Ekonomi niaga

Ekspo 2020 Dubai: Minggu Ekonomi Digital Malaysia Jana RM1.295 Bilion Peluang Perdagangan dan Pelaburan ke Malaysia

  • Minggu Ekonomi Digital Malaysia, dianjur dan diketuai oleh KKMM dan MDEC, melepasi sasaran awal pelaburan iaitu RM300 juta.
  • Pelaburan berkelayakan bernilai RM1.295 bilion dijana menerusi 110 perniagaan berpotensi, 138 padanan perniagaan dan 16 perjanjian kerjasama.

CYBERJAYA, 21 Februari 2022 – Minggu Ekonomi Digital Malaysia telah berjaya menjana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM1.295 bilion ke Malaysia.

Kejayaan berkenaan diperolehi menerusi 110 perniagaan berpotensi, 138 padanan perniagaan dan 16 Memorandum Persefahaman (MoU) dalam kalangan 22 syarikat teknologi Malaysia yang terlibat sebagai delegasi di Minggu Ekonomi Digital semasa di Ekspo 2020 Dubai, diketuai oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), iaitu agensi peneraju ekonomi digital Malaysia.

Berlangsung daripada 9 hingga 15 Januari 2022 di Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai, Minggu Ekonomi Digital Malaysia menyediakan pameran inovasi teknologi dan penyelesaian Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Malaysia, merangkumi sektor seperti Teknologi Kewangan Islam dan penyelesaian ID digital kepada animasi dan permainan video. Acara berkenaan turut berjaya merekodkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung ke Pavilion Malaysia.

Kejayaan mencapai nilai potensi pelaburan RM1.295 bilion dan 110 perniagaan telah melepasi sasaran awal, iaitu sebanyak RM300 juta daripada segi pelaburan dan 50 perniagaan berpotensi. Peluang pelaburan berkenaan juga dijangka mewujudkan 890 peluang pekerjaan. “Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai menjadi bukti kekuatan Malaysia dalam ekonomi digital serta keyakinan global terhadap negara sebagai destinasi pelaburan digital utama. Pelaburan berkelayakan akan memberi impak berganda iaitu mewujudkan banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi yang menjadi nadi kepada pemulihan ekonomi negara selaras dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), serta memacu tawaran nilai Malaysia sebagai hab digital di ASEAN,” kata YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar bin Haji Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Tambah beliau, perdagangan dan pelaburan berkelayakan berkenaan merupakan satu langkah besar ke arah merealisasikan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), yang menyasarkan pelaburan digital bernilai RM70 bilion menjelang 2025.

Minggu Ekonomi Digital Malaysia turut menyaksikan sebanyak 16 Memorandum Persefahaman (MoU) berjaya dimeterai antara syarikat teknologi Malaysia dengan rakan kongsi antarabangsa. Sebanyak 138 padanan perniagaan juga berjaya dilaksanakan semasa acara berkenaan.

“MDEC berbangga kerana telah mengetuai barisan juara teknologi tempatan yang cemerlang dan berinovatif ke peringkat dunia. Kerjasama yang mereka jalinkan bukan sahaja akan membantu mereka berkembang sebagai pemain global tetapi juga akan memacu inovasi dan penyelesaian yang akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat dan memacu kita lebih jauh sebagai sebuah negara digital. Ekonomi digital yang mampan dibina atas semangat kerjasama – Ekspo 2020 Dubai bukan sahaja membolehkan rangkaian kerjasama diperluaskan di seluruh dunia, malah membuktikan kelebihan dan kekuatan perkongsian awam-swasta-industri,” kata Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

Minggu Ekonomi Digital Malaysia turut menjadi pentas pengumuman Malaysia Digital, program yang telah ditambah baik bagi menggantikan inisiatif MSC Malaysia, yang telah beroperasi sejak 25 tahun lalu. Malaysia Digital dijangka melonjakkan tawaran nilai Malaysia untuk menarik pelaburan digital menerusi rangka kerja yang berteraskan tiga komponen utama iaitu Ketangkasan, Fleksibiliti dan Relevan.

Di bawah inisiatif Malaysia Digital, Kerajaan dan MDEC turut memperkenalkan dua projek pemangkin iaitu DE Rantau dan Malaysia Digital Trade. DE Rantau dirancang untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di ASEAN, manakala Malaysia Digital Trade akan memacu kesalingoperasian dan penyelarasan yang lebih baik bagi standard dan pendekatan kawal selia serta memudahkan perdagangan di dalam dan merentasi sempadan.