PUTRAJAYA 15 April 2022 – Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin memaklumkan bahawa pengeluaran getah asli menurun 39.0 peratus pada bulan Februari 2022 (29,920 tan metrik) berbanding pada bulan Januari 2022 (49,087 tan metrik).
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, beliau berkata bahawa perbandingan tahunan turut menunjukkan penurunan 40.0 peratus (Februari 2021: 49,840 tan metrik). Tambah beliau, pengeluaran getah asli Malaysia pada Februari 2022 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.4%) berbanding sektor estet (11.6%).
“Penurunan pengeluaran getah asli yang berlaku ketika ini adalah selari dengan laporan yang dikeluarkan oleh The Association of Natural Rubber Producing Countries (ANRPC) pada keluaran laporan Statistik Getah Asli bulanan, Januari – Februari 2022. Laporan ini menyatakan di sebalik sentimen yang positif dalam pasaran getah asli, terdapat juga beberapa cabaran yang mungkin menghalang pertumbuhannya. Dari segi penawaran, ia banyak dipengaruhi oleh iklim yang buruk, kekurangan tenaga kerja di negara pengeluar getah asli di tengah-tengah peningkatan penyebaran varian COVID-19, kes Omicron di seluruh dunia dan musim luar menoreh yang mungkin memburukkan lagi kesesakan bekalan bahan mentah pada bulan akan datang.
Jumlah stok getah asli meningkat sebanyak 2.8 peratus pada Februari 2022 kepada 318,699 tan metrik berbanding 310,002 tan metrik pada Januari 2022. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 93.5 peratus diikuti kilang pengguna getah (6.4%) dan estet getah (0.1%).
Eksport getah asli Malaysia berjumlah 47,682 tan metrik pada Februari 2022 menurun 6.8 peratus berbanding Januari 2022 (51,160 tan metrik). China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 50.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Februari 2022 diikuti Amerika Syarikat (5.1%), Jerman (3.5%), Turki (3.4%) dan Brazil (2.1%). ” katanya.
Dr. Mohd Uzir turut berkata bahawa prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.9 billion pada Februari 2022, menurun 13.5 peratus berbanding Januari 2022 (RM2.2 billion)”. katanya.
Kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu sebanyak 15.0 peratus (Februari 2022: 658.14 sen sekilogram, Januari 2022: 572.08 sen sekilogram) dan bagi jenis Sekerap 0.6 peratus (Februari 2022: 606.41 sen sekilogram, Januari 2022: 603.05 sen sekilogram).
“Keadaan yang sama turut berlaku kepada semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) yang meningkat antara 0.9 hingga 14.9 peratus. Perubahan harga di peringkat global seperti yang dilaporkan oleh World Bank Commodity Price Data turut menunjukkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/ Malaysia) masing-masing meningkat 0.6 peratus (daripada USD1.78/kg kepada USD1.79/kg) dan 7.0 peratus (daripada USD1.97/kg kepada USD2.11/kg).
Industri getah sintetik global sedang mengikuti perkembangan di Ukraine, memandangkan sekatan ekonomi terhadap Rusia boleh mengganggu rantaian bekalan. Rusia adalah pengeksport utama getah sintetik, terutamanya getah polibutadiena (PBR) dan getah isoprena (IR). Salah satu kegunaan akhir utamanya ialah pengeluaran tayar. Pada 2020, Rusia mengeksport $1.34 bilion dalam getah sintetik, menjadikannya pengeksport getah sintetik ke-6 terbesar di dunia. Pada tahun yang sama, getah sintetik
merupakan produk ke-25 yang paling banyak dieksport di Rusia. Destinasi utama eksport getah sintetik dari Rusia ialah: China ($251 juta), India ($134 juta), Poland ($126 juta), Turki ($82.6 juta) dan Jerman ($61.5 juta). Oleh itu, krisis Rusia – Ukraine tersebut akan memberi kesan terhadap pasaran harga getah.” kata DOSM.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment