AMEkonomi @ My LNAPengguna @ My LNA

Isu harga ayam dan telur : MAFI adakan mesyuarat bersama KPDNHEP

97

16 April 2022 – Susulan isu kenaikan kos pengeluaran ayam dan telur, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengadakan mesyuarat pada 15 April 2022 bagi membincangkan isu tersebut. Mesyuarat tersebut turut membincangkan penyelesaian terbaik dalam menangani isu ini supaya industri ternakan kekal mampan, sekuriti makanan terjamin dan rakyat mendapat akses sumber protein dengan harga berpatutan.

Menurut MAFI dalam satu kenyataan media semalam, mesyuarat yang diadakan secara hibrid itu (fizikal dan maya) dihadiri oleh kedua-dua menteri iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi. Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar, Pegawai Kanan serta Pengurusan Tertinggi MAFI, KPDNHEP, KUSKOP, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Agrobank dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

“Sebanyak tiga (3) kertas telah dibentangkan oleh MAFI dan KPDNHEP dalam mesyuarat ini yang termasuk berkenaan kenaikan kos pengeluaran ayam di ladang, peningkatan harga jagung, senario pematuhan harga maksimum ayam dan telur ayam.

Menerusi mesyuarat ini turut dibincangkan antara lain faktor yang menyebabkan kenaikan harga kos pengeluaran ayam di ladang secara berterusan khususnya kenaikan harga jagung yang merupakan bijirin makanan utama ayam sehingga harga ayam didapati kembali meningkat. Dua komoditi utama yang melibatkan makanan ayam ialah jagung bijian dan soybeans meal (SBM). Harga jagung bijian dan soybean meal (SBM) telah meningkat masing-masing sebanyak 13% dan 11% sejak Januari 2022.” kata MAFI.

Menurut MAFI, Kerajaan sedang giat melaksanakan pemberian subsidi kepada penternak ayam pedaging dan ayam penelur. Katanya sebanyak RM528.52 juta disediakan untuk tujuan subsidi ini yang dilaksanakan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) untuk meringankan beban para penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70% dari kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.

“Berdasarkan rekod pendaftaran penternak di seluruh negara, dianggarkan seramai 2,255 orang penternak akan menikmati subsidi ini termasuk penternak persendirian, penternak integrator atau semi integrator dan juga penternak kontrak. MAFI akan terus mempercepat dan memperkemas pemberian subsidi sedia ada supaya para penternak dapat manfaat segera dari pemberian subsidi berkenaan.

Pemberian subsidi ini merupakan intervensi sementara Kerajaan yang perlu dilaksanakan untuk mengelakkan industri penternakan daripada terus menghadapi tekanan serta memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan. Harga runcit bagi ayam bulat juga telah ditetapkan pada RM8.90/kg sepanjang tempoh SHMKM. Walau bagaimanapun, mesyuarat juga mengambil maklum walaupun pemberian subsidi telah mula dinikmati oleh penternak namun kos pengeluaran terus meningkat.” katanya.

Tambah MAFI, perkara-perkara serta cadangan intervensi tambahan yang dibincangkan dan dikenalpasti dalam mesyuarat ini akan di bawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat. Tindakan proaktif akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan untuk memastikan harga kekal berpatutan, namun dalam masa sama industri penternakan ayam tidak terjejas dan sekali gus dapat memastikan bekalan kekal stabil.

Katanya, bagi tempoh jangka panjang, untuk mengurangkan kebergantungan kepada makanan import, Kerajaan memperkenalkan inisiatif 30% Pengurangan Bahan Import Makanan Ternakan melalui Blueprint Pembangunan Industri Jagung Bijian. Pada ketika ini beberapa sesi libat urus dengan beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), syarikat konglomerat telah dan sedang giat diadakan oleh MAFI untuk mendapatkan input dan menjalinkan kerjasama dalam usaha pembangunan industri jagung bijian negara melalui pendekatan berskala besar.

“MAFI akan terus menumpukan usaha bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan negara melalui pelbagai usahasama strategik dan sinergi terutamanya dengan kolaborasi bersama Kementerian berkaitan seperti KPDNHEP, KUSKOP, MOF dan KSM demi menjamin sekuriti makanan selain membantu petani dan pengusaha ternakan dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran sekali gus menangani isu dan cabaran yang dihadapi terutamanya berkaitan peningkatan kos pengeluaran.

Sesi libat urus berterusan dengan pihak industri akan diadakan untuk memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan terutamanya menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.” katanya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNASukan @ My LNAUTAMA

Dua kertas pertimbangan dibentang dalam mesyuarat JKPS

PUTRAJAYA, 18 April 2024 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Syawal ceria apabila adab dijaga

Oleh: Prof Madya Dr Aizan Ali@ Mat Zin Syawal merupakan bulan kemenangan...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Shikoku, Jepun

Satu kejadian gempa bumi kuat telah berlaku di Shikoku, Jepun pada jam...

AMBM @ MY LNA

Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI bersama PM di 7 buah negeri

PUTRAJAYA, 17 April 2024 – Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Bersama YAB Perdana...