PUTRAJAYA 15 April 2021 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan bahawa Datuk Bandar, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan Pegawai Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan Gred 19 ke atas telah diberi kuasa untuk mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan peraturan-peraturan :
(a) Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No. 4) 2021 [P.U. (A) 96/2021] Akta 342 yang berkuat kuasa pada 5 Mac 2021;
(b) Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021 [P.U. (A) 97/2021] Akta 342 yang berkuat kuasa pada 5 Mac 2021; dan
(c) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No. 3) 2021 [P.U. (A) 98/2021] Akta 342 yang berkuat kuasa pada 5 Mac 2021.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa untuk mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dalam memastikan semua pengunjung dan peniaga bazarbazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara mematuhi SOP Operasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri seperti yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 29 Mac 2021.
PBT memainkan peranan yang penting dalam memastikan pematuhan SOP yang ketat bukan sahaja di kalangan pengunjung, bahkan juga pematuhan peniaga terhadap syarat-syarat perniagaan di bazar Ramadan. Dalam hal ini, semakan terhadap peniaga merangkumi maklumat suntikan typhoid, kad pengendali makanan, bayaran permit, SOP dan kebersihan tapak. Penguatkuasaan akan dilaksanakan sepenuhnya di semua bazar Ramadan dan Aidilfitri sepanjang bulan Ramadan termasuk bazar-bazar Ramadan dan Aidilfitri yang bukan di bawah penyeliaan dan kawalan PBT.” kata KPKT melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Tambah KPKT, bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan SOP di bazar Ramadan dan Aidilfitri, PBT telah meletakkan anggota penguatkuasa masing-masing iaitu minimum seramai empat orang anggota mengikut saiz dan kapasiti keluasan bazar. Tugasan kawalan di laluan masuk dan keluar serta rondaan ini juga akan turut dibantu oleh anggota RELA dalam memastikan keadaan bazar adalah terkawal, tidak sesak dan semua pengunjung dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
SOP Bazar Ramadan dan Aidilfitri bagi kawasan PKPB dan PKPP yang perlu dipatuhi oleh pengunjung dan peniaga merangkumi perkara berikut:
i. Kawalan keluar masuk pelanggan ke premis dengan penjarakan fizikal 1 meter
ii. Hand sanitizer disediakan di pintu masuk dan dipastikan penggunaannya sebelum masuk
iii. Peniaga dan pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka dengan betul mengikut saranan KKM ketika berada di bazar
iv. Peniaga diwajibkan menyediakan kemudahan QR code MySejahtera dan menyediakan buku pendaftaran kehadiran pelanggan sekiranya tiada liputan internet
v. Pelanggan diwajibkan mengimbas menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual nama dan nombor telefon sekiranya tiada liputan internet
vi. Peniaga dan pelanggan yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius adalah TIDAK DIBENARKAN masuk
“Pemakluman terhadap pelaksanaan SOP di bazar-bazar Ramadan dan Aidilfitri ini turut dihebahkan melalui platform hebahan masing-masing seperti portal rasmi PBT, media sosial, pengedaran risalah dan billboard. Pembesar suara juga digunakan sebagai peringatan kepada pengunjung tentang pematuhan SOP ini. Di samping itu, sesi taklimat turut diberikan kepada para peniaga yang terlibat bagi memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Tindakan tegas akan diambil oleh anggota penguatkuasa terhadap pengunjung dan para peniaga yang didapati ingkar dan melanggar SOP mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.” tegas KPKT.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment