Kenyataan Media

MALAYSIA KOMITED TERUS BERJUANG BERSAMA PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU

138

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Hari ini genap 75 tahun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan dan ia amat bermakna bagi Malaysia. Selama lebih 63 tahun Malaysia menganggotai PBB, telah banyak coretan sejarah yang membuka mata dunia, melihat betapa besarnya sumbangan dan eratnya kerjasama Malaysia dengan PBB dalam menangani pelbagai cabaran global.

Dalam soal keselamatan, Malaysia antara negara penyumbang terbesar dalam Misi Pengaman PBB iaitu berada di tangga ke-26 daripada 119 buah negara. Buat masa ini, seramai 838 orang anggota pengaman PBB dari Malaysia terlibat dalam misi pengaman PBB di Lebanon, Sahara Barat, Sudan/Sudan Selatan dan Republik Demokratik Congo.

Selain itu, Malaysia juga salah sebuah negara yang konsisten memperjuangkan pelucutan dan pengharaman senjata pemusnah besar-besaran termasuk senjata nuklear. Malah, baru-baru ini, saya sendiri mewakili Kerajaan Malaysia menandatangani Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW).

Dalam soal hak asasi, Malaysia antara negara paling tegas menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk memiliki sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara. Malaysia juga konsisten mengutuk sekeras-kerasnya perancangan terbaru Isreal untuk mengilhakan sebahagian wilayah Tebing Barat termasuk Lembah Jordan.

Malah, semasa menganggotai Majlis Keselamatan PBB sebagai Ahli Tidak Tetap bagi penggal 2015-2016, Malaysia merupakan antara negara peneraju bagi pembentangan Resolusi 2334 Majlis Keselamatan yang merupakan satu-satunya resolusi penempatan haram Israel yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB dalam tempoh 36 tahun.

Malaysia juga konsisten bersuara mengenai isu Rohignya. Ini termasuklah ketika Mesyuarat Menteri Luar ASEAN-PBB pada 21 Oktober lepas di mana saya sekali lagi menegaskan di hadapan semua wakil PBB dan Menteri Luar ASEAN bahawa isu ini perlu segera diselesaikan. Beban dan tanggungjawab perlu dipikul semua pihak termasuk PBB. Bukan sahaja dalam menyelesaikan soal penempatan tetapi juga menangani isu perdagangan manusia melibatkan pelarian Rohignya.

Dalam soal ekonomi dan bantuan kemanusiaan, Malaysia bangga menjadi Hab Respons Kemanusiaan Asia Pasifik yang telah memudahcara usaha PBB dalam menyalurkan bantuan perubatan dan makanan ke negara memerlukan. Baru-baru ini, program ini dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan dan Malaysia antara negara yang merealisasikan pencapaian ini. Malaysia juga menyalurkan sumbangan kewangan secara berkala terutama kepada Palestin melalui sumbangan sukarela kepada United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA).

Untuk saya menyenaraikan semua bentuk kerjasama erat Malaysia-PBB sepanjang 63 tahun dalam penulisan ini, ia mengambil masa. Namun mengimbau setiap usaha Malaysia dalam PBB, terbukti Malaysia telah banyak mengupayakan PBB. Pada masa yang sama, kita tetap mengakui hakikat bahawa Malaysia tidak berjuang berseorangan.

Bagi Malaysia, PBB merupakan cerminan di mana hasil terbaik berupaya diperolehi apabila dunia bersatu. Kepercayaan inilah yang mendorong Malaysia terus menyeru agar semua negara mengenepikan perbezaan seterusnya bersatu menangani cabaran dunia ketika ini khususnya pandemik COVID-19.

Wabak ini bukan sahaja menyebabkan krisis kesihatan tetapi juga merencatkan ekonomi, menganggu gugat rantaian bekalan dan makanan serta meningkatkan tekanan dalam kalangan masyarakat. COVID-19 juga telah menyerlahkan kelemahan dan membuktikan ketidaksaksamaan antara setiap negara yang mesti diperbetulkan.

