11 Disember 2020 – Rangkaian Hotel Seri Malaysia (HSM) yang dimiliki oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menawarkan promosi bilik dengan hanya RM1.00 (tertakluk pada terma dan syarat) untuk malam kedua, dengan setiap pembelian bilik pada kadar RM188.00 untuk malam pertama. Pakej promosi yang sedang berlangsung sekarang sehingga 31 Disember 2020 ini termasuklah sarapan pagi untuk dua (2) orang, dan potongan 20% untuk jumlah keseluruhan bil makan dan minum.
“Dengan hampir 2000 bilik penginapan di 21 lokasi strategik seluruh Negara, Hotel Seri Malaysia menawarkan pelbagai kemudahan seperti bilik penginapan, kolam renang, bilik mesyuarat, WIFI, aktiviti rekreasi serta Kafe RASA RASA Seri Malaysia yang menampilkan konsep moden dan urban sentuhan chef selebriti tempatan untuk memberi keselesaan dan kelainan kepada pengunjung dengan harga yang berpatutan.
Hotel Seri Malaysia sentiasa mengutamakan kesihatan, kebersihan pengunjung serta persekitaran sebagai objektif utama dalam operasi perhotelan dengan komited memastikan semua prosedur keselamatan (SOP) pencegahan COVID-19 dilaksanakan dengan ketat di semua premisnya di seluruh Negara.” kata MOTAC melalui satu siaran media yang dikeluarkan hari ini.
Dalam pada itu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata bahawa promosi ini merupakan inisiatif Hotel Seri Malaysia untuk mengalakkan percutian dalam negara dengan amalan norma baharu seiring dengan Kempen Penyemarakan Pelancongan Domestik yang telah dilancarkan oleh kementerian sebelum ini.
Semalam di Dewan Rakyat, Nancy telah memaklumkan beberapa inisiatif dan strategi jangka pendek bagi memastikan aktiviti pelancongan domestik dapat dioptimumkan semula sepenuhnya.
Antaranya adalah usaha membina semula keyakinan di kalangan rakyat bahawa adalah selamat untuk melancong di dalam Malaysia. Kedua adalah memberi galakan untuk rakyat melancong dengan menawawarkan kepada rakyat insentif dan promosi dalam bentuk baucar rebat, e-baucar, cashback dalam bentuk e-wallet dan diskaun untuk tempahan pakej pelancongan, penginapan dan pengangkutan. Ketiga adalah MOTAC meneruskan kerjasama dengan penggiat-penggiat industri dan semua Kerajaan Negeri dalam membangun dan menawarkan pakej-pakej pelancongan baru yang menarik melalui platform digital.
Kata Nancy semua inisiatif tersebut diyakini dapat merangsang dan menyuntik perbelanjaan domestik secara konsisten dan seterusnya mewujudkan kesan gandaan ekonomi khususnya yang berantaian dengan sektor pelancongan, seni dan budaya.
Leave a comment