AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Palestin dan hakikat kemenangan Aidilfitri

184
Jangan kita melupakan nasib yang menimpa saudara seagama kita yang masih lagi menderita kebuluran akibat peperangan (Omer Yildiz - Unsplash)

Dr. Mohd Istajib Mokhtar

Dalam pada kita bergembira menyambut hari raya di negara yang madani, aman dan sentosa, dengan menikmati juadah mewah, berpakaian indah dan bergelak ketawa, jangan sesekali kita alpa dan melupakan nasib yang menimpa saudara seagama kita di luar sana, yang masih lagi menderita kebuluran akibat peperangan.

Dr. Mohd Istajib Mokhtar

Di Palestin, derita yang dialami umat Islam di sana bukan sedikit, malah diancam genosid. Di sana, mereka berpuasa dalam keadaan berjaga-jaga, penuh debar, tanpa sahur dan iftar. Tetapi mereka tetap tidak berputus asa melangkahkan kaki ke Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat tarawih tanpa mengenal erti kalah, lelah dan letih. Mereka sememangnya “pemenang” yang tidak dipertikaikan dan berhak menyambut kemenangan Aidilfitri yang hakiki.

Persoalannya, apakah kita di sini sudah memahami erti dan berhak meraikan kemenangan Aidilfitri?

Hari Kemenangan Aidilfitri

Kita semua mengetahui dan memahami bahawa Aidilfitri adalah salah satu perayaan terbesar umat Islam sarwajagat. Perayaan ini bertujuan menyambut kemenangan umat setelah menjalani ibadat – khususnya puasa selama sebulan, menahan diri dari minum dan makan, serta perbuatan yang membatalkan. Apa yang lebih penting adalah kejayaan menundukkan nafsu sendiri. Hal ini kerana pada bulan berkat ini, syaitan-syaitan telah digari. Namun, adakah kita benar-benar memahami erti kemenangan aidilfitri ini? Adakah kita benar-benar telah berjaya menundukkan “seteru” atau semakin terikut-ikutkan nafsu?

Hakikatnya, aidilfitri adalah kemenangan buat umat Islam setelah kembali kepada fitrah insan – bersih dan suci dari dosa dan noda, setelah benar-benar beribadat dan bertaubat mendapatkan keampunan dan rahmat. Justeru, jika disingkap hadis dan sirah, pada hari raya Aidifitri, Rasulullah SAW meraikannya dengan bertakbir memuji keagungan Allah, membersih diri, berpakaian terbaik dan mewangi, menunaikan zakat, solat sunat dan saling mengucapkan selamat sepertimana hadis Wasilah yang diriwayatkan al-Imam al-Bukhari: “Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya dengan mengucapkan kepada baginda: Taqabalallahu minna wa minkum (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), lalu baginda menjawab: Ya, taqabalallahu minna wa minkum (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu).”

Apa yang dapat kita perhati, tatacara Rasulullah SAW meraikan Aidilfitri ini dilihat begitu seimbang antara meraikan kemenangan duniawi dengan kemenangan rohani.

Erti Kemenangan Yang Hakiki

Islam mempunyai definisi dan konsep kemenangan yang berbeza berbanding lain-lain agama dan ideologi. Di dalam al-Quran, terdapat beberapa terminologi yang sinonim dengan kemenangan, antaranya; al-Falah dan al-Fath. Kedua-dua kalimah ini sebenarnya mempunyai mempunyai kaitan rapat dengan kemenangan dunia dan akhirat. Islam tidak hanya melihat

kemenangan di dunia semata-mata, malah kemenangan yang sebenar adalah kemenangan di akhirat.

Kalimah al-Nasr pula berkait rapat dengan kemenangan jihad memerangi musuh. Justeru, meskipun di mata kasar kita menyaksikan para pejuang Islam gugur satu-persatu di medan tempur, jasad dan ruhnya tetap tersenyum, kerana kematian bukankah bermakna kalah. Bahkan, itulah kematian yang menghidupkan, itulah hakikat kemenangan dalam menegakkan syiar dan risalah Tuhan.

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam, kita harus memahami erti kemenangan yang hakiki. Bukan hanya meraikan dengan menyanyikan lagu-lagu lebaran dan berpakaian menawan, tetapi dengan memperkuat rohani demi menentang musuh, sama ada musuh dalam tubuh iaitu hawa nafsu, atau musuh yang terdiri daripada kaum musyrikin dan kuffar mahupun musuh yang nyata, iaitu iblis dan syaitan.

Kemenangan Yang Dijanjikan Ilahi

Pada hari raya Aidilfitri ini, sama-samalah kita kembali kepada fitrah insan, sama-samalah kita memahami erti dan saling mendoakan kemenangan, kerana kemenangan Palestin adalah kemenangan Islam sedunia. Kita harus yakin dan percaya kemenangan semakin hampir kerana itu telah dijanjikan Tuhan. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 7 yang bermaksud:

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan) dan untuk memasuki Masjid (al-Masjid al-Aqsa) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.”

Justeru, kita mesti yakin dan percaya pada janjiNya bahawa kuasa Yahudi Zionis itu akan ditumpaskan juga. Namun, kita perlu beringat, kemenangan hanya akan dicapai dengan syarat umat Islam bersatu hati, dan memiliki kekuatan rohani dalam berjihad sepertimana para sahabat.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di ista.ajib@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...