Seramai 35 orang pejuang kemurungan klinikal (Major Depressive Disorder, MDD) telah berkumpul di Nak Cikit Picnic Space, Setia Alam, Shah Alam, Selangor baru-baru ini untuk menyertai program “Inisiatif Sejuta Harapan”. Program yang julung kali diadakan ini merupakan usaha proaktif NGO Empati (Kelab Advokasi Pulih Mental) dengan kerjasama dan sokongan daripada Jabatan Perdana Menteri.
Inisiatif ini timbul susulan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 yang mendapati bahawa sejuta rakyat Malaysia berusia lebih 15 tahun telah mengalami kemurungan. “Kami berharap lebih ramai yang berani tampil ke hadapan bagi mendapatkan bantuan, seterusnya mampu memberi harapan kepada pejuang-pejuang yang mengalami kemurungan,” kata Syahida Zulkarnain, Pengasas dan Presiden NGO Empati.
Syahida turut berkongsi tujuan penganjuran program antara lainnya adalah untuk menyediakan platform selamat untuk para peserta berkongsi pengalaman masing-masing sewaktu mengharungi fasa kemurungan. “Melalui program ini juga para pejuang berpeluang untuk bersosial secara sihat, selain berpeluang membina sistem sokongan yang berkala dan khusus untuk pesakit yang memerlukan,” katanya lagi.
Program ini dimulakan dengan aktiviti Picnic Inspirasi, sebuah aktiviti piknik tertutup yang santai namun penuh informasi dan ilmiah. Aiman Amri, seorang pendokong kesihatan mental yang juga merupakan penulis buku ‘Mendewasa dengan Luka’, telah dijemput sebagai penceramah utama.
“Program ini berkonsepkan bengkel selama 4 jam yang memanfaatkan 35 pejuang MDD. Kami menerapkan kepentingan aspek yang boleh diubah untuk memecahkan kitaran kemurungan, iaitu mengurangkan isolasi atau bersendiri di bilik sahaja,” jelas Aiman Amri.
Aktiviti dimulakan dengan sesi ‘ice breaking’ dan pengenalan, diikuti dengan penerangan tentang analogi kesihatan mental. Peserta kemudiannya terlibat dalam aktiviti berkumpulan untuk membezakan kesan-kesan kemurungan kepada pesakit. Mereka juga didedahkan dengan bentuk-bentuk ‘trigger’ yang berbeza untuk setiap orang dan cara mengatasinya.
“Picnic Inspirasi bertujuan untuk membangkitkan semula keinginan pejuang kemurungan untuk hidup dengan lebih sihat, di samping bersosial secara sihat dengan rakan-rakan yang boleh berkongsi permasalahan yang sama tanpa bias dan prasangka,” tambah Syahida.
Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif berkala yang bertujuan untuk membina sistem sokongan yang dipercayai oleh komuniti pejuang penyakit mental, khususnya anak muda. Sistem sokongan ini menggunapakai teori Dr Irvin Yalom yang meletakkan 11 prinsip yang perlu ada dalam sesebuah sistem sokongan, termasuklah prinsip ‘cohesiveness’.
“Kami berharap program ini bermanfaat dan memberi impak kepada mereka yang memerlukan. NGO Empati sentiasa mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan Inisiatif Sejuta Harapan bersifat berterusan dan berjaya,” kata Syahida mengakhiri temubual.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Syahida Zulkarnain, Pengasas dan Presiden NGO Empati.
Leave a comment