjimatkan kos dengan pulangan
pelaburan dapat diperoleh dalam masa kurang tiga (3) tahun, cecair nano tersebut tidak meninggalkan jejak pemasangan kerana bahan ini masih menggunakan infrastruktur paip sedia ada.

Dalam lawatan teknikal ke Blue Snow Consulting & Engineering Sdn. Bhd. (Blue Snow) semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata ke arah usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi dan memenuhi matlamat kemampanan, pihak kerajaan juga komited untuk menggunakan teknologi ini bagi mengurangkan kos tenaga sebenar yang ditanggung oleh syarikat komersial serta entiti besar lain supaya produk dan perkhidmatan yang ditawarkan menjadi lebih berdaya saing sambil menyumbang ke arah pengurangan jejak karbon yang disasar oleh negara.

Lawatan tersebut bertujuan menilai produk inovatif yang dihasilkan oleh Blue Snow iaitu cecair nano berasaskan grafin yang boleh menggantikan air sebagai medium dalam sistem penyejukan serta kebolehlaksaan bahan tersebut untuk digunakan dalam semua sistem penyaman udara komersial berpusat berasaskan pendingin bagi mengurangkan penggunaan tenaga. Turut hadir adalah Ketua Setiausaha (MOSTI) Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat NanoMalaysia Berhad (NMB), Dr. Rezal Khairi Ahmad.

Projek tersebut telah dibangunkan oleh Blue Snow di bawah Pelan Tindakan Grafin Kebangsaan (NGAP) 2020 dengan kerjasama NMB yang merupakan agensi utama di Malaysia dalam usaha pengkomersialan dan perindustrian nanoteknologi melalui model pembangun usaha sama. Kerjasama tersebut telah dilaksanakan sejak tahun 2018 bermula dari peringkat Bukti Konsep hinggalah ke peringkat Peningkatan Skala yang sedang dijalankan sekarang.

“Potensi komersial bagi cecair nano berasaskan grafin telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada lima (5) aplikasi utama di bawah NGAP pada tahun 2014. Keupayaan untuk mengenal pasti rakan industri yang
sesuai bagi merealisasikan idea dan peluang ini adalah penting bagi meningkatkan kadar pengkomersialan inovasi tempatan. Ciri penyejukan lebih baik yang dimiliki cecair nano termaju merupakan antara usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida selari dengan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) NanoMalaysia ke arah Malaysia yang lebih hijau melalui teknologi kecekapan tenaga.” kata Dr. Rezal Khairi Ahmad.

Saiz pasaran bagi cecair pemindahan haba untuk Malaysia pada tahun 2024 dianggarkan bernilai RM71.3 juta manakala untuk pasaran Asia-Pasifik (APAC) pula ialah USD1.253 bilion.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *