Alam Sekitar @ MY LNAAM

Risiko bencana tanah runtuh boleh berlaku secara mendadak

138

4 Januari 2021 – Keadaan hujan lebat berterusan di kebanyakan negeri di Malaysia berikutan monsun timur laut yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia mampu mencetuskan risiko bencana tanah runtuh di kawasan berbukit tinggi, bercerun dan laluan di mana sistem perparitan tidak diselenggarakan dengan baik.

“Hasil kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melalui Projek Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC), faktor geologi, sudut cerun, kawasan tadahan dan saliran, kerja pemotongan lereng bukit yang tidak terkawal dan pembersihan (clearance) hutan atau ladang telah dikenalpasti sebagai kawasan-kawasan yang terdedah kepada risiko bencana tanah runtuh.

Bagi mengelakkan aktiviti seumpama ini berlaku, penebangan pokok di kawasan-kawasan khususnya Hutan Simpan Kekal (HSK) dan kawasan yang dikelaskan sebagai kawasan tadahan air di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] adalah tidak dibenarkan.” kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dato’ Dr. Shamsul Anuar Haji Nasarah melalui satu siaran media yang diedarkan hari ini.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan bahawa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui JMG selaku agensi yang bertanggungjawab menyediakan maklumat pengurangan risiko bencana tanah runtuh telah meningkatkan tahap kerjasama dan khidmat sokongan kepada agensi pengurusan tindakbalas bencana seperti Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah/Negeri.

“JMG telah menempatkan pegawai bagi membantu agensi responder seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). JMG juga telah menggerakkan response team ke tempat berlakunya kejadian tanah runtuh khususnya di Fraser Hill dan Jalan lama Raub – Bentong bagi membuat penilaian risiko di lapangan. Di Bukit Fraser, sebanyak 139 runtuhan di sepanjang laluan naik dan turun Bukit Fraser dengan 60 runtuhan dilaporkan telah menghalang laluan. Sementara itu, Jalan Lama Raub – Bentong dilaporkan masih ditutup akibat tanah runtuh dan response team JMG dalam tindakan untuk memasuki kawasan bagi membuat penilaian risiko di lapangan.

Di samping itu, JMG telah menjalankan pemantauan tiga kali setahun bagi cerun-cerun kritikal yang memerlukan tindakan segera khususnya di Cameron Highland di mana sebanyak 31 cerun kritikal tersebut telah dibuat mitigasi dengan pelaksanaannya dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM31.74 juta dan kerja-kerja mitigasi diteruskan. JMG, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kerja-kerja pemetaan kerentanan risiko tanah runtuh (Landslide Vulnerability Risk) pada tahun 2021 dengan peruntukan sebanyak RM758,000 bagi penyelesaian menyeluruh isu-isu tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.” ujar Dr. Shamsul Anuar.

Justeru, orang ramai yang berada di kawasan berisiko seperti kawasan yang pernah mengalami tanah runtuh dinasihatkan supaya peka dengan keadaan sekeliling seperti berlakunya runtuhan atau pergerakan kecil cerun tanah, retakan atau rekahan pada dinding, tembok atau tiang rumah serta kesan-kesan bonggol, rekahan atau mendapan pada jalan dan pokok-pokok yang berterusan condong (tilt).

“Sekiranya terdapat tanda-tanda berlakunya ancaman tanah runtuh sila hubungi pihak berkuasa untuk memberi maklumat atau mendapatkan bantuan. KeTSA sentiasa bersedia memberi khidmat kepakaran teknikal bagi penilaian ancaman tanah runtuh dan boleh dihubungi di talian 05 – 540 6000 atau 019 – 3894757.” kata Dr. Shamsul Anuar.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Fahami pemaknaan sebenar beribadat untuk kekal komited pasca Ramadan

Oleh: Muhammad Izzat Aiman Ahmad Sokri, Dr. Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAUTAMA

Iktibar perpaduan dari anyaman ketupat

Oleh: Dr. Mohd Istajib Mokhtar Aidilfitri menjelang lagi. Perayaan ini disambut seluruh...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Jangan Hidupkan Budaya Toksik Ketika Menjayakan Tradisi Berkumpul

Oleh : Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli, Pensyarah, Jabatan Fiqh dan...