Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

SiberKASA Untuk Lindungi Negara – Saifuddin Abdullah

136

12 Ogos 2021– Malaysia akan memfokuskan keselamatan siber yang merupakan agenda kerajaan seiring dengan peningkatan ancaman siber mutakhir ini.

Menteri Komunikasi Multimedia Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, kementerian menerusi agensi dibawahnya iaitu CyberSecurity Malaysia (CSM) akan menerajui Program PemerKASAan Keselamatan SIBER (SiberKASA) yang telah dilancarkan oleh beliau pada bulan Mac yang lalu.

“SiberKASA dibangunkan berdasarkan pendekatan keselamatan siber secara holistik yang merangkumi tiga (3) komponen iaitu Manusia (People), Proses (Process) dan Teknologi (Technology).

Beliau berkata, komponen-komponen ini merupakan asas untuk pembentukan dasar, perancangan strategik dan pembangunan kerangka sistem keselamatan siber.

Beliau menambah program SiberKASA akan turut menjadi satu manifestasi untuk menangani ancaman dan serangan siber yang semakin kompleks dan sofistikated.

“Inisiatif ini juga dilihat sejajar dengan hasrat yang dinyatakan di dalam Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020 – 2024 serta Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia atau MyDIGITAL.

Menerusi inisiatif tersebut, CSM dijangka menerajui penubuhan sebuah Pusat Arahan dan Koordinasi Keselamatan Siber selaku sekretariat yang akan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan khusus dalam menangani ancaman keselamatan siber di Malaysia.

Beliau berkata, mesyuarat MKN yang telah diadakan sebelum ini turut bersetuju untuk memperkukukan lagi peranan pusat tersebut dengan penglibatan agensi lain selain beliau akan merujuk kepada bahagian kabinet berhubung Dasar Algoritma Kryptografi Negara yang telah diluluskan sejak tahun 2013 oleh kabinet pada masa tersebut.

Beliau juga berkata, dasar tersebut juga akan disemak semula dan disesuaikan dengan perkembangan semasa negara.

Pada majlis turun padang secara maya ke CSM hari ini, Saifuddin turut diberikan penerangan oleh pengurusan CSM berhubung 35 jenis perkhidmatan di bawah domain keselamatan siber yang meliputi perkhidmatan responsif, proaktif, jangkauan luar (outreach) dan pembangunan kapasiti, serta penyelidikan strategik.

Dalam sidang media juga, Saifuddin turut memaklumkan berhubung kesedaran keselamatan siber rakyat Malaysia yang masih rendah selain menggesa agar pihak pengilang, pengguna dan pembangun aplikasi memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran siber di Malaysia.

Ini menurut beliau selaras dengan kemajuan ICT, proses digitalisasi yang dipacu oleh Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan teknologi 5G telah dan akan memberi nafas baharu kepada kehidupan seharian.

“Kebergantungan dan kesalinghubungan sektor awam dan swasta, entiti perniagaan, industri dan individu terhadap teknologi digital dan Internet telah menjadi satu fenomena.

“Senario ini turut menjadi pemangkin kepada pembangunan negara untuk terus maju dan kekal berdaya saing.

Pada masa ini, CSM menerima peruntukan kerajaan menerusi 6 projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 berjumlah RM 26.7juta daripada 10 projek yang telah dirancang.

Saifuddin juga komited untuk meningkatkan lagi peruntukan di bawah CSM di bawah Bajet 2022 menerusi sesi libat urus yang melibatkan ahli-ahli parlimen khusus bagi memaklumkan mengenai inisiatif dan projek yang sedang dan akan dirancang di bawah CSM.

Pada sesi tersebut juga, beliau memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh CSM yang membangunkan produk-produk tempatan seterusnya membantu mengukuhkan jenama CSM pada peringkat antarabangsa.

“Melalui program SiberKASA juga, penawaran produk dan perkhidmatan keselamatan siber kepada semua pihak dapat diteruskan walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19”, ujar beliau lagi.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *