BM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNA

Maulidurrasul agenda penyatuan ummah MADANI

363

Oleh: Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad

Saban tahun, umat Islam tidak terlepas untuk menyambut kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW apabila tibanya bulan Rabiulawal. Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun, telah masyhur dalam kalangan hampir keseluruhan umat Islam sebagai tarikh keramat untuk diingati dan dihayati tentang kelahiran junjungan mulia tersebut. Sebagai tanda ingatan, umat Islam akan mengadakan pelbagai bentuk majlis bagi meraikan kelahiran Baginda SAW. Ada dalam bentuk ceramah, kuliah agama, aktiviti dakwah dan sebagainya lagi sebagai salah satu bentuk sambutan dan meraikan maulidurrasul tersebut. Ada pihak masjid yang mengambil peluang ini dengan menjemput penceramah tersohor, ada yang fokus kepada majlis selawat, dan ada juga yang menjalankan aktiviti gotong-royong menyediakan jamuan makanan. Semua itu dilakukan sebagai salah satu bentuk untuk menunjukkan rasa kecintaan kepada Nabi SAW, melalui semangat kerjasama antara penduduk dan masyarakat setempat.

Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad

Walau bagaimanapun, bulan Rabiulawal bukan semata-mata bulan kelahiran Nabi SAW sahaja. Pada bulan ini juga terdapat beberapa peristiwa lain yang boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua. Antara peristiwa penting yang turut berlaku pada bulan tersebut adalah perkahwinan Nabi SAW dengan Khadijah binti Khuwailid pada 10 Rabiulawal, dan baginda juga diangkat sebagai Rasul pada 1 Rabiulawal ketika baginda berusia 40 tahun.

Baginda juga dikatakan bersembunyi di Gua Hira’ pada 2, 3, dan 4 Rabiulawal, dan kemudian berhijrah ke Yathrib (kemudian dinamakan Madinah) pada 8 hingga 12 Rabiulawal. Pada bulan yang sama juga sebelum tiba di Yathrib, baginda telah membina Masjid Quba’ yang merupakan masjid pertama dalam sejarah Islam yang jatuh pada 8 Rabiulawal. Lalu baginda tiba di Kota Yathrib ketika itu pada 12 Rabiulawal yang jatuh pada hari Jumaat, dan baginda menunaikan solat Jumaat pertama di sana. Demikian juga disebutkan bahawa baginda SAW wafat pada 12 Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah (yang bersamaan dengan 7 Jun 632 Masihi), di rumah Aisyah selepas baginda sakit selama 13 hari.

Dalam erti kata lain, apabila mengaitkan bulan sambutan maulidurasul ini, kita bukan semata-mata mengenangkan peristiwa kelahiran Nabi SAW sahaja, tetapi turut mengundang banyak lagi peristiwa penting kepada umat Islam untuk dihayati. Kalau dilihat kepada peristiwa hijrah yang juga berlaku dalam bulan kelahiran Nabi SAW ini, antaranya yang kita semua maklum, hijrah Nabi SAW dan umat Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah (ketika itu namanya Yathrib) adalah merupakan satu arahan daripada Allah. Kesan daripada hijrah ini telah menjadikan umat Islam lebih kuat sehingga Nabi SAW sendiri dilantik sebagai pemimpin, dan baginda telah berjaya dalam menyatukan seluruh kaum dan suku yang ada di Madinah ketika itu di bawah satu paying negara Islam yang satu.

Baginda turut mempersaudarakan antara kaum Muhajirin (yang berhijrah bersama Nabi SAW) dengan Ansar (penduduk Islam Madinah yang membantu golongan Muhajirin) sehingga diletakkan taraf sebagai seorang saudara kandung. Kesatuan dalam kalangan orang Islam di bawah payungan Nabi SAW sendiri menjadikan, orang bukan Islam dari kalangan Yahudi ketika itu turut akur dengan kepimpinan Nabi SAW. Natijahnya, lahirlah sebuah kerajaan Islam yang agung di mana selepas itu Islam terus berkembang dan menguasai hampir keseluruhan dunia. Tidak lain melainkan asas utamanya adalah bagaimana proses penyatuan masyarakat yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Hal ini sesuai dengan keterangan yang difahami daripada ayat 103 surah Ali ‘Imran yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya” (Ali Imran, 3: 103).

Dari ayat ini jelas bahawa Nabi Muhammad SAW yang memainkan peranan penting sebagai utasan Allah SWT untuk merealisasikan agenda perpaduan tersebut. Bukan itu sahaja, apabila kita memperhatikan sirah Nabi SAW, sejak awal lagi baginda telah menunjukkan diri sebagai seseorang yang mampu untuk menyatupadukan masyarakat yang berpecah-belah. Antara agenda penyatuan yang pernah ditunjukkan oleh Nabi SAW adalah apabila baginda SAW telah dipilih sebagai seorang yang menjadi hakim (orang yang memutuskan suatu ketetapan) terhadap permasalahan yang dihadapi. Dalam isu perletakkan kembali Hajar al-Aswad di Kaabah, masing-masing kabilah Quraish yang berada di Mekah ketika itu menyatakan bahawa mereka ada hak untuk meletakkan batu hitam berkenaan kembali ketempat asalnya. Lalu berlakulah perebutan dan pertelingkahan sehingga dalam tempoh 3 hingga 4 hari sesama mereka tanpa ada penyelesian. Disebutkan bahawa Abu Ummayyah bin al-Mughirah al-Makhzumi yang merupakan seorang yang dihormati ketika itu mencadangkan agar mereka melantik hakim yang dipersetujui bersama untuk memberi kata putus. Mereka menetapkan bahawa orang pertama yang masuk ke kawasan Kaabah tersebut akan menjadi hakim. Maka tidak lain melainkan Nabi SAW yang ketika itu berusia 35 tahun dan masih belum diangkat menjadi rasul, telah dipilih untuk menjadi hakim bagi memutuskan perletakan Hajar al-Aswad tersebut. Di sinilah kita memahami bahawa diri Nabi SAW itu telah pun dipimpin oleh Allah SWT sebagai seseorang yang menjadi penyatu dalam masyarakat sejak sebelum kerasulan baginda lagi.

Kita sebagai umat baginda SAW sudah pasti perlu memahami dan menghayati sirah baginda SAW tersebut kerana di sana ada panduan perjalanan kehidupan kita semua. Usahlah dibiarkan perbezaan politik menjadi penghalang kepada penyatuan umat Islam pada hari ini khususnya di Malaysia ini. Para pemimpin dari kalangan orang Islam, perlu mengambil berat dalam soal kepimpinannya kerana tanggungjawabnya adalah sangat berat.

Disebutkan oleh Nabi SAW bahawa kepimpinan adalah satu tanggungjawab yang berat dan setiap orang merupakan pemimpin mengikut peranannya masing-masing. Daripada Abdullah bin ‘Umar RA, daripada Nabi SAW bersabda (maksudnya): “Setiap kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang yang dipimpinnya; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; khadam pula diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” (HR Muslim, no. hadith 3408).

Dengan itu, dalam merealisasikan Malaysia MADANI ini, sudah pasti pembangunan yang akan dilakukan perlu menjadikan Nabi SAW sebagai suri teladan dalam pelbagai aspek dan sudut. Ia melibatkan dalam urusan tatakelola negara, soal ekonomi, soal kerjasama serantau, soal pembangunan masyarakat, pembangunan pendidikan dan sebagainya lagi. Namun, apa yang penting dan perlu diberikan perhatian adalah menjadikan masyarakat sebagai ummah madani yang boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan negara madani ini. Dengan adanya agenda penyatuan ummah madani ini, secara langsung akan dapat merealisasikan apa yang dibawa pada ketika ini supaya semua pihak sama-sama dapat menikmati nilai kehidupan yang sama untuk manfaat bersama tanpa meninggalkan mana-mana golongan. Akhirnya, sempena dengan bulan kelahiran junjungan mulia ini, setidak-tidaknya kita faham dan sentiasa ingat bahawa dengan adanya Nabi SAW itulah yang menjadi penyebab utama kita dapat apa yang kita sedang rasai kini. Kalau tidak kerana baginda, mungkin kita hidup tanpa ada ketamadunan, tanpa ada peraturan, kehidupan masih kucar kacir, tiadanya kasih sayang, dan tiada segalanya.

Paling tepatlah untuk dikatakan bahawa agama Islam yang dibawa oleh Nabi SAW adalah gaya kehidupan yang paling ideal untuk semua umat manusia, zaman berzaman.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di khadher82@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...