Ekonomi UTAMA z10

MITI bukan penentu tunggal putuskan sesuatu sektor peniagaan sebagai perkhidmatan penting atau tidak – Azmin

3 Jun 2021 – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa MITI bukan penentu tunggal dalam memutuskan samada sesuatu sektor peniagaan dianggap sebagai perkhidmatan penting atau sebaliknya.

Menurut Azmin di dalam satu kenyataan media hari ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan media pada 31 Mei 2021, memaklumkan surat kebenaran beroperasi bagi sektor perkhidmatan perlu dikeluarkan setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor berkenaan.

“Ini membuktikan bahawa surat kebenaran beroperasi hanya akan dikeluarkan oleh COVID-19 INTELLIGENT MANAGEMENT SYSTEM (CIMS) 3.0 setelah kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor yang dibenarkan beroperasi memberi pengesahan kepada MITI.

Seperti kenyataan media MITI bertarikh 31 Mei 2021, beberapa sesi libat urus dengan pelbagai Kementerian dan agensi telah diadakan bagi menyelaras dan melicinkan lagi proses pengesahan Kementerian masing-masing ke atas syarikat-syarikat yang dikawal selia oleh kementerian-kementerian berkenaan yang boleh diberikan kebenaran untuk beroperasi.

Sehingga kini, 15 Kementerian telah menggunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing. Setelah kementerian-kementerian mengesahkan permohonan-permohonan berkenaan, syarikat yang berkenaan boleh terus mencetak surat kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0.” jelas Azmin.

Mengulas lanjut, Azmin berkata bahawa terdapat juga beberapa Kementerian seperti MAFI dan yang menggunakan sistem kelulusan kebenaran bekerja yang diselaras oleh MAFI.

“Kementerian Pengangkutan turut menggunakan sistem dalaman Sistem SMILE (Sistem Maklumat Industri Logistik) bagi tujuan yang sama. Maka, surat kelulusan untuk beroperasi bukan sahaja dikeluarkan oleh MITI setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang menggunakan CIMS 3.0, tetapi ada juga yang dikeluarkan oleh Kementerian lain yang pada masa ini dan terbukti sistem yang telah diwujudkan adalah berkesan untuk kumpulan sasaran mereka.

Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab di atas surat kebenaran beroperasi untuk institusi kewangan dan perbankan. MITI bukan penentu tunggal dalam memutuskan samada sesuatu sektor peniagaan dianggap sebagai perkhidmatan penting atau sebaliknya.” kata Azmin.

Mengulas mengenai aduan beberapa pihak yang mendakwa bahawa CIMS 3.0 telah dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi, Azmin berkata bahawa MITI terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan mengenai sistem CIMS 3.0 demi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sistem tersebut.

“MITI melalui unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0.” katanya.

Tambah Azmin, sehingga jam 7.30 pagi hari ini, 586,308 perniagaan dengan 10.2 juta pekerja telah berdaftar dengan CIMS. Katanya, daripada jumlah ini surat kebenaran beroperasi yang telah dicetak melalui CIMS hanya kepada 128,150 perniagaan yang melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh Malaysia.