AMKenyataan Media

KENYATAAN MEDIA DALAM BENTUK WAWANCARA SEMPENA 100 HARI MENTERI KANAN KERJA RAYA YB DATO’ SRI HAJI FADILLAH HAJI YUSOF

94

1. BAGAIMANA DATO’ SRI MELIHAT 100 HARI PERLANTIKAN DATO’ SRI SEBAGAI MENTERI KANAN INFRASTRUKTUR – KERJA RAYA SELEPAS
DILANTIK KE JAWATAN ITU PADA 10 MAC LALU?

100 hari yang penuh mencabar, namun berkat kerjasama seluruh rakyat Malaysia kita telah bersama-sama dapat menghadapinya daripada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada PKP Bersyarat (PKPB) dan sekarang PKP Pemulihan (PKPP). Ini kerana Jemaah menteri dibawah kepimpinan Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilantik ketika pandemik COVID-19 menular di seluruh dunia. Wabak berkenaan yang mula dikesan di Wuhan, Hubei China pada Disember 2019 dan diisytihar sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020. Justeru seminggu selepas kabinet baharu mengangkat sumpah, PKP telah diumumkan bermula 18 Mac hingga 31 Mac, dan ia dilanjutkan setiap dua minggu selepas itu sehinggalah PKPB diumumkan dan seterusnya PKPP sekarang sehingga 31 Ogos. Saya lebih banyak terlibat dalam mesyuarat menangani penularan COVID-19 terutama PKP yang pada mulanya diadakan setiap hari, selain terlibat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri dan turut juga menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi bagi isu berkaitan.

2. FOKUS DATO’ SRI SEBAGAI MENTERI KANAN INFRASTRUKTUR SEPANJANG 100 HARI?

Selain Kementerian Kerja Raya, lima kementerian lain turut diletakkan di bawah Kluster Infrastruktur ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Mesyuarat Peringkat Menteri Kluster Infrastruktur (MPMKI) dipengerusikan oleh saya sendiri, manakala Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Infrastruktur (MJKKI) dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

MPMKI merupakan mesyuarat tertinggi bagi kluster ini yang berperanan membuat keputusan dasar mengenai perancangan dan pembangunan infrastruktur negara. Mesyuarat turut menjadi platform penyelesaian kepada isu-isu pentadbiran dan pengurusan merentasi kementerian dan agensi-agensi kerajaan. Sistem kluster yang diperkenalkan kerajaan ini bagi menyelaras semua kementerian yang mempunyai dasar dan hala tuju sama supaya tidak berlaku sebarang pertindihan fungsi. Diharapkan sistem kluster ini akan lebih efektif dan sistematik sekali gus mampu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan dan “cost effective” yang akhirnya memberikan manfaat kepada rakyat.

Kluster Infrastruktur juga mempunyai ahli tambahan (co-opted members) melibatkan kementerian, agensi serta pihak yang terlibat dengan isu dibincangkan, dengan setakat ini ia melibatkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Kita telah mengadakan dua mesyuarat peringkat Menteri setakat ini iaitu pada 9 April 2020 dan pada 18 Jun 2020.

3. PENCAPAIAN DATO’ SRI DALAM 100 HARI MENERAJUI KEMENTERIAN KERJA RAYA?

Selain melancarkan Garis Panduan Norma Baharu dalam industri pembinaan. Kementerian Kerja Raya juga telah mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM782 juta bagi tujuan senggara jalan Persekutuan di seluruh negara, mengaktifkan Jawatankuasa Penswastaan Lebuhraya untuk mengkaji semula arah tuju projek-projek inisiatif swasta, melaksanakan cadangan tawaran baharu program dan projek-projek ‘quick-win‘ di bawah kluster infrastruktur. Selain itu mengkaji semula kaedah pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo dan projek-projek pembangunan jalan di Sabah dan Sarawak serta mengaktifkan semula Ikrar Aku Janji ‘Zero Potholes’ melibatkan semua Jurutera JKR Daerah. Selari dengan keadaan semasa juga kita telah melancarkan kerja-kerja undi Projek Kecil JKR secara atas talian seterusnya membantu kontraktor-kontraktor kecil. Sebaik kembali dipilih menerajui semula KKR juga saya telah mengaktifkan semula inisiatif program aduan awam ‘RakanKKR’ sebagai mata dan telinga kerajaan.

Bagi memastikan pematuhan terhadap SOP selain pemantauan rapi dan pemeriksaan berterusan oleh CIDB, saya sendiri turun padang untuk meninjau keadaan di tapak pembinaan. Setakat ini saya telah meninjau dua tapak pembinaan yang telah mula beroperasi bagi melihat sendiri pematuhan Amalan SOP iaitu Tapak Projek Pembangunan Bercampur TwentyFive Seven di Kota Kemuning dan Tapak Pembinaan Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur. Selain daripada pematuhan SOP, syarikat pembinaan turut mengambil inisiatif membangunkan aplikasi khas bagi merekodkan kehadiran serta status kesihatan pekerja dan mengesan pergerakan pekerja supaya tidak melepasi kawasan projek semasa waktu bekerja. Selain itu, kontraktor tersebut juga mengasingkan tempat rehat bagi pekerja mengikut bidang di aras berlainan di tapak pembinaan untuk memastikan penjarakan sosial pada waktu rehat.

