PUTRAJAYA 30 Disember 2019 – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memperkenalkan struktur tambang fleksi bermula 1 Mac 2020 di mana ia akan membolehkan para penumpang perkhidmatan Electric Train Service (ETS) menikmati kadar tambang yang lebih berpatutan.
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) di dalam kenyataan media hari ini, tiket bagi tambang fleksi ini akan mula dijual pada 15 Januari 2020 bagi perjalanan ke semua destinasi perkhidmatan ETS di antara 1 hingga 31 Mac 2020.
“Pelaksanaan struktur tambang fleksi tersebut telah diluluskan oleh Kabinet pada 18 September 2019 yang lalu setelah kajian terperinci dilakukan terhadap segala aspek terutama sekali berkaitan profil penumpang dan pengoperasian perkhidmatan ETS. Ia juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang terbaik dan terus memilih pengangkutan awam seperti kereta api sebagai pilihan utama.
Sebagai pengenalan kepada tambang fleksi ini, KTMB juga menawarkan promosi “Seleksi Tempat Duduk” percuma untuk penumpang membuat pilihan tempat duduk tanpa sebarang caj tambahan bagi perjalanan di antara 1 hingga 31 Mac 2020 ke semua destinasi.” kata KTMB.
Tambah KTMB, pihak mereka masih menawarkan harga tambang konsesi untuk pesara kerajaan dan isteri, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), kanak-kanak 4 – 12 tahun, pelajar (pemegang kad KTM i-card), polis, tentera dan bomba.
Leave a comment