28 September 2021 – Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri di atas pembentangan Usul Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 yang merupakan rancangan lima tahun yang mantap dan inklusif, menyantuni seluruh Keluarga Malaysia tanpa mahu ada yang terpinggir daripada menikmati pembangunan menyeluruh yang disasarkan.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) komited untuk meneruskan agenda kerajaan yang memfokuskan kepada projek berkepentingan rakyat pascapandemik bagi lima tahun akan datang, khususnya ke arah mempertingkatkan infrastruktur bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Kesinambungan projek jalan raya yang berpaksikan rakyat akan terus diberi perhatian demi keselesaan dan keselamatan Keluarga Malaysia dengan mengetepikan segala perbezaan dan meraikan kepelbagaian.” kata Fadillah menerusi satu siaran media yang diedarkan hari ini.
Mengulas lanjut Fadillah berkata bagi di Semenanjung Malaysia projek berkenaan termasuklah Lebuhraya Pantai Barat yang melibatkan negeri Selangor dan Perak yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024; Projek Jalan Central Spine dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan yang dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025 dan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.
“Manakala bagi Sarawak fokus utama Kementerian semestinya untuk menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo selain meneruskan projek infra lain, antaranya Projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 1. Bagi Projek Pan Borneo Sarawak Fasa 1 kemajuan setakat ini telah mencapai 71 peratus siap dan jangkaan paling awal siap sepenuhnya pada akhir 2022. Bagi Projek Pan Borneo Sabah pula daripada kesemua 35 pakej di dalam Fasa 1 hanya 12 pakej yang sedang dalam pelaksanaan. Setakat ini kemajuan keseluruhan 12 pakej tersebut adalah 56% dan ianya dijangka siap pada akhir tahun 2023. Manakala pakej-pakej selebihnya dalam Fasa 1 iaitu sebanyak 23 pakej lagi akan dilaksanakan apabila peruntukan disediakan.” katanya.
Tambah Fadillah sehingga 21 Ogos 2021, KKR telah membelanjakan RM2,904 juta bersamaan 54.3% peruntukan belanja pembangunan.
“Sebagai Menteri Kanan bertanggungjawab terhadap kluster infra juga saya komited untuk memastikan penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 km jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.
Sarawak dan Sabah yang masih ketinggalan diberi perhatian dalam RMK-12 bila mana Fokus Ketujuh daripada Sembilan Fokus RMK-12 adalah Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun. Terima kasih YAB Perdana Menteri di atas komitmen yang diberi untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 serta jaminan pembangunan negeri Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam RMKe-12.” ujar Fadillah.
Katanya lagi, komitmen pucuk kepimpinan negara dalam RMK-12 untuk mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar serta melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak, membuktikan komitmen Kerajaan ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 Keluarga Malaysia.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment