Kenyataan Media

‘Keluarga Malaysia’ dan Komuniti Sejahtera

695

Penulis : Tinta Maya (Jabatan Komunikasi Komuniti)

Pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ yang di bawa oleh Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan suatu frasa yang sangat inklusif, matang dan bersifat merentasi sempadan politik, agama, sosiobudaya serta kaum. Apatah lagi bagi sebuah negara yang telah merdeka selama 64 tahun yang mempunyai masyarakat majmuk sudah tentu selama-lamanya akan menuntut perpaduan dan kesepakatan setiap ahli warganya sebagai batu asas kekuatan dan kewujudan Malaysia.

Jika melihatkan kepada frasa ‘keluarga’ itu sendiri, umum mengetahui bahawa definisi keluarga boleh diterjemahkan sebagai suatu unit manusia yang berkongsi leluhur, nilai dan ideologi yang sama, hormat-menghormati dan mempunyai ikatan yang kuat dan kukuh, seterusnya berada dalam persekitaran suatu kelompok komuniti, yang boleh dianggap sebagai melengkapi ‘keluarga’ sendiri. Begitu besar dan holistik frasa pilihan ini yang dilihat mengetengahkan semula sifat kemesraan dan keterikatan kita di dalam sebuah keluarga iaitu Keluarga Malaysia.

“Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan”, demikian bait-bait ucapan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri baharu sebagai menggambarkan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Berdasarkan pernyataan ini, dapat kita simpulkan bahawa falsafah kebersamaan dalam ‘Keluarga Malaysia’ boleh didefinisikan sebagai semua ahli masyarakat sama ada yang berada dalam komuniti bandar atau luar bandar, komuniti berpendapatan tinggi atau berpendapatan rendah, komuniti perniagaan besar atau Industri Kecil dan Sederhana (IKS), penjawat awam atau swasta, agamawan atau bukan, tenaga kerja professional atau kurang mahir, semuanya melengkapi antara satu sama lain dalam aspek sosioekonomi dan sosiobudaya negara.

Menurut Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, YBhg. Datuk Syed Fazmi, ‘Keluarga Malaysia’ ini bertunjangkan falsafah ‘Kebersamaan’ kita untuk hidup di sebuah negara yang demokrasi dan merdeka seperti Malaysia. Ia bukanlah satu jajaran politik baharu seperti yang dicanang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, tetapi sesungguhnya ia adalah merupakan suatu komitmen bersama semua pihak dalam usaha memerangi apa sahaja masalah yang timbul seperti contohnya implikasi pandemik COVID-19.

Sebagai sebuah bangsa yang hidup bermasyarakat dalam pelbagai jenis komuniti, konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini amatlah penting untuk difahami, dihayati dan diamalkan oleh setiap rakyat dalam melaksanakan rutin harian dan menjalani kehidupan, apatah lagi dalam mematuhi norma-norma dan S.O.P baharu yang dibuat khusus untuk memerangi pandemik COVID-19 yang bukan sahaja dihadapi oleh kita tetapi oleh semua penduduk negara-negara lain di dunia. 

Komitmen padu dan kadar kepatuhan yang tinggi oleh segenap lapisan komuniti sangatlah dituntut dalam memastikan usaha yang diketuai oleh YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu mengekang penularan wabak COVID-19 seterusnya berjaya membawa kita dan Malaysia keluar daripada cengkaman pandemik ini. Sesungguhnya kita bermula daripada usaha dan selebihnya kita bertawakkal kerana kejayaan manis itu di masa hadapan nanti, mampu kita khabarkan kepada dunia bahawa ianya adalah kejayaan oleh sebuah Keluarga Malaysia.

Situasi rakyat dan negara dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 dibimbangi menjadi lebih buruk sekiranya usaha ini tidak disepakati dan diganding bahu-membahu bersama-sama tanpa mengira agama, bangsa, kaum serta fahaman politik,  seperti yang ditegaskan oleh Yang DiPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titahnya sempena Hari Kemerdekaan baru-baru ini.

“Sesungguhnya, kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum adalah merupakan kunci untuk negara menghadapi apa jua cabaran yang mendatang termasuklah menghadapi badai gelora pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara” demikian antara titah baginda.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat agar terus menjaga kesihatan diri dan turut bersatu-padu dalam mewujudkan suasana persekitaran yang selamat demi untuk membendung penularan pandemik ini.

Ia jelas memberi gambaran kepentingan konsep ‘Keluarga Malaysia’ dalam usaha bukan sahaja untuk menstabilkan kembali negara akibat pandemik COVID-19, malah ia juga penting bagi melestarikan dan menyuburkan semangat kekeluargaan dalam komuniti rakyat agar kekal kukuh dan tidak hilang ditelan zaman ibarat kata pepatah “tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Sementara itu, memetik kenyataan daripada penceramah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, gagasan baharu, ‘Keluarga Malaysia’ ini perlu diisi dengan input akademik dan dikembangkan sehingga menjadi satu gagasan yang menarik, dipraktikkan dan dapat mengikat keluarga besar ini dalam mengehakupayakan rakyat menghadapi apa jua cabaran mendatang.

