Ekonomi @ My LNANiaga @ My LNA

MPUPK akan beri tumpuan segerakan pemulihan PKS

76

PUTRAJAYA 30 April 2021 – Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil Sederhana (MPUPK) akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif bagi membantu menyegerakan pemulihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melibatkan semua pemegang taruh yang terlibat dalam ekosistem keusahawanan. Justeru, MPUPK telah bermesyuarat dan telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin di Putrajaya hari ini.

Jelas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, MPUPK merupakan platform tertinggi di peringkat nasional yang turut dianggotai Menteri-menteri Persekutuan, Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak, Ketua Setiausaha Negara dan Gabenor Bank Negara.

“MPUPK berperanan meluluskan dasar, strategi dan pelan tindakan berhubung pembangunan holistik usahawan dan PKS merentasi semua sektor ekonomi. Melalui MPUPK, penglibatan sektor swasta akan dipertingkatkan bagi menyokong agenda pembangunan keusahawanan negara yang berdaya saing dan mampan.

Pada mesyuarat berkenaan, YAB Perdana Menteri menekankan pentingnya semua pihak untuk mengambil tindakan proaktif dalam memastikan semua program dan inisiatif di bawah pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan oleh Kerajaan dilaksanakan secara teratur dan mengikut jadual. Capaian program dan inisiatif pula perlu dipergiatkan ke seluruh pelosok negara bagi memastikan “no one is left behind”. YAB Perdana Menteri yakin dengan kerjasama dan sokongan padu semua pihak, usahawan dan PKS tempatan akan mampu bangkit semula dan kekal kompetitif dalam mendepani cabaran yang mendatang.” kata Dr. Wan Junaidi dalam satu kenyataan media yang diedarkan semalam.

Tambah Dr. Wan Junaidi, sumbangan PKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merekodkan pencapaian sebanyak 38.9% pada tahun 2019 dan dianggarkan kekal di antara 38.1% hingga 38.7% pada tahun 2020. Sumbangan eksport bagi Barangan dan Perkhidmatan PKS adalah 17.9% manakala sumbangan kepada guna tenaga di Malaysia sebanyak 48.4%. Namun, prestasi eksport PKS dianggar menurun kepada 13.4% pada tahun 2020, susulan impak negatif pandemik Covid-19 ke atas usahawan dan PKS tempatan.

“MPUPK turut memberi penelitian terhadap prestasi dan prospek ekonomi Malaysia serta isu dan cabaran yang dihadapi bagi tahun 2021. Dalam hal ini, Majlis turut menekankan supaya aktiviti dan ekosistem pembiayaan perniagaan dari sektor kewangan perlu lebih kondusif bagi menyokong pemulihan ekonomi negara.” kata Dr. Wan Junaidi.

Pada tahun 2020, institusi kewangan telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM257 billion kepada PKS, termasuk pinjaman di bawah Dana Khas Bank Negara Malaysia untuk PKS. Daripada jumlah tersebut RM67 billion adalah merupakan pinjaman yang baru pertama kali diluluskan kepada lebih 146,000 PKS. Ini adalah selaras dengan permintaan pinjaman yang meningkat untuk modal kerja dalam persekitaran yang mencabar pada ketika negara menghadapi pandemik Covid-19.

Usaha pemulihan juga akan ditumpukan kepada usahawan mikro dan informal yang terjejas di seluruh negara. Berdasarkan kaji selidik yang dilaksanakan oleh MEDAC baru-baru ini, sebanyak 52.7% usahawan yang majoritinya adalah perusahaan mikro dan informal, terjejas teruk sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri pada masa ini menumpukan pelbagai usaha pemulihan ekonomi bermula daripada peringkat akar umbi. Menyahut seruan ini, Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan membangunkan Pelan Usahawan Informal sebagai rangka tindakan untuk mentransformasi dan mendayaupaya usahawan informal termasuk mereka yang berada di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Selain itu, dasar dan peraturan yang mesra perniagaan perlu diutamakan supaya ianya selari dengan usaha Kerajaan untuk memulihkan operasi perniagaan usahawan. Di samping itu, usahawan juga perlu bersedia untuk mengadaptasi teknologi dan digitalisasi supaya dapat kekal relevan dan kompetitif dalam menangani cabaran di masa hadapan.” ujar Dr. Wan Junaidi.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAGaya Hidup @ My LNAPendapat @ My LNASukan @ My LNAUTAMA

Menilai kewajaran Malaysia tolak tawaran anjur Sukan Komanwel 2026

Oleh: Dr Mohd Zaidi Md Zabri Rentetan penarikan diri Victoria, Australia sebagai...

Biz @ My LNABM @ MY LNANiaga @ My LNA

Pemegang Saham sokong dua cadangan SCIB dalam EGM

KUCHING, SARAWAK, 27 Mac 2024 – Pakar sistem bangunan perindustrian, Sarawak Consolidated...

AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAKewangan @ My LNAParlimen @ My LNAUTAMA

Program Sumbangan Asas Rahmah 2024 ditambah baik

KUALA LUMPUR, 27 Mac 2024 – Kerajaan telah menambah baik program Sumbangan...