Untuk memerangi virus yang tidak boleh dilihat ini, tiada negara termasuk Malaysia boleh berjuang bersendirian. Semua negara mesti berkongsi beban dan tanggungjawab, berjuang bersama-sama tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Dunia memerlukan pendekatan kolektif yang ditunjangi kasih sayang dan solidariti. Kesungguhan Malaysia yang mahu semua negara bersatu dibuktikan dengan tindakan kita yang menyokong setiap usaha dunia menangani krisis Covid-19.

Antaranya, Malaysia bekerjasama dengan beberapa buah negara mengeluarkan kenyataan bersama bagi menyokong rayuan Setiausaha Agung PBB agar gencatan senjata dilaksanakan semasa wabak COVID-19. Kenyataan tersebut mendapat sokongan daripada 172 buah negara yang terdiri daripada negara-negara anggota PBB, negara-negara pemerhati PBB dan pemerhati.

Malaysia juga dalam 7 bulan ini sering menegaskan agar vaksin Covid-19 diagihkan kepada semua negara tanpa ada yang terpinggir. Covid-19 tidak mendiskriminasi. Ia menyerang semua negara yang kaya atau miskin, kecil atau besar. Justeru, bagi Malaysia, mendiskriminasi dalam pengagihan vaksin adalah tindakan yang amat tidak wajar.

Saya sedar, setakat ini banyak yang telah dunia lakukan untuk menghapuskan wabak ini. Namun saya percaya, banyak lagi yang boleh dilakukan. Pencapaian-pencapaian PBB selama ini mesti dijadikan inspirasi oleh semua negara untuk bersama-sama memetakan hala tuju, menentukan masa depan dunia yang lebih baik terutama di era pasca pandemik.

Berbalik kepada sambutan ulangtahun ke-75 PBB hari ini, saya percaya sudah tiba masanya PBB menilai pencapaiannya dan mengenalpasti penyelesaian bagi cabaran-cabaran yang dihadapi serta terus maju dengan kelestarian yang diperlukan. Ia penting demi menjadikan PBB sebagai sebuah pertubuhan antarabangsa yang lebih berkesan. Di hari bersejarah ini, saya ingin kembali menegaskan, Malaysia tidak akan sesekali mengubah komitmen terhadap PBB dan multilateralisme berdasarkan prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB. Malaysia akan terus komited sebagai rakan PBB yang boleh dipercayai.

Sebagai Menteri Luar, saya bersama-sama warga Kementerian Luar Negeri di seluruh dunia akan terus mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa megah, berada dalam setiap perjuangan demi keselamatan dunia, hak kemanusiaan dan masa depan yang cerah. Bukan sahaja untuk masyarakat antarbangsa. Tetapi lebih penting dan bermakna, untuk anak cucu dan cicit kita yang bakal mewarisi bumi bertuah ini satu hari nanti. InsyaAllah.

Selamat menyambut Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu!

Hishammuddin Tun Hussein

Menteri Luar Negeri Malaysia

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKenyataan Media

PERATURAN MENETAPKAN TARIKH HARI RAYA PUASA

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia telah mengeluarkan kenyataan seperti berikut :-...

BM @ MY LNAKenyataan MediaPolitik @ My LNAUTAMA

Rakyat Menuntut #Reformasi100Peratus Sekarang, Kerajaan Jangan Berdalih Lagi – BERSIH

Oleh : Jawatankuasa Pemandu Bersih Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...

Adam Michael Nettina Photo: Department of Justice
Kenyataan Media

Deranged right-winger threatened to slaughter LGBTQ+ activists. He’s going away for a long time.

You need to be logged in to view this content. Please Log...

Kenyataan Media

Bill O’Reilly is outraged that the book ban law he supports caused his own books to be banned

You need to be logged in to view this content. Please Log...