Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Keputusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memperluaskan liputan gentian optik ke empat lagi kawasan di Melaka dialu-alukan – Gobind

140

PUTRAJAYA 30 Ogos 2019 – Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Gobind Singh Deo mengalu-alukan keputusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memperluaskan liputan gentian optik ke empat lagi kawasan di Melaka selepas kejayaan pelaksanaan projek rintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan (NFCP) di Jasin awal tahun ini.

Menurut Gobind melalui kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini TNB dijangka melaksanakan gentian optik di sebanyak 14,900 buah rumah sebagai tambahan kepada 1,100 buah rumah di Jasin awal tahun ini. Ini menjadikan jumlah rumah yang terhubung melalui rangkaian Internet melalui TNB di Melaka sebanyak 16,000 dan beliau dimaklumkan bahawa inisiatif ini dibiayai secara swasta.

“Ini merupakan satu berita yang baik kerana ia akan menyokong inisiatif NFCP kerajaan dan menggalakkan lagi usaha untuk memperluaskan kesalinghubungan ke seluruh negara pada masa hadapan dalam kadar yang lebih cepat dan kos yang lebih rendah.

TNB akan melaksanakan projek ini secara berperingkat meliputi kawasan-kawasan bandar dan luar bandar seperti Alor Gajah sebanyak 8,200 buah rumah, Jasin sebanyak 2,700 buah rumah dan Melaka Tengah yang terdiri daripada 4,000 rumah di Ayer Keroh dan Malim Jaya.” ulas Gobind di kenyataan tersebut.

Gobind juga berharap TNB juga boleh memperluaskan inisiatif mereka ke negeri-negeri lain memandangkan ketersediaan mereka dalam menggunakan infrastruktur yang sedia ada.

Beliau juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana telah secara aktif meneruskan dan memberi kerjasama dalam pelaksanaan projek ini dan beliau berharap negeri-negeri lain juga akan berusaha untuk meningkatkan perkembangan rangkaian di negeri masing-masing.

Tambah Gobind, beliau dimaklumkan bahawa inisiatif seperti ini sedang dibincangkan di Kedah, Perak dan Johor.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *