Kuching Diiktiraf UNESCO Sebagai Bandar Raya Kreatif Bagi Kategori Gastronomi
PUTRAJAYA 18 November 2021: Bandar Raya Kuching diisytihar sebagai Bandar Raya Kreatif di peringkat UNESCO di bawah kategori gastronomi.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata pengiktirafan tersebut sejajar dengan hasrat Malaysia untuk memupuk elemen inovasi dan kreativiti sebagai pemacu ke arah pembangunan bandar raya yang lestari dan inklusif di rantau ini.
“Pengumuman yang dibuat oleh pihak UNESCO melalui surat bertarikh 16 November 2021 itu membuktikan komitmen berterusan Malaysia dalam mempromosikan negara ini di peta dunia disamping meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau MOTAC akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memperhalusi strategi yang lebih pragmatik ke arah mempergiatkan lagi program serta aktiviti yang dapat memperlihatkan Bandar Raya Kuching sebagai sebuah Bandar Raya Kreatif.
“Pengiktirafan ini menjadikan bandar raya Kuching lebih dikenali sebagai destinasi pelancongan budaya di persada antarabangsa dan sekaligus merancakkan lagi ekonomi dan industri pelancongan serta kebudayaan Malaysia”.
“Kepelbagaian menu warisan dan hidangan berasaskan etnik serta kekayaan tumbuhan herba sebagai sumber makanan menjadikan Kuching sesuai diangkat sebagai bandar raya kreatif kategori gastronomi” ujar beliau.
Selain Bandar raya Kuching, terdapat 48 bandar di seluruh dunia turut diiktiraf pada tahun 2021 menjadikan jaringan bandar raya kreatif UNESCO kini berjumlah 295 bandar di 90 negara dalam bidang kraf dan seni tradisional, rekabentuk, filem, gastronomi, kesusasteraan, seni media dan muzik.
- ALAMI YANG TERBAIK DI THAILAND MENERUSI
“THINK THAILAND” FESTIVAL - COVID-19 : Kes sembuh sebanyak 2,192
- Tempoh perkhidmatan Guru Interim lantikan tahun 2019 akan dilanjutkan untuk tempoh satu (1) tahun lagi
- Malaysia tubuhkan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (C4IR)
- Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 37 sen seliter. RON95 dan Diesel kekal