AMBiz @ My LNABM @ MY LNAEkonomi @ My LNA

Zahrah impi karier sebagai pakar hartanah yang menyantuni komuniti

252

Wanita berusia 25 tahun ini baru sahaja mendaftarkan diri ke dalam jurusan Sarjana Muda Sains Harta Tanah pada bulan Oktober 2023. Walaupun mungkin kelihatan agak lewat, dan berusia, jika dibandingkan dengan rakan-rakan sekuliah yang lain, namun itu bukan menjadi penghalang anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini untuk melanjutkan pengajiannya demi mengejar cita-citanya sebagai pakar hartanah satu masa nanti.

“Sejak diperkenalkan kepada bidang hartanah ini oleh bapa saya, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Inilah kerjaya yang mampu menggilap dan menyerlahkan potensi diri saya yang sebenar untuk menjadi seorang yang bukan sahaja berjaya dari segi individu, tetapi juga menjadi manfaat kepada komuniti,” terang Fatimatul Zahrah Mohd Zainal memulakan perbualan.

Anak bongsu dari 7 orang adik-beradik ini yang mesra disapa sebagai Zahrah, asalnya bercita-cita menjadi seorang peguam. Namun setelah mula menceburi bidang hartanah secara sambilan ketika berusia 19 tahun, dan berjaya menerima pendapatan mencecah lima angka sebulan hanya setelah beberapa bulan berkecimpung di dalam industri ini, beliau nekad menukar hala tuju kehidupannya. “Bukanlah kehidupan mewah yang saya kejar dan dijadikan asas pemilihan kerjaya pada masa akan datang, kerana pada pandangan saya yang lebih penting ialah sama ada sesuatu bidang kerjaya itu memberi ruang kepada saya untuk berdikari, menimba ilmu, dan akhirnya berupaya mengenali diri saya yang sebenar,” terang Zahrah.

Keinginannya yang meluap-luap untuk mendalami ilmu dalam bidang hartanah setelah menamatkan pengajian Diploma Sumber Manusia di Pusat Pengajian Berterusan Universiti Malaya (UMCCEd) setelah menamatkan persekolahannya. Namun perjalanan akademiknya ke peringkat ijazah sarjana muda terhenti sebaik pandemik COVID-19 melanda dunia pada tahun 2020. Kebetulan kesihatan ibunya yang tidak begitu baik ketika itu telah memaksanya untuk menghentikan perjalanan akademiknya buat seketika, biar pun berjaya menggenggam gelaran pelajar terbaik keseluruhan untuk pengajian diplomanya di UMCCEd. Tanggungjawab berbakti semula kepada ibu bapa yang melahirkan digalas tanpa seribu alasan.

Sebagai seorang yang enggan menerima ‘tidak’ sebagai jawapan, Zahrah kini meneruskan pengajiannya dalam bidang hartanah di Universiti Malaya, demi kelangsungan cita-citanya untuk menjadi pakar hartanah satu hari nanti. “Sejak kecil memang saya seorang pencinta ilmu. Buku memang tidak pernah jauh dari capaian tangan saya. Dan seingat saya, ketika membesar di kantin sekolah tempat ibu berniaga, saya sentiasa dikelilingi buku yang banyak membina persepsi saya terhadap pembelajaran dan kehidupan,” katanya yang menjadikan buku Robert Kiyosaki, “Rich Dad Poor Dad” sebagai buku yang paling banyak mempengaruhi pemikirannya.

Ditanya jika mempunyai suri teladan yang sering dijadikan idola bagi memberinya inspirasi, Zahrah pantas memberi nama pakar motivasi, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad, sebagai jawapan. “Saya membaca buku beliau mengenai kaedah menjadi seorang pelajar yang baik sejak berumur 11 tahun. Dan jujur saya katakan buku itu telah mengubah pandangan saya mengenai erti sebenar kejayaan. Buku itulah yang mengajar saya untuk menyusun semula keutamaan hidup kita dalam seharian, yang akhirnya memberikan kita ‘masa’ untuk melakukan apa sahaja, terutamanya untuk kebaikan peribadi dan mereka yang ada di sekeliling kita,” kata penggemar masakan asam pedas ini lagi.

Zahrah bukan sahaja seorang ulat buku, malah kecemerlangannya turut meliputi penglibatannya dalam pelbagai program dan aktiviti, dari peringkat sekolah sehinggalah ke universiti. “Dari pertandingan pantun dan bicara berirama, sehinggalah ke debat dan syarahan, saya sertai semuanya semasa di sekolah. Jawatan sebagai Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Diploma semasa di UMCCEd juga tidak menghalang saya mencapai anugerah dekan pada setiap semester,” kata wanita periang ini sambil tersenyum.

Dan menariknya disebabkan dirinya yang lebih berusia berbanding rakan-rakan sekelas di Universiti Malaya, ditambah dengan pengalaman melanjutkan pengajian diploma dalam bidang yang sama, Zahrah kini juga sering diminta berkongsi nasihat dalam hidup dan perkara berkaitan pengajian oleh rakan-rakannya. “Saya gembira dijadikan rujukan sebegini, walaupun perlu diakui bukanlah saya orang yang paling berilmu dalam hal yang ditanyakan. Namun saya melihatnya sebagai salah satu kaedah untuk mendekati komuniti yang terdekat dengan saya, iaitu rakan sekuliah.”

“Antara pesanan yang sering juga saya kongsikan kepada mereka ialah sepotong hadis Nabi SAW yang bermaksud: ‘Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.’ Melalui sebaris ayat ini sahaja sudah cukup menunjukkan yang setiap daripada kita sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk membantu individu lain yang memerlukan.”

“Dan saya juga suka berpesan yang kehidupan ini sentiasa penuh dengan peluang. Hanya tinggal kita sahaja untuk mengambil cakna mengenainya, dan merebut manfaat dan kemenangan yang bakal tersedia,” kata Zahrah mengakhiri perbualan.

Maklumat lanjut mengenai Zahrah boleh didapati melalui Prof. Madya Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri di nahrizuladib@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...