BM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Jadilah seperti kiambang

584
Jangan disemarakkan api kebencian kerana akan membawa kepada perselisihan faham yang tiada kesudahan dan akhirnya perpecahan. Gambar oleh Andre Hunter - Unsplash

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Mutakhir ini, bibit perpecahan semakin kuat bertiup dalam masyarakat Malaysia. Tema perkauman dan agama masih lagi dimanfaatkan untuk mendapat sokongan, bahkan kini semangat kenegerian cuba dijadikan modal provokasi khususnya pasca pilihanraya. Sentimen ini sangat berbahaya terhadap keutuhan masyarakat dan negara Malaysia.

Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Isu 3R yang melibatkan kaum, agama dan raja merupakan isu yang sensitif dan boleh mencetuskan perbalahan dan konflik. Stereotaip kaum dan agama ditimbulkan oleh provokator, misalnya menghina orang Melayu sebagai bodoh dan mundur, Islam sebagai agama barbarik dan akan menzalimi orang bukan Islam. Malahan ada pihak yang menghina Raja Melayu dan Yang Dipertuan Agong.

Begitu juga ada yang memainkan semangat kenegerian dengan menghina negeri Melayu sebagai miskin dan terkebelakang. Tidak kurang ada yang berkempen untuk menghalau orang negeri lain, memboikot kedai makan milik orang negeri lain, membataskan peluang pekerjaan dan seumpamanya. Jika ditoleh ke belakang pada zaman awal selepas merdeka, terdapat juga provokasi negatif yang berunsurkan stereotaip kaum yang dimainkan. Misalnya, gesaan bangsa lain untuk pulang ke tanah besar asal mereka, pulang ke ladang estet bagi orang India dan balik ke lombong bijih bagi orang Cina. Tetapi seruan sebegitu telah berjaya dibasmi tuntas oleh pihak kerajaan dan masyarakat majmuk dapat meneruskan kehidupan bersama dengan lebih aman.

Namun kini stereotaip kenegerian dicanang sebagai hukuman kerana mereka berbeza pandangan dan pilihan. Sedangkan seruan-seruan melampau ini tidak pernah timbul dalam masyarakat Malaysia. Golongan pendatang luar lagikan diberi ruang untuk mencari rezki di negara ini, inikan pula penduduk asal di negara ini yang ingin dinafikan hak kerana berbeza pilihan.

Unsur-unsur provokasi yang melibatkan ungkapan kebencian sebegini tidak menyumbang kepada perpaduan negara yang telah lama diusahakan, sebaliknya menambah jurang dan membuka ruang baharu dalam hubungan yang berbentuk negatif. Selain daripada jurang kaum dan agama, ditambah lagi dengan jurang negeri, keadaan ini akan menambah burukkan lagi senario polarisasi kaum, agama dan negeri.

Ungkapan kebencian ini dilakukan dengan tujuan untuk menghasut dan mendorong rasa kebencian terhadap individu atau kelompok tertentu dalam masyarakat yang berbeza dari aspek asal usul tanah kelahiran agar terjadinya diskriminasi dan kekerasan terhadap mereka. Usaha-usaha kelompok provokator ini dengan sengaja menebarkan rasa benci terhadap penduduk negeri lain yang sedang mencari rezki di negeri mereka.

Tambahan pula, perkembangan teknologi maklumat kini dengan mudah telah membuka ruang kepada pihak pengujar kebencian ini menimbulkan rasa benci dan menyebarkannya melalui berbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tiktok atau WhatsApp. Ia disambut oleh kelompok yang sealiran. Mereka menghabiskan masa di media sosial, membuat ungkapan kebencian, kemudian dikongsi, memberi komentar dan saling menghujat dan bergaduh tanpa ada noktah. Perkara yang sesia ini dilakukan saban hari tanpa memikirkan dosa dan pahala serta keberkatan dalam hidup.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang mafhumnya: “Seorang Muslim sejati adalah apabila orang muslim lain selamat dari dari lidah dan tangannya”. (Muttafaq alayh). Berdasarkan hadis tersebut, selamat dari lidah dapat dijelaskan sebagai tidak menggunakan lidah untuk memaki, melaknat, menfitnah, mengumpat, menghasut, memprovokasi, mengungkap kebencian dan seumpamanya. Manakala selamat dari tangan dapat dihuraikan sebagai tidak menggunakan tangan untuk menaip perkara yang negatif dan dikongsi, memukul, melukakan, memboikot, atau tidak menyalahgunakan kuasa untuk menyiksa dan menzalimi orang lain. Semua perkara ini dilarang tegas dalam Islam dan berdosa.

Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa golongan yang mengungkap kebencian atau menjadi batu api ini dengan balasan neraka. Sabda Nabi SAW yang mafhumnya: “Tidak masuk syurga orang yang menjadi batu api” (HR al-Bukhari). Berdasarkan hadis tersebut, setiap orang sama ada sebagai pengguna media sosial biasa atau laskar siber (cybertrooper) perlu mengambil ingatan agar tidak terjebak dalam provokasi yang melibatkan ungkapan kebencian melalui perkataan atau perbuatan kerana boleh menjejaskan keharmonian antara negeri, kaum dan agama di Malaysia. Ini kerana keharmonian yang dikecapi bersama selama ini adalah nikmat yang dicemburui oleh pihak luar, sedangkan kita dengan mudah mempertaruhkannya demi kepentingan dan nafsu sendiri.

Selain itu, dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda yang mafhumnya: “Hendakkah kamu aku beritahu kepada kamu akan seburuk-buruk orang dalam kalangan kamu? Iaitu mereka yang sentiasa mengadu domba, merosakkan hubungan antara orang yang berkasih sayang, serta mereka yang mahukan kesusahan kepada orang yang tidak bersalah.” (HR al-Bukhari). Jelasnya mereka yang terlibat dalam ungkapan kebencian dan hasutan ini termasuk dalam kalangan seburuk-buruk manusia kerana perbuatan adu domba dan inginkan kesusahan kepada orang yang tidak bersalah. Ini adalah disebabkan perbuatan mereka boleh menyuburkan prasangka dan diskriminasi terhadap pihak lain, mendorong perlakuan kekerasan, menyebabkan kerugian berbentuk kebendaan, malah boleh menimbulkan konflik antara negeri, kaum dan agama, walaupun tidak sampai ke tahap pembersihan etnik (ethnic cleansing)

Tegasnya, perkembangan semasa dalam aspek hubungan sosial masyarakat Malaysia semakin parah, tambahan dalam media sosial baharu. Daripada pemisahan dan jurang polarisasi antara kaum dan agama telah merebak kepada sentimen kenegerian. Bagaikan hidup tidak bertuhan dan tanpa panduan agama mereka menyebar kebencian dan makian. Sedangkan rakaman digital ini bukan sahaja meninggalkan jejaknya walau telah dipadam tetapi menumbuhkan dosa jariah sepanjang masa.

Sehubungan dengan itu, kematangan dalam politik perlu dididik dalam jiwa warga masyarakat Malaysia melalui pendidikan literasi politik agar mereka celik politik. Ini adalah kerana seruan dan provokasi yang melibatkan 3R dan juga kenegerian bukanlah perkara yang boleh dijadikan mainan atau jenaka. Implikasinya sangat serius dan besar. Jangan terjebak dengan umpan dan mainan provokator.

Sempena ulang tahun sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-66, marilah kita bersatu umpama ‘biduk lalu, kiambang bertaut’, kerana bukankah kita bangsa Malaysia Madani yang cintakan perpaduan, kedamaian dan keharmonian?

……
Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di emel: mohdanuar@um.edu.my

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Laut Okhotsk

Satu kejadian gempa bumi kuat telah melanda Laut Okhotsk pada jam 11:28...

AMBM @ MY LNASekuriti Makanan @ My LNAUTAMA

Kerang-kerangan di Negeri Sembilan dan Melaka boleh dituai, bacaan biotoksin menurun

PUTRAJAYA, 10 Ogos 2024 – Larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan...

AMBM @ MY LNADunia @ MY LNAGlobe Newswire

Pemenang Anugerah Stevie® untuk Majikan Hebat 2024 Diumumkan

Pemenang Akan Diraikan dalam satu Majlis di New York pada 16 September...