AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Ramadan dan limpahan barakahnya

320
Segala kelebihan itu adalah limpahan barakah Allah SWT yang eksklusif pada bulan Ramadan sahaja (Nahrizul Adib Kadri - Unsplash)

Oleh: Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad

Kedatangan bulan Ramadan sangat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Ucapan tahmid dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT apabila pada tahun ini, masih diberikan ruang dan kesempatan untuk berada dalam bulan yang mulia ini. Ruang dan kesempatan ini adalah peluang yang sangat penting kepada semua hamba Allah untuk melipat gandakan ibadah bagi meraih sebanyak mungkin pahala yang dijanjikan pada bulan ini.

Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad

Al-Raghib al-Isfahani ketika menjelaskan maksud ‘berkat’ (barakah) mendefinisikan berkara sebagai tetapnya kebaikan Ilahi di dalam sesuatu (perkara)’. Penjelasan beliau ini disertakan dengan contoh pemahamannya di dalam ayat al-Quran pada surah al-A’raf ayat 96 yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.” Beliau menyatakan bahawa dinamakan dengan berkat demikian kerana kebaikan di dalam negeri terus kekal, seperti kekalnya air di dalam kolam. Hal yang sama juga disebutkan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang menyatakan bahawa berkat secara hakikatnya adalah sesuatu yang konsistensi (tetapnya), berterusan (tidak terputus), dan stabil (iaitu sama seperti sebelumnya tanpa kurang).

Jadi, apabila kalimah berkat digabungkan dengan nama bulan Ramadan dan disebutkan ‘Ramadan al-Mubarak’ bermaksud bahawa segala apa yang disebutkan berkaitan dengan amalan dan kelebihan dalam bulan Ramadan adalah sesuatu perkara yang tetap (yakni tidak akan berubah), berterusan sepanjang Ramadan dan ganjaran pahala yang dijanjikan itu adalah benar tanpa berkurangan.

Bagaimana dan kenapa pula bulan ini dinamakan sebagai bulan yang diberkati iaitu ‘Ramadan al-Mubarak’? Bagi menjawab persoalan ini ada beberapa perkara khusus yang boleh disebutkan tentang bulan Ramadan ini.

Pertamanya yang boleh disebutkan adalah tentang janji pencapaian nilai ketaqwaan di sisi Allah SWT bagi orang yang melaksanakan kewajipan ibadah puasa. Setiap orang Islam yang beriman, pasti akan mendapat kelebihan ini jika dia benar-benar berpuasa, di samping mendapat keampunan daripada Allah SWT. Perkara ini dijanjikan oleh Allah SWT seperti yang disebutkan dalam ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Dengan rahmat peningkatan nilai ketaqwaan dan keampunan dosa daripada amalan puasa ini adalah merupakan suatu barakah daripada Allah SWT.

Kemudian, dalam bulan Ramadan, Allah SWT turut menjanjikan kelebihan pada secara ‘unlimited’ kepada orang yang berpuasa. Bukan lagi dengan kadar gandaan antara 10 hingga 70 kali ganda seperti amalan lain. Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu dari Nabi SAW bersabda, “Semua amalan Bani Adam adalah untuknya kecuali puasa, sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku (Allah), dan Aku lah yang membalasnya.” (HR al-Bukhari, no.5472). Bahkan, bagi amal ibadah yang lain turut digandakan yang menggambarkan kemurahan Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang beramal dalam bulan Ramadan ini. Kemurahan pahala ini turut menggambarkan barakah Allah SWT kepada hambaNya.

Seterusnya, dalam bulan Ramadan terdapat satu malam apabila dapat menghidupkan pada malam tersebut adalah lebih baik daripada 1000 bulan beramal pada malam-malam yang lain. Ini janji Allah SWT seperti disebutkan pada ayat 3 surah al-Qadr yang bermaksud: “Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” Peluang ini datang setiap tahun dan hanya sekali kesempatan sahaja bagi setiap umat Islam. Tiada sebarang halangan daripada Allah SWT untuk hambaNya berusaha untuk mendapatkan malam tersebut kecuali halangan itu adalah dirinya sendiri.

Dalam pada itu, terdapat juga keberkatan yang khusus dalam pelaksanaan ibadah puasa iaitu melalui amalan bersahur. Bersahur adalah satu anjuran yang sangat digalakkan sekalipun hanya dengan sebiji tamar atau segelas air kosong. Bahkan, bersahur adalah merupakan amalan yang membezakan puasa umat Nabi SAW dengan umat Nabi terdahulu atau amalan puasa orang bukan Islam. Jadi, ia adalah satu keistimewaan khusus yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat baginda SAW. Dalam hadith disebutkan daripada riwayat Anas bin Malik RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” (HR al-Bukhari, no.1923 dan Muslim, no.1095). Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan dalam Fath al-Bari ketika mensyarahkan hadith ini iaitu yang dimaksudkan dengan keberkatan adalalah ganjaran dan pahala dengan makna perbuatan bersahur atau keberkatan.

Demikian juga kelebihan kepada orang yang berpuasa dijelaskan daripada mafhum hadith iaitu bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih baik daripada haruman kasturi dan bagi orang yang berpuasa itu akan mendapat dua kegembiraan iaitu kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa bertemu dengan Allah SWT (HR al-Bukhari, no.1904 dan Muslim, no.1151). Dengan maksud bahawa orang yang berpuasa mendapat kegembiraan semasa di dunia dan juga di akhirat. Ini adalah satu barakah yang besar daripada Allah SWT bagi orang yang benar-benar melaksanakan perintah dan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan ini.

Akhir sekali, ada juga satu amalan khusus yang tidak dapat dilaksanakan kecuali hanya pada bulan Ramadan sahaja. Ia dinamakan sebagai solat tarawih. Solat sunat tarawih ini, sangat dituntut untuk kita lakukan sepanjang bulan Ramadan sebagai usaha qiyam atau menghidupkan aktiviti ibadah pada sebelah malam. Jika kita rajin beribadah solat, dan mahu melaksanakan solat tarawih di luar bulan Ramadan, maka ia bukan merupakan solat yang boleh dilakukan. Tidak seperti solat sunat lain yang diberikan ruang sepanjang tahun mengikut waktu dan jenis solat sunat itu. Jadi, amalan solat tarawih ini seperti satu anugerah satu ibadah khusus kepada orang Islam khas untuk dilaksanakan pada bulan Ramadan sahaja, tidak pada bulan-bulan yang lain. Sangat rugi kepada sesiapa sahaja yang meninggalkan amalan solat ini kerana keistimewaannya hanya ada pada bulan Ramadan sahaja.

Daripada contoh yang disebutkan menunjukkan bahawa keberkatan bulan Ramadan ini adalah dengan banyak dan pelbagainya amalan dan kelebihan yang dijanjikan. Kelebihan itu terletak pada bulan itu sendiri, kelebihan kepada orang yang melaksanakan puasa pada bulan ini, kelebihan dengan adanya pelbagai bentuk ibadah khusus yang disediakan pada bulan ini di samping pelbagai saranan dan tuntutan yang amat digalakkan untuk dilaksanakan pada bulan ini.

Segala kelebihan itu adalah merupakan limpahan barakah daripada Allah SWT kepada umat baginda SAW untuk mendapatkanya eksklusif pada bulan Ramadan sahaja.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan bpleh dihubungi di khadher82@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...