Dalam tempoh 20 April hingga 14 Jun lepas, sebanyak 7,699 lokasi tapak pembinaan telah diperiksa oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Daripada jumlah tersebut, 17 tapak pembinaan telah diarah tutup operasi buat sementara selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

4. KEMENTERIAN KERJA RAYA JUGA BERTANGGUNGJAWAB MEMASTIKAN EKONOMI NEGARA DAPAT KEMBALI BERGERAK PADA
LANDASANNYA, TERUTAMANYA BAGI SEKTOR INFRASTRUKTUR. SEHUBUNGAN ITU, APAKAH BANTUAN ATAU INSENTIF UNTUK
MENGURANGKAN BEBAN YANG DITANGGUNG PEMAIN INDUSTRI KESAN DARIPADA WABAK COVID-19 INI?

Kerajaan telah pun memperkenalkan beberapa insentif kepada golongan kontraktor bagi mengurangkan impak PKP COVID-19 yang dihadapi oleh industri pembinaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Insentif tersebut adalah menyediakan bantuan aliran tunai menerusi pembiayaan SME Bank untuk kontraktor kelas G2 dan G3 yang dianugerahkan kontrak kecil serta peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk program peningkatan tenaga kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran
penganggur dan memanfaatkan pekerja tempatan membina kemahiran baharu, seperti BIM contohnya.

Selain daripada itu, terdapat INISIATIF PRIHATIN CIDB yang memberikan penangguhan bayaran levi untuk projek swasta selama dua bulan bagi projek yang bermula 1 Januari 2020 hingga 31 Mei, 2020 serta kelonggaran syarat pendaftaran kontraktor dengan mengecualikan keperluan mata CCD (Continuous Contractor Development) untuk pendaftaran baharu bagi tempoh April hingga Disember 2020.

5. DALAM TEMPOH 100 HARI INI JUGA DATO’ SRI TELAH DIBERI MANDAT OLEH PERDANA MENTERI UNTUK MENJADI PENGERUSI JAWATANKUASA BERSAMA MA63. MUNGKIN DATO’ SRI BOLEH KONGSIKAN SEDIKIT

Pada 8 Mei 2020 yang lalu Kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berjaya mencapai kata sepakat untuk memilih penyelesaian dalam rundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai ke atas petroleum di Sarawak seperti diumum Perdana Menteri. Penyelesaian itu adalah pendekatan secara mampan dari segi ekonomi, kewangan dan sosial negara dalam jangka panjang. Sehubungan itu juga sebuah Jawatankuasa Bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibentuk dipengerusikan bersama oleh saya dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Mesyuarat pertama diadakan pada 17 Jun lalu dengan Sarawak turut diwakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Seperti diumumkan Perdana Menteri penyelesaian tersebut akan memberi ruang kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk penglibatan bersama dalam pembangunan industri minyak dan gas bersama PETRONAS di negeri berkenaan, tanpa mengubah peranan PETRONAS sebagai syarikat minyak negara. Ini adalah berita baik yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat Sarawak, selari dengan hak-hak Sarawak seperti termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ia juga adalah manifestasi betapa Kerajaan yang memerintah negara ketika ini, baik di peringkat Persekutuan, mahupun di peringkat negeri Sarawak sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

6. BAGAIMANA PULA DENGAN PERANAN DATO’ SRI DALAM MEMBANTU PELAJAR SARAWAK YANG BERADA DI SEMENANJUNG, SABAH DAN LABUAN KETIKA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) AKIBAT PENULARAN COVID-19? KEBETULAN IA JUGA BERLAKU DALAM TEMPOH 100 HARI PERTAMA INI.

Rumah Sarawak (RS) di Kuala Lumpur dan Sarawak Volunteers (SV) sememangnya terlibat secara langsung dalam memastikan anak-anak Sarawak mendapat akses kepada bekalan makanan ketika PKP dilaksanakan.

Selepas itu RS dan SV sama-sama telibat dalam menguruskan usaha membawa pulang pelajar Sarawak ke kampung halaman masing-masing bersama Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan Penerbangan Malaysia (MAS). Terimakasih saya ucapkan khususnya kepada Kementerian Pelajaran dan KPT yang mengkoordinasikan usaha ini bersama RS dan SV.

Selain itu kita juga ada membantu anak-anak Sarawak yang terkandas untuk pulang ke Sarawak.

Saya sebagai Penaung Sarawak Volunteers, membawa isu-isu berkaitan hampir setiap hari bagi memudahkan urusan dalam Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP di Putrajaya. Alhamdulillah berkat komitmen padu semua yang terlibat kita telah berjaya menghantar pulang seramai 9668 pelajar Sarawak.

Kini kita sedang berusaha membantu memudahkan perjalanan pulang guru-guru. Kita telah mendapat harga yang berpatutan hasil perbincangan bersama Penerbangan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sarawak. Para guru akan mula diterbangkan pada 19 dan 20 Jun 2020.

Bagi memantau keadaan pelajar Sarawak sepanjang tempoh PKP saya turut berinteraksi dengan mereka secara online menerusi program ‘Abas Orang Kamek’.

KEMENTERIAN KERJA RAYA
19 JUN 2020

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNACuaca @ My LNAUTAMA

NADMA laksanakan Operasi Pembenihan Awan di Sabah

SABAH, 28 Mac 2024 – Semalam Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Ramadan dan limpahan barakahnya

Oleh: Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad Kedatangan bulan Ramadan sangat ditunggu-tunggu oleh...

AMBM @ MY LNAJenayahUTAMA

JIM berjaya tumpaskan sindiket ejen pekerja asing, dua suspek berkahwin dengan warganegara Malaysia

PUTRAJAYA, 28 Mac 2024 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu...