BM @ MY LNAKesihatan @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Luluskan Segera RUU Kawalan Produk Merokok 2023

443

Kumpulan Penyelidik Ketagihan Nikotin (NARCC) di Universiti Malaya (UM) memandang serius kecemasan yang melanda negara ini berhubung penggunaan vape dan rokok elektronik di kalangan remaja dan kanak-kanak. Kami tidak boleh lagi berdiam diri melihat peningkatan drastik dalam penggunaan vape oleh generasi muda yang digembar-gemburkan sebagai sumber pendapatan baru dan cara berhenti merokok.

Profesor Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin, ketua koordinator NARCC dan pakar perunding kanan psikiatri UM, menegaskan bahawa tidak ada bukti kukuh menyokong vape sebagai terapi berhenti merokok sementara banyak lagi cara berhenti merokok yang bertauliah masih belum dimaksimakan.

Hasil daripada kajian kohort di Pusat Perubatan Universiti Malaya mengenai “Incidence of E-Cigarette or Vaping Product Use Associated Lung Injury (EVALI) among the Severe Acute Respiratory Infections (SARI) Patients” pada tahun 2021, yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Wong Chee Kuan, Dr Farizah Mohd Hairi, Dr Noraryana Hassan, Dr Mohd Afiq Mohd Nor dan lain-lain, menunjukkan insiden EVALI sebanyak 840 per 100,000 kes SARI! Inilah alasan kenapa kami mendesak agar pesakit SARI semuanya disaring untuk penggunaan e-rokok atau vape. Penemuan ini adalah panduan penting bagi pembuat dasar dan pengurusan klinikal EVALI. Manfaat ekonomi yang dijanjikan oleh industri vape jauh lebih kecil daripada kos yang timbul akibat penyakit serius seperti EVALI. Ini adalah bahaya besar bagi negara kita! Vape juga berpotensi merosakkan sistem pernafasan, terutamanya pada golongan remaja dan kanak-kanak yang tidak mampu mengawalnya.

Negara-negara seperti England, Australia, dan New Zealand, yang longgarkan peraturan vape, mengalami peningkatan penggunaan oleh remaja dan kanak-kanak. Pakar kesihatan semakin bimbang dengan fenomena ini, terutamanya pakar pediatrik, pakar perubatan keluarga, pakar kesihatan awam, dan pakar perubatan psikiatri. Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa remaja yang terlibat dengan vape mudah terjebak dengan rokok konvensional dan penyalahgunaan dadah. Mereka juga mengalami masalah kesihatan mental serius seperti kemurungan.

Profesor Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin

Menurut Profesor Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin, timbalan koordinator NARCC dan pakar perunding perubatan keluarga di UM, kajian kesihatan remaja pada tahun 2022 menunjukkan perubahan yang menggerunkan dalam pola penggunaan rokok. Penggunaan vape meningkat sementara penggunaan rokok konvensional menurun. Lebih membimbangkan, remaja perempuan cenderung kepada penggunaan vape, menunjukkan penerimaan yang tinggi disebabkan oleh sifat ingin tahu, gaya hidup, dan daya tarikan perasa.

Data daripada “National Heath Morbidity Survey (NHMS) 2022” menunjukkan prevalens penggunaan vape adalah 14.9% di kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun. Dan penemuan kami di UM menunjukkan bahawa prevalens ini telah meningkat kepada 15.1% sejak program Generational Endgame dimulakan pada tahun 2022 hingga 2023 di beberapa buah sekolah. Ini adalah isyarat bahawa tindakan perlu diambil SEKARANG.

Keputusan untuk mengeluarkan cecair nikotin dari Akta Racun pada 1 April 2023 adalah satu tindakan yang berbahaya. Ia telah membuka pintu seluas-luasnya untuk penjualan vape kepada remaja dan kanak-kanak. Akibatnya penjualan nikotin tidak terkawal di Malaysia. Hasil tinjauan Pusat Racun Negara menunjukkan produk vape dijual bersama-sama dengan gula-gula dan alat tulis di kedai-kedai runcit. Lebih merisaukan lagi, remaja dan kanak-kanak terpesona dengan promosi vape oleh artis dan selebriti di media sosial serta jualan atas talian yang dipersembahkan sebagai gaya hidup “cool”.

Perokok vape pasif sering diketepikan apabila isu merokok vape dibincangkan, berkata Dr Anne Yee, pakar psikiatri ketagihan. Perokok vape pasif adalah mereka yang tidak merokok tetapi secara tidak sengaja dipaksa menyedut asap rokok yang dihembuskan oleh perokok vape berdekatan. Justeru, ini mengakibatkan perokok pasif terdedah kepada wap aerosol vape yang mengandungi nikotin, zarah ultra halus, dan bahan kimia beracun yang berpotensi memudaratkan kesihatan pernafasan, terutamanya dalam ruang tertutup. Golongan rentan seperti kanak-kanak, wanita hamil, dan individu yang menghidapi penyakit kronik adalah lebih mudah terdedah kepada gejala ini.

Kami mendesak dengan penuh kesungguhan agar Kerajaan segera meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023. Ini adalah langkah yang sangat penting untuk melindungi generasi muda daripada ancaman merokok dan vape. Masa depan mereka serta kesihatan mereka dalam jangka pendek dan panjang berada dalam bahaya besar. Kami tidak boleh terus berlengah lagi!

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...