KUALA LUMPUR 24 Mei 2021 – Melihat kepada peningkatan jangkitan COVID-19 di seluruh negara, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengelakkan penularan yang lebih luas di sektor pembinaan. Justeru, Kementerian Kerja Raya (KKR) menggesa semua penggiat industri pembinaan untuk mematuhi SOP pembinaan terkini.
Menterinya Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof berkata di dalam satu kenyataan media hari ini, walaupun kerajaan telah membuat keputusan supaya semua kerja-kerja pembinaan boleh diteruskan, namun Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dipatuhi dengan sepenuhnya.
“Statistik MKN menunjukkan dari 12-30 April terdapat 709 kes COVID-19 di tapak pembinaan dari 25 kluster, manakala dari 1-19 Mei, jumlah kes tersebut meningkat kepada 880 kes dari 52 kluster.
Sejak 13 Januari sehingga 23 Mei, CIDB Malaysia telah menjalankan pemeriksaan ke atas 2,532 tapak pembinaan, didapati sebanyak 2,502 tapak pembinaan mematuhi SOP dan 2 tapak pembinaan yang tidak patuh SOP dan telah diarahkan tutup.” kata Fadillah.
Tambah beliau, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah diarahkan untuk mempertingkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan SOP di tapak bina dan juga penempatan pekerja binaan.
“CIDB mempunyai kuasa untuk menutup tapak pembinaan dan juga mengenakan kompaun kepada tapak-tapak pembinaan yang didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan atau melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta 520 (Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) dan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990).
CIDB juga mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan tatatertib kepada mana-mana kontraktor yang di dapati bersalah yang akan mengakibatkan pendaftaran mereka di gantung atau dibatalkan.” katanya.
Katanya lagi, setiap kontraktor adalah diingatkan untuk melantik pegawai-pegawai Keselamatan dan Kesihatan yang diberi tanggungjawab memantau pematuhan SOP di tapak bina, selain daripada garis panduan keselamatan dan kesihatan yang lain.
Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah:
I. Pengurusan dan Pengawalan Pekerja Tapak Bina
a) Bilangan pekerja di premis tapak bina disesuaikan bagi membolehkan pematuhan penjarakan fizikal sekurang kurangnya 1 meter
b) Mengamalkan 3 W (Wash, Wear, Warn) iaitu menjaga kebersihan dengan kerap mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup muka dan mengenakan amaran jika terdapat ketidakpatuhan SOP.
c) Mengelakkan 3 C (Crowded Places, Confined Space, Close Conversation) iaitu mengelak berkumpul di tempat yang sesak, tertutup dan sempit, serta berkomunikasi dengan jarak yang dekat.
d) Semua pekerja (warga tempatan dan warga asing) di tapak bina wajib menjalani Ujian Pengesanan COVID-19.
e) Patient under investigation (PUI) & person under surveillance (PUS), tidak dibenarkan datang bekerja dan perlu menjalani tempoh pengasingan yang ditetapkan oleh KKM.
II. Pengawalan Pergerakan Pekerja Pembinaan
a) Menyediakan kod QR MySejahtera di setiap tapak bina/premis dan memastikan sesiapa yang ingin memasuki tapak bina/ premis diperiksa suhu dan mendaftar menggunakan MySejahtera atau menulis nama dan nombor telefon.
b) Semua pekerja binaan tidak dibenarkan berpindah dari satu tapak bina ke tapak bina yang lain.
c) Menyediakan kenderaan pengangkutan pekerja bagi memastikan pergerakan pekerja terhad kepada pergerakan di antara penginapan pekerja atau Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) dengan tapak bina sahaja. Kenderaan perlu dibersihkan dan dinyahkuman setiap kali digunakan dan direkod untuk tujuan pemeriksaan.
d) Pekerja-pekerja binaan hendaklah dipantau dan dipastikan tidak bergaul dengan penduduk setempat. Oleh itu, kontraktor bertanggungjawab memastikan keperluan harian pekerja seperti makanan dan keperluan kebersihan diri disediakan dan tidak terputus.
III. Kawalan pergerakan bahan binaan/bekalan
a) Merekodkan pergerakan masuk bahan bekalan ke premis tapak bina
b) Pembawa bahan bekalan perlu mengimbas suhu badan dan didaftar masuk. Sekiranya suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius atau individu tersebut mempunyai gejala COVID-19, individu tersebut tidak dibenarkan memasuki tapak bina dan perlu mendapat rawatan di fasiliti kesihatan dengan segera.
Berkenaan dengan waktu beroperasi dan kapasiti pekerja di tapak bina, Fadillah berkata bahawa waktu beroperasi, kehadiran serta kapasiti pekerja adalah terhad kepada 60% dan waktu operasi adalah tertakhluk kepada penetapan pihak berkuasa tempatan.
- The cost of neglected oral health in pregnant women
- The day women stopped
- Global Aerospace Offers Valuable Insights on the Revolution of Reusable Rockets and Their Impact on the Space Industry
- Guangdong Radio and Television Station- Shenzhen Youth Shine at COP29: A Green Declaration of Youth Responsibility
- Webroot Warns Shoppers: AI Convenience Comes with Cybercrime Risk This Holiday Season
Leave a comment