Pendedahan yang dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Nor Adam yang turut menggesa Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan adalah bukti jelas bahawa Muafakat Nasional sejak dari awal menghadapi masalah kecelaruan identiti dan saling tidak percaya antara satu sama lain.
Perkara ini harus diambil sebagai petunjuk penting bahawa parti yang berada dalam Muafakat Nasional terutamanya UMNO dan PAS tidak mempunyai persefahaman yang baik dan hanya memikirkan survival politik masing-masing.
Selain itu, dalam rakaman yang didedahkan juga menunjukkan PAS telah memberi isyarat bahawa kesepakatan yang dibuat bersama UMNO hanyalah sandiwara politik demi meraih sokongan setelah masing-masing tewas dalam PRU ke 14 yang lalu.
Ini juga menunjukkan PAS sekali lagi mempamerkan wajah sebenar mereka apabila sanggup membelakangkan rakan politik dan pada kali ini UMNO menjadi mangsa seterusnya.
Justeru rakyat Malaysia seharusnya membuka mata menilai sikap politik mereka dan tidak terpedaya dengan slogan yang dilaungkan kononnya membawa agenda nasional untuk Malaysia.
Dalam pada itu, Pemuda AMANAH menyeru agar Pakatan Harapan terus bergerak pada landasan yang betul bagi memastikan perubahan dan pembaharuan yang dibawa dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
HASNUL ZULKARNAIN ABD MUNAIM
Ketua Pemuda AMANAH Nasional
Leave a comment