PUTRAJAYA 4 November 2019 – YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengutus Menteri Pendidikan YB Dr. Maszlee Malik bertemu dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud semalam bagi membincangkan isu-isu berkaitan melibatkan kedua-dua negara termasuk yang melibatkan kerjasama dalam bidang pendidikan.
Di samping itu Dr Maszlee juga berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Saudi, Dr Hamad bin Mohammed Al Shaikh bagi membincangkan pertukaran idea dan kemampuan antara Malaysia dan Arab Saudi.
” Kami saling bertukar pandangan dan buah fikiran tentang sistem pendidikan di negara masing-masing. Dan yang lebih penting, Kementerian Pendidikan Saudi telah memutuskan untuk memberikan 300 biasiswa kepada mahasiswa dan mahasiswi Malaysia. Tumpuan biasiswa ini adalah kepada bidang sains dan teknologi. Arab Saudi juga sedang menyusun para guru mereka daripada 3 subjek iaitu English, Matematik dan Sains untuk dihantar dan dilatih di Malaysia bagi mempersiapkan sistem pendidikan mereka menghadapi Pendidikan Abad Ke-21
Kita cukup berbesar hati menerima penghormatan sebegini, dan amat sudi untuk berbagi pengalaman bersama mereka. Para guru mereka boleh mengambil pengalaman tinggal dalam budaya masyarakat Malaysia dan turut menyumbang dalam pembelajaran anak-anak kita di sekolah. ” jelas Dr Maszlee di satu kenyataan di Facebook beliau.
Tambah Dr Maszlee lagi, pertukaran suasana sebegini merupakan satu inisiatif yang baik untuk meluaskan lagi spektrum pemikiran antara rakyat Malaysia dan Arab Saudi dan menyemarakkan aktiviti silang budaya.
Leave a comment