SEMASA

PTPN 2021-2025 Sebagai Garis Panduan Program Berkaitan Perpaduan Sedang Dimuktamadkan

KUALA LUMPUR 17 April 2021 – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 sebagai garis panduan program-program perpaduan di peringkat agensi persekutuan, negeri dan badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Menteri, Dato Sri Ti Lian Ker berkata KPN pelan-pelan tersebut merangkumi Pelan Pemerkasaan NGO Perpaduan, Pelan Pemerkasaan Seketariat Rukun Negara (SRN) dan Kelab Rukun Negara (KRN) serta Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan.

Mengulas berkenaan Dasar Perpaduan Negara (DPN) beliau menjelaskan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama perlu sentiasa memperkukuhkan perpaduan nasional supaya negara dapat terus mengecapi keamanan dan kemakmuran ekonomi.

“DPN berjaya digubal dan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Februari 2021 lalu berkonsepkan perpaduan dalam kepelbagaian demi mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara”.

Seketariat Rukun Negara dan Kelab Rukun Negara yang ditubuhkan oleh KPN adalah bertujuan untuk mendidik pelajar supaya memahami, menghayati dan mengamalkan Rukun Negara.

“Kementerian ketika ini sedang menggiatkan usaha agar Kelab Rukun Negara ditubuhkan di semua sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan dan institut pengajian tinggi awam dan swasta”

Pada masa ini jumlah Seketariat Rukun Negara adalah 180 manakala Kelab Rukun Negara adalah 6,841 di seluruh negara jelas beliau dalam ucapan majlis penyampaian hadiah pertandingan esei MyHero dan Online Most Popular MyHero anjuran Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur Dan Selangor (KLSCCCI) dan Nanyang Siang Pau di ibu negara.