5 Januari 2020 – Lanjutan dari satu kejadian keracunan makanan melibatkan guru-guru Tadika PASTI seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang sedang menghadiri kursus di sebuah pusat latihan di Cheras, Kuala Lumpur semalam, premis dapur kafetaria pusat latihan tersebut telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan siasatan lanjut dan disinfeksi keseluruhan premis dan akan dibuka semula sebaik sahaja penambahbaikan dibuat oleh pihak pengurusan kafetaria tersebut.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah di dalam kenyataan akhbar semalam, siasatan lanjut oleh pihak Pejabat Kesihatan Cheras (PKC) di Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM) dan pusat latihan mendapati terdapat 137 orang dari 280 peserta kursus yang terdedah juga mengalami gejala yang sama dengan empat (4) orang peserta yang telah dimasukkan ke wad. Kesemua kes adalah di dalam keadaan stabil dan selebihnya telah diberikan rawatan sebagai pesakit luar.
“Makanan yang disyaki penyebab kejadian keracunan makanan ini adalah ayam masak lemak yang dimakan pada waktu makan malam di dewan pusat latihan tersebut pada hari kejadian. Sampel klinikal dari kes-kes serta sampel makanan telah diambil dan dihantar ke makmal untuk di analisa. Siasatan lanjut masih dilakukan oleh pihak PKC bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian keracunan makanan ini.
Premis dapur kafetaria pusat latihan tersebut telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan siasatan lanjut dan disinfeksi keseluruhan premis dan akan dibuka semula sebaik sahaja penambahbaikan dibuat oleh pihak pengurusan kafetaria tersebut. Pihak pengurusan kafetaria juga diminta untuk menyimpan “holding sample” bagi setiap kali kursus dijalankan di pusat berkenaan. ” jelas Dr. Noor Hisham.
Tambah beliau, orang ramai tidak perlu khuatir dengan kejadian wabak yang berlaku kerana keadaan adalah terkawal dan dinasihatkan untuk mengamalkan langkah lihat, hidu dan rasa sebelum mengambil makanan bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan.
“Sentiasa amalkan kebersihan diri seperti basuh tangan sebelum mengendalikan makanan dan selepas menggunakan tandas.” katanya.
Leave a comment