AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Salahkah tayang bahagia di media sosial?

396
Tiada salahnya berkongsi kebahagiaan di media sosial, selagi tidak berlebih-lebihan (Josh Rose - Unsplash)

Oleh: Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor

Pada suatu ketika dahulu, ramai yang mempamerkan kekayaan material dan harta benda di media sosial. Namun, trend ini telah berubah. Kini, ramai yang mula berlumba-lumba untuk berkongsi kebahagiaan mereka di platform media sosial masing-masing, terutamanya mereka yang baru sahaja mendirikan rumahtangga.

Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor

Adakah media sosial telah menjadi penentu atau kayu ukur kebahagiaan dalam kehidupan berumahtangga? Memperlihatkan kebahagiaan di media sosial seharusnya bermula daripada hati setiap individu. Jika perkongsian tersebut bertujuan untuk memberi motivasi kepada diri sendiri dan orang lain, ia mungkin tidak salah.

Tetapi, masalah akan timbul apabila perkongsian itu menjadi berlebih-lebihan sehingga menimbulkan perasaan meluat dan iri hati. Mungkin tidak menjadi kesalahan jika seorang individu yang pernah menghadapi kesukaran dalam hidupnya untuk berkongsi kata-kata motivasi dengan tujuan mendorong orang lain untuk terus berusaha mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi. Juga tiada salahnya jika seseorang berkongsi pencapaian di dalam bidang kerjayanya dengan harapan mereka yang mengikuti kisah hidupnya akan turut bermotivasi untuk terus berusaha demi mengecap kejayaan yang sama.

Namun perkara ini akan membawa kepada permasalahan jika perkongsian dibuat secara berlebih-lebihan sehingga menimbulkan perasaan negatif di dalam diri pengikut media sosial. Lebih buruk, jika perasaan itu bukan sahaja timbul secara dalaman, malah terlalu membuak-buak sehingga turut mendorongnya untuk melakukan perkara-perkara buruk secara fizikal.

Kementerian Komunikasi dan Digital mencatatkan bahawa terdapat kira-kira 28 juta pengguna media sosial di negara ini, menunjukkan kebergantungan masyarakat kita terhadap platform ini sebagai saluran utama untuk berkomunikasi dan mendapatkan maklumat. Namun, penggunaan dan perkongsian yang berlebihan mungkin turut membawa kesan secara langsung kepada kesihatan mental.

Ada kebimbangan bahawa pengguna media sosial mungkin bergantung kepada jumlah ‘like’ yang diterima sebagai penunjuk kebahagiaan diri. Ketika tidak mencapai jumlah ‘like’ yang diidamkan, individu tersebut mungkin mula berasa cemas dan berfikiran negatif. Mereka mungkin memerlukan pengiktirafan dan validasi dari orang lain untuk merasa bahagia, yang akhirnya boleh merosakkan kepercayaan diri mereka.

Selain itu, perkongsian kebahagiaan secara berlebihan juga boleh membahayakan keselamatan diri. Berkongsi tentang tempat tinggal atau rutin harian boleh meningkatkan risiko kecurian atau kejadian tidak diingini lainnya. Demikian juga, memberitahu orang ramai tentang pemergian kita sekeluarga ke kampung atau bercuti boleh menjadi risiko keselamatan, terutamanya jika seseorang tinggal bersendirian di rumah.

Tidak semua perkongsian kebahagiaan di media sosial mencerminkan realiti kehidupan sebenar sesebuah perkahwinan. Sering kali, gambaran kebahagiaan itu hanya salah satu sisi kisah indah dari pelbagai dimensi sebuah hubungan suami dan isteri. Kita tidak boleh menilai kebahagiaan seseorang hanya berdasarkan apa yang dilihat di media sosial. Perlu difahami juga bahawa tidak semua yang dipaparkan di media sosial adalah benar, malah kemungkinan ada yang bertujuan komersial dengan melakukannya sebagai ‘paid review’. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam berkongsi maklumat agar tidak merosakkan privasi diri dan tentunya bukan untuk menunjuk-nunjuk dan menimbulkan perasaan riak.

Sebelum berkongsi apa-apa hantaran di media sosial, sangat penting untuk bertanya kepada diri sendiri apakah tujuan sebenar di sebalik perkongsian tersebut. Adakah ianya untuk mendapatkan pengiktirafan, atau untuk memberi motivasi kepada orang lain? Tujuan yang jelas apabila berkongsi sesuatu cerita di media sosial akan membantu kita mengukur sama ada kesan yang diterima itu menepati apa yang dihasratkan atau sebaliknya.

Maka, jika ditanyakan: salahkah kita menunjukkan bahagia di media sosial? Tepuk dada, tanyalah selera.

……

Penulis merupakan Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar), Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan Anggota Lembaga Kaunselor Malaysia. Beliau boleh dihubungi di azy_mn@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...