AMSains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Muslim Pro nafi dakwaan penjualan data peribadi kepada tentera Amerika Syarikat – JPDP

163

PUTRAJAYA 23 November 2020 – Susulan daripada dakwaan penjualan data peribadi pengguna aplikasi Muslim Pro melalui artikel dalam talian vice.com, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah memohon penjelasan segera daripada Pegawai Perlindungan Data Peribadi (DPO) aplikasi Muslim Pro melalui e-mel pada 17 November 2020.

Menurut agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tersebut melalui satu kenyataan media yang diedarkan semalam, Muslim Pro telah membuat penjelasan bertarikh 20 November 2020 menafikan sepenuhnya dakwaan penjualan data peribadi kepada tentera Amerika Syarikat bagi tujuan antikeganasan.

“Muslim Pro juga memaklumkan bahawa maklumat yang telah diberikan sebelum ini kepada X-Mode bukanlah merupakan data peribadi dan pihak Muslim Pro amat komited untuk melindungi data peribadi penggunanya mengikut lunas undang-undang dan peraturan perlindungan data peribadi yang berkuat kuasa.

Sehingga kini, sebanyak 72% pengguna aplikasi Muslim Pro masih merupakan pengguna yang tidak berdaftar dan ini meningkatkan ketanpanamaan (anonymity) aplikasi tersebut” jelas JPDP.

Tambah JPDP, jabatan tersebut mengambil maklum mengenai penjelasan yang telah diberikan dan menegaskan supaya Muslim Pro perlu sentiasa memastikan keselamatan data peribadi penggunanya dijaga pada setiap masa dan tidak disalah gunakan bagi tujuan yang tidak sewajarnya.

“Pada masa yang sama, semua Pengguna Data sentiasa diingatkan untuk mematuhi Tujuh (7) Prinsip Perlindungan Data Peribadi seperti yang digariskan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].” ujar JPDP.

Tujuh (7) Prinsip Perlindungan Data Peribadi tersebut adalah seperti berikut :

  • Pertama – Prinsip Am di mana seseorang pengguna tidak dibenarkan memproses data peribadi seseorang lain tanpa kebenarannya. Pengertian proses di sini harus dimengertikan sebagai mengendalikan data melalui cara atau kaedah automatis atau pengkomputeran atau apa-apa proses lain.
  • Kedua – mesti mematuhi Prinsip Notis dan Pilihan di mana makluman dan tujuan awalan dimaklumkan kepada subjek data berkenaan.
  • Ketiga – ialah Prinsip Penzahiran tujuan data peribadi seseorang subjek itu demi mengenal pasti maksud yang baginya data peribadi itu hendak dizahirkan.
  • Keempat – Prinsip Keselamatan – apabila memproses data peribadi mana-mana subjek, mengambil langkah supaya data tersebut selamat, tidak diubahsuai, disalahguna atau diberikan kepada pihak-pihak yang tidak berkenaan.
  • Kelima – Prinsip Penyimpanan: sesuatu data peribadi itu tidak dibenarkan disimpan di dalam sesuatu pemprosesan lebih daripada had masa yang diperlukan.
  • Keenam – Prinsip Integriti Data – setiap data peribadi dipastikan supaya tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini menepati maksud sesuatu data itu disimpan dan diproses.
  • Ketujuh – Prinsip Akses: seseorang hendaklah diberi hak akses kepada data peribadinya yang dipegang oleh seseorang pengguna data dan juga boleh membetulkan datanya itu supaya terkini.

Isu dakwaan penjualan data peribadi pengguna aplikasi Muslim Pro telah menarik perhatian pelbagai pihak termasuklah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). NGO tersebut menegaskan pembelian data lokasi oleh pihak tentera Amerika ini bukan hanya memberi kesan kepada umat Islam di Amerika, tetapi juga melanggar hak privasi rakyat Malaysia yang menggunapakai aplikasi ini.

Menurut Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz di dalam satu kenyataan media pada 18 November 2020, hak privasi warganegara Malaysia adalah satu hak yang dijamin oleh undang-undang negara di mana

“ABIM merujuk kepada kes Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia & Anor 507 [2010] 3 CLJ 507 di mana Hakim Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa “It is patently clear from a review of the authorities that ‘personal liberties’ in Article 5 (1) Malaysian Federal Constitution includes within its compass other rights such as the rights to privacy.”

Kita seharusnya mengambil iktibar dari skandal Facebook-Cambridge Analytica yang mana data-data peribadi para pengguna aplikasi media sosial popular ini telah dimanipulasikan untuk kepentingan politik pihak tertentu.” kata Faisal.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...