Pelancongan @ My LNA

Kerjasama Tiga Kementerian Dalam Mencapai Imuniti Kelompok

71

9 Jun, Putrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memberi keutamaan suntikan vaksin kepada tourism frontliners yang sedang bertugas dalam tempoh PKP 3.0 menerusi pelaksanaan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Bagi fasa pertama sebanyak 4 kategori akan berikan vaksin melibatkan petugas petugas hotel sebagai Pusat Kuarantin (berdaftar dengan MOTAC), petugas hotel bukan Pusat Kuarantin tetapi beroperasi sepanjang PKP 3.0 (berdaftar dengan MOTAC), Petugas industri penerbangan yang masih bertugas bagi bulan Jun 2021 (MAS, AirAsia, Malindo), dan Petugas MICE yang bertugas di PPV” ujar Dato’ Seri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi fasa seterusnya akan melibatkan mereka yang berada dalam sub-sektor lain di bawah MOTAC berdasarkan kepada kelonggaran pengoperasian sektor ekonomi selepas PKP 3.0.

“Pelaksanaan ini dirancang bagi membantu untuk memulihkan industri pelancongan yang telah terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19 dan akan dimulakan selepas fasa suntikan untuk anggota barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi selesai dilaksanakan”, kata beliau.

Nancy yakin komitmen ini mampu menjadi pemangkin buat industri pelancongan negara untuk kembali bangkit, seterusnya membantu negara dalam mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi.

“MOTAC menerusi agensinya, Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) telah berganding bahu bersama pemain industri menawarkan Pusat-pusat Persidangan dan Pameran sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk meningkatkan kadar vaksinasi kepada seluruh rakyat Malaysia” ujar beliau lagi.

Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, Pusat Konvensyen Setia Spice, Pulau Pinang, Pusat Konvensyen Seberang Perai Arena, Pulau Pinang, Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang dan Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang adalah antara pusat persidangan dan pameran yang terlibat sebagai PPV di bawah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

“Langkah ini boleh membantu MOSTI dan KKM melancarkan proses pemberian suntikan vaksin di seluruh negara”, ujar beliau.

Nancy turut menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi arahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menjayakan matlamat untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles