BM @ MY LNAPendapat @ My LNA

Dialog agama kunci kemajmukan Malaysia MADANI

440
Dr. Khairulnizam Mat Karim

Oleh: Dr. Khairulnizam Mat Karim

Perbahasan yang dikemukakan oleh penulis ini adalah sebahagian kecil daripada pengalaman, pemerhatian dan penglibatan penulis dalam kajian-kajian hubungan antara agama yang telah dilaksanakan dengan mengambil kira isu-isu yang berlaku sekitar tahun 1980an hingga sekarang. Penulis mendapati bahawa isu-isu hubungan antara agama dan kaum tidak pernah reda, walaupun tahun 2023 ini merupakan tahun ke 66 Malaysia menyambut kemerdekaanya. Tetapi realitinya segelintir masyarakat Malaysia masih belum merdeka pemikirannya dalam kerangka bernegara di mana Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama dan bangsa dan sudah pasti sebarang permasalahan harus diurus dengan hikmah dan matang serta bukan berlandaskan emosi dan perasaan. Tambahan lagi isu-isu antara agama mahupun kaum dan bangsa juga kerap dijadikan bahan kempen politik bagi sesetengah ahli parti politik untuk menarik sokongan terutama kepada masyarakat beragama Islam dan berbangsa Melayu. Maka sudah pasti kadang kala ianya seperti mencurah minyak ke api yang sedang menyala.

Dr. Khairulnizam Mat Karim

Berdasarkan realiti semasa, di antara isu-isu hubungan antara agama adalah seperti; (1) berkait rapat dengan pentadbiran agama, (2) pelaksanaan undang-undang atau polisi kerajaan yang memberi kesan terhadap sesebuah agama, (3) isu penggunaan terminologi al-Qur’ān, seperi Kalimah Allah, (4) isu pengkebumian saudara baru, (5) isu dakwah dan misionari kepada penganut agama lain secara langsung atau tidak langsung, (6) isu kefahaman agama dan adat resam dan lain-lain. Persoalannya, adakah pemimpin-pemimpin agama turut memainkan peranan untuk mereda atau menjustifikasi perkara-perkara yang menjadi konflik kepada penganut agama-masing-masing agar ia difahami dengan jelas dan akhirnya dapat mengurangkan kesalahfahaman dan konflik? Pada pandangan penulis peranan pemimpin agama dalam meredakan konflik antara agama adalah amat mustahak terutama melibatkan hal-hal membina hubungan antara agama dalam konteks Intra Dialog (Dialog Dalam Komuniti Sendiri). Ini demi memastikan hasrat atau ikhtiar memperkenalkan konsep Malaysia MADANI oleh Kerajaan Perpaduan kini, tercapai terutama melibatkan Teras Keempat iaitu Hormat, “Perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan maraikan perbezaan pandangan dunia”.

Di antara peranan utama pemimpin agama Islam seharusnya adalah dalam menanam prinsip asas hubungan antara agama kepada masyarakat Muslim terhadap masyarakat bukan Muslim atau digelar sebagai ahl al-dhimmah(ahl al-Dhimmah beerti mereka iaitu masyarakat bukan Muslim yang mendapat jaminan keamanan daripada Allah, Rasul dan masyarakat Muslim dengan perjanjian untuk hidup di bawah perlindungan Islam serta berada dalam masyarakat Muslim dengan aman). Dalam konteks sekarang ini ia boleh dirujuk sebagai warganegara yang bukan beragama Islam. Dalam konteks perbahasan ini proses atau platformnya disebut sebagai Intra Dialog. Ini adalah kerana jika maklumat yang tepat bagaimana Islam membina hubungan antara agama tidak diterapkan kepada masyarakat Muslim maka hubungan baik antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim khususnya, tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Oleh itu sudah pasti permasalahan mahupun konflik antara agama akan terus berlaku. Justeru pemimpin agama harus berperanan dalam mendidik masyarakat Muslim akan prinsip-prinsip asas hubungan antara agama sebagaimana yang disarankan oleh Islam yang merangkumi dua aspek penting iaitu aspek keadilan dan toleransi. Hal ini telah dijelaskan oleh Al-Qardāwī di dalam Fasal Satu, Huqūq alh al-Dhimmah di dalam bukunya yang bertajuk Ghayr al-Muslimīn fī al-Mujtama’ al Islāmī. Beliau menyatakan, di antara aspek keadilan dan toleransi yang telah digariskan oleh Islam dalam kontek hubungan antara agama terutama dengan