Menurut beliau, Keluarga Malaysia perlu memberi perhatian kepada beberapa tonggak bagi menjamin keberkesanannya sebagai suatu panduan dan amalan bersama termasuk Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan juga Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Umum mengetahui bahawa perkara utama yang menjadi pegangan seluruh rakyat berbilang kaum di Malaysia adalah Perlembagaan Persekutuan. Ia diangkat sebagai suatu tonggak utama dalam panduan hidup bernegara, apatah lagi hidup berkeluarga dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Tanpanya, maka pincanglah negara dan bercerai-berailah keluarga.

Jika dilihat kepada perkara-perkara yang termaktub dalam Rukun Negara, umum sedia maklum bahawa ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ dijadikan perkara kedua, maka ia memberi contoh yang baik kepada pengenalan ‘Keluarga Malaysia’ di mana konsep ini perlu dihayati, didiskusi dan diinstitusikan oleh masyarakat sendiri, bukannya semata-mata oleh kerajaan, supaya ia datang dari rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat.

Pelbagai perkara pokok dan penting dalam perihal perpaduan dan kerbersamaan atau solidariti dalam komuniti telah digariskan, namun, kita seringkali hairan mengapa ia seolah-olah tidak mempunyai roh walaupun telah diterapkan dengan pelbagai aspek, maka dengan adanya konsep atau gagasan ‘Keluarga Malaysia’ ini, ia berupaya membangkitkan semula semangat kebersamaan itu.

Dalam konteks ini, nilai kebersamaan rakyat dalam merealisasikan kesepakatan  wadah “Keluarga Malaysia” ini  sudah mula terbukti khususnya dalam mendepani pandemik COVID-19 menerusi penyertaan menyeluruh semua komuniti dalam Program Imunisasi COVID-19  Kebangsaan (PICK) di mana menyaksikan kadar vaksinasi lengkap dua dos telah melebihi 64% populasi dewasa, manakala kadar vaksinasi satu dos pula telah melebihi 84% sehingga 31 Ogos 2021.  Komitmen padu “Keluarga Malaysia” dalam menyahut inisiatif dari program ini amat penting dalam memastikan imuniti kelompok dapat dicapai selaras dengan sasaran negara bagi menghadapi kemelut pandemik.

Antara contoh lain pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ yang boleh di kaitkan dengan peranan komuniti termasuklah pematuhan kepada peraturan dan larangan pergerakan dalam dan luar Negara bagi memastikan pintu sempadan negara terkawal daripada kes import COVID-19, khususnya varian yang lebih berbahaya seperti varian Alpha, Beta, Delta dan Lambda. Sekiranya rakyat tidak mematuhi arahan kerajaan ini, maka dikhuatiri akan timbul kes-kes baru yang berpotensi memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara di mana kadar penggunaan wad-wad kecemasan hospital dan pusat perubatan di seluruh negara yang sangat tinggi, justeru melibatkan juga pertambahan penggunaan peralatan perubatan dan kakitangan kesihatan yang lebih banyak serta kemungkinan kenaikan jumlah kes-kes Brought-In-Dead (BID) yang pastinya meresahkan kita semua dan melambatkan usaha Malaysia keluar daripada pandemik COVID-19.

Dalam pada itu juga, mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyambut baik akan konsep ‘Keluarga Malaysia ini’ dan menyeru agar semua kepimpinan negara untuk terus bersatu hati dan  memperbaharui iltizam nasional secara kolektif untuk terus fokus kepada agenda membangunkan negara.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk bersama-sama menghayati konsep ini dengan mengukuhkan ukhuwah dan muafakat iaitu dengan menggandakan usaha dan meningkatkan toleransi sesama kaum yang membentuk “Keluarga Malaysia”. Mudah-mudahan dengan kesedaran ini, Malaysia akan kembali bergerak lebih maju ke hadapan dalam semua bidang dan rakyat hidup dalam suasana lebih aman, damai, harmoni dan sejahtera.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKenyataan Media

PERATURAN MENETAPKAN TARIKH HARI RAYA PUASA

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia telah mengeluarkan kenyataan seperti berikut :-...

BM @ MY LNAKenyataan MediaPolitik @ My LNAUTAMA

Rakyat Menuntut #Reformasi100Peratus Sekarang, Kerajaan Jangan Berdalih Lagi – BERSIH

Oleh : Jawatankuasa Pemandu Bersih Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...

Adam Michael Nettina Photo: Department of Justice
Kenyataan Media

Deranged right-winger threatened to slaughter LGBTQ+ activists. He’s going away for a long time.

You need to be logged in to view this content. Please Log...

Kenyataan Media

Bill O’Reilly is outraged that the book ban law he supports caused his own books to be banned

You need to be logged in to view this content. Please Log...