AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Kejayaan Aidilfitri dan solidariti bersama mereka di Palestin

233
Teruskan bersolidariti demi kesengsaraan mereka di Palestin, dalam kita bergembira di Aidilfitri (Hosny Salah - Pixabay)

Oleh: Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh

1 Syawal 1445 H kali ini sekali pun disambut seperti biasa dengan kegirangan dan kegembiraan oleh umat Islam di seluruh dunia, namun hati mereka sentiasa dihurung kesedihan mengenang nasib yang sedang menimpa saudara mereka di Gaza, di bumi Palestin yang merdeka. Di kala kita di Malaysia ini sedang seronok menghias rumah untuk menyambut lebaran mereka pula sedang bermati-matian mencari perlindungan dan mungkin juga ahli keluarga yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang dibedil oleh penjenayah rejim Israel. Konflik yang sudah memasuki bulan keenam belum menunjukkan noktahnya. Israel yang sentiasa dibantu oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika dan Britain masih menunjukkan lagak dan bongkak mereka sekalipun dikecam seluruh penduduk dunia. Kedegilan yang mirip dengan keras kepala nenek moyang mereka di kalangan Bani Israel yang enggan mentaati perintah nabi-nabi mereka seperti yang dirakam oleh Al-Quran.

Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh

Dalam tempoh ini juga kita melihat organisasi besar dunia yang sentiasa menggelarkan diri mereka sebagai penyelamat dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau pertubuhan berkaitan hak asasi manusia menjadi lemah dan lesu ketika berhadapan dengan tindakan Israel dan sekutunya. Sheikh al-Azhar, Sheikh Dr. Ahmad Tayyib mengulas hal ini ketika berucap di dalam sebuah majlis rasmi presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi bersempena Sambutan Lailat al-Qadr di Kaherah. Beliau menjelaskan bahawa pertubuhan tersebut seperti orang yang lumpuh tidak mampu untuk bertindak sekalipun sudah mendapat mandat dari anggotanya kerana ditentang oleh kuasa besar yang telah menyerlahkan wajah sebenar dalam konflik ini yang penuh dengan sifat hipokrit, bermuka-muka serta bongkak sebagai sifat utama dalam berdiplomasi.

Dalam masa yang sama, Sheikh al-Azhar yang sentiasa menzahirkan sifat optimis mereka dalam hal ini menyuarakan gesaannya agar konflik ini menjadi satu noktah untuk umat Islam Timur dan Barat melakukan transformasi dengan meninggalkan rekod-rekod buruk yang lama dan menggantikannya dengan langkah-langkah ke arah memperkukuhkan keimanan umat Islam menerusi penghayatan nilai-nilai Islam yang utama sebagai agama samawi untuk mengembalikan kekuatan umat Islam yang pernah dikecapi oleh umat Islam terdahulu.

Beliau juga menyeru agar umat Islam terutamanya para pemimpin hendaklah kembali membina kesatuan sesame umat dengan menjadikan agenda kesatuan sebagai perkara rasmi dalam setiap tindakan dan gagasan. Beliau memetik ayat Al-Quran yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 46 yang bermaksud: Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Bulan yang mulia ini pernah menyaksikan banyak peristiwa-peristiwa kemenangan yang Allah kurniaka kepada mereka. Peperangan Badr, Pembukaan Kota Mekah, Perang Qadisiyah pada tahun 15 Hijrah, Pembukaan Andalusia di Ramadan tahun 92 Hijrah, Pertempuran Zalaqah atau the Battel of Zagrajas pada tahun 479 Hijrah yang dipimpan oleh Yusuf bin Tasyaffin bagi menyelamatkan bumi Andalusia dari serangan tentera Masihi, Pertempuran Hittin pada tahun

584 Hijrah yang telah mengangkat Solahuddin al-Ayyubi sebagai panglima yang digeruni sepanjang zaman, peperangan ‘Ain Jalut pada tahun 685 H Dimana umat Islam bawah pimpinan Saifuddin Qutz menewaskan tentera Tatar serta yang terkini peperangan 7 Oktober 1973 atau 10 Ramadan antara Mesir dan Israel yang mengembalikan semula Semenanjung Sinai kepada Mesir.

Jika dilihat kesemua siri pertempuran dan perjuangan di atas bermula dengan pelbagai mehnah dan tribulasi yang mencengkam jiwa umat Islam. Ada kalanya mereka berputus asa dan hanya menanti tentera Imam Mahdi untuk dating membantu mereka. Walau bagaimanapun, dengan keberkatan usaha mereka untuk kembali kepada landasan iman yang sebenar, Allah SWT mengurniakan kemenangan kepada umat Islam dan seterusnya memberikan nafas baru kepada generasi seterusnya untuk kembali berpegang kepada ajaran Islam yang murni.

Dalam isu Palestin ini, pengajaran dari Peperangan 6 Oktober 1973 masih jelas dalam ingatan dan catatan di mana kesatuan negara Arab iaitu Mesir, Syria, Lubnan dan Jordan telah Berjaya melemahkan onar yang dibuat oleh Israel ketika itu sebelum segaa-galanya berubah dengan perjanjian Camp David. Begitu juga dengan peristiwa-peristiwa sebelumnya yang menunjukkan kesatuan adalah asas utama kepada kejayaan. Bukanlah yang dimaksudkan dengan kesatuan itu semata-mata bertermu dan bermesyuarat Bersama, namun ia perlu dimulakab dengan matlamat yang jelas dan berjalan atas landasan yang benar sebagaimana para Sahabat Nabi Muhammad yang terus mara menyebarkan Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW sekali pun berdepan dua kuasa besar dunia ketika itu, iaitu Rom dan Parsi.

Penghayatan takbir dan kemenangan Syawal

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “… dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah: ayat 185)

Imam Fakruddin al-Razi (w. 606 H menukilkan dalam kitab tafsirnya bahawa perbuatan bertakbir itu adalah satu manifestasi kepada syukurnya hamba itu kepada Allah SWT yang telah mengurniakan hidayah dan Taufik-Nya. Kesempurnan hidayah itu pula diterjemahkan pada akidah (iman), perkataan dan perbuatan. Selain itu, gesaan Syarak untuk bertakbir di hari yang mulia ini juga sebagai isyarat yang jelas bahawa Allah SWT sentiasa mendengar akan sebutan dan doa-doa hamba-Nya dan tidak sesekali mengecewakan harapan dan doa mereka.

Ayat tersebut pula disambung dengan ayat 186 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

Al-Imam Syarafuddin al-Tibiy (w. 743 H) menerangkan bahawa Allah SWT itu sentiasa hampir dalam mendengar segala doa dan rintihan hamba-hamba-Nya dengan syarat hamba itu sentiasa bersedia untuk melaksanakan perintah Allah SWT kepada keimanan dan ketaatan.

Menerusi kedua-dua ayat ini, marilah sama-sama kita menghayati amalan bertakbir pada Syawal ini dengan menzahirkan keimanan dan ketaatan, mengharapkan doa-doa kita dikabulkan, umat Islam di Palestin dan seluruh dunia diberikan kejayaan dan keselamatan

dalam hidup mereka serta istiqamah dalam membela tanah suci umat Islam tersebut sehingga ia dapat disucikan dari kejahatan rejim Zionis Israel.

……

Penulis merupakan Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di shahid82@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...