ahl al-Dhimmah adalah seperti (1) perlindungan daripada serangan musuh, (2) memelihara mereka daripada sebarang bentuk kezaliman dan penindasan, (3) melindungi dan memelihara daripada sebarang pencerobohan harta benda serta kehormatan diri, (4) perlindungan semasa dalam keadaan uzur, tua dan kemiskinan, (5) menjamin hak kebebasan beragama, (6) kebebasan bekerja dan mencari rezeki.

Satu perkara yang perlu di ambil perhatian juga adalah, jika diteliti kepada aplikasi pelaksanaan dialog antara agama yang dilaksanakan oleh Nabi S.AW ia mempunyai beberapa peringkat dan setiap peringkat itu juga berdasarkan kepada tujuan, keadaan dan situasi. Di antaranya, dialog juga adalah (1) medan dakwah dalam Islam sama ada dakwah kepada dalaman masyarakat Muslim (intra dialog) mahupun dakwah kepada masyarakat bukan Muslim (inter dialog). (2) Terdapat beberapa peringkat dialog iaitu: peringkat berdialog dengan konsep toleransi yang tinggi, (2) peringkat berdebat dan (3) peringkat bermubāhalah (bersumpah maut). Pada pandangan penulis bahagian ini harus diterangkan dengan sejelas mungkin oleh pemimpin agama Islam kepada masyarakat Muslim dan terutama kepada pemimpin agama bukan Islam. Ini adalah kerana ia ditakuti akan menimbulkan kekeliruan tentang tujuan dan matlamat utama realiti pelaksanaan dialog antara agama di dalam Islam kerana mempunyai unsur dakwah, debat dan mubāhalah (sumpah maut).

Oleh itu, peranan pemimpin agama dalam memberi kefahaman dan menerapkan prinsip asas hubungan antara agama di kalangan masyarakat Muslim keseluruhanya adalah amat penting. Ini adalah kerana jika berlaku sebarang perkara yang melibatkan tuntutan masyarakat bukan Muslim maka tindakan atau respon kepada tuntutan tersebut daripada mereka yang berwajib hendaklah bersifat objektif, ‘adil dan tidak prejudis atau berpihak. Selain itu intra dialog ini juga harus berstruktur dari aspek penyampaiannya kepada masyarakat Muslim. Pada pandangan penulis di Malaysia ini masih belum wujud lagi model dialog antara agama mahupun intra dialog (komuniti sendiri) terutama bagi masyarakat Muslim. Penulis berpandangan khutbah Jumaat adalah antara platform yang sesuai sebagai intra dialog bagi masyarakat Muslim kerana waktu ini jumlah masyarakat Muslim berhimpun dan mendengar khutbah dalam kapasiti yang ramai. Maka amat sesuai sebarang penjelasan dan penegasan berkaitan isu-isu antara agama disampaikan.

Walau bagaimanapun, kadang-kala kandungannya juga mempunyai elemen menyemarakkan kemarahan masyarakat Muslim kepada non-Muslim dalam isu-isu sensitif agama seperti isu Kafir Harbi yang berlaku di negeri-negeri tertentu sebelum ini. Oleh itu kefahaman sebenar antara Islam dan bukan Islam serta penyelesaian konflik yang berlaku di antara Islam dan bukan Islam contohnya, tidak sampai ke peringkat akar umbi masyarakat. Maka dengan ini akan menyebabkan tahap kefahaman masyarakat rendah terutama dalam kalangan masyarakat terbanyak dan seterusnya membentuk pemikiran yang negatif terhadap hubungan antara agama serta penolakan proses dialog antara agama.

Jika perkara ini masih berterusan maka agenda Malaysia MADANI oleh Kerajaan Perpaduan kini dalam mengiktiraf kemajmukan agama dan kaum di Malaysia tidak akan tercapai.

……

Penulis merupakan Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Beliau boleh dihubungi di khairulnizam@uniten